• FOLLOW US
Filem, Terkini

Busut Bonang Angkat Tema Urban Legend Dalam Masyarakat Moden

Bakal ditayangkan bermula 19 Disember ini, filem bergenre seram komedi, Busut Bonang mengangkat tema ‘urban legend’ mengenai saka yang masih diamalkan masyarakat moden pada masa kini.

Pengarahnya Khalid Nadzri berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan adalah cetusan bersama penulis skrip iaitu Siti Jasmina Ibrahim.

“Menerusi proses perbincangan dan genre komedi seram yang dipilih bersama seorang lagi penulis skrip iaitu Aloy Paradoks, akhirnya ia diolah menjadi sebuah cerita mengenai saka sebagai isu utama.

“Malah, busut juga menjadi suatu tanggapan kisah rakyat yang berkait rapat dengan entiti, misalnya menjadi tempat pemujaan animisme dan pontianak bertenggek,” ujarnya.

Busut Bonang menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Jasper Supayah, Rashidah Jaafar, Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri, Badrolshah @ Bard dan Ropie.

Filem terbitan Alfanazra Productions Sdn. Bhd itu merupakan arahan kedua Khalid Nazri yang sebelum ini pernah tampil dengan filem sulungnya berjudul Coverina.

Jelasnya, menerusi filem Busut Bonang ini ia menerapkan sebuah kisah seram yang dekat dengan rakyat, terutama yang masih mempercayai kisah mistik.

“Dalam filem ini, selain menerapkan elemen hiburan kepada penonton, ia juga memberi sindiran sinis terhadap masyarakat yang masih lagi tebal dengan kepercayaan mistik,” ujarnya.

Menurutnya, penggambaran filem berkenaan dilakukan pada Januari 2019 di dua buah lokasi iaitu di Kuala Kangsar dan Ipoh selama 20 hari.

Ketika ditanya tentang cabaran sepanjang pembikinan Busut Bonang, Khalid memberitahu antara yang paling sukar ialah untuk menerapkan dua elemen iaitu seram dan komedi.

“Bagi saya bukan mudah untuk menterjemahkan sebuah filem seram dengan menerapkan elemen komedi untuk membuatkan penonton ketawa.

“Bagaimanapun, lakonan yang ditampilkan barisan pelakon memang banyak membantu pembikinan filem ini berjalan dengan lancar,” katanya lagi.

Sinopsis Busut Bonang:

Arwah Cikgu Hassan ditemui mati dalam keadaan yang menggerikan di Kampung Bonang. Sejak kejadian itu buah mulut tersebar dalam kalangan orang kampung bahawa arwah berkeliaranmenuntut pewaris baru. Selepas kematiannya, Julia anak kepada Arwah Cikgu Hassan sering tidak sihat dan mengalami gangguan makhluk halus.

Sementara itu, Joey pemilik rancangan televisyen Merungkai Misteri telah dipanggil untuk mencari kebenaran di sebalik semua kejadian itu dan membersihkan nama keluarga arwah Cikgu Hassan, dan untuk tujuan itu Joey telah menculik Lutfy dibawa ke Kampung Bonang untuk dijadikan krunya.

Lutfy hanyalah seorang penjual jeruk berhajat mahu mencuba pekerjaan baru dan datang ke sesi temuduga, namun diperdaya hingga ke Kampung Bonang. Kejadian menjadi semakin misteri apabila Julia, Lutfy dan Joey dalam perjalanan mereka ke Kampung Bonang telah ditutup pandangan oleh Penunggu Busut hingga mereka sesat. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend