
Setelah 11 tahun bertapak dalam industri seni, akhirnya band dari Indonesia, Armada bakal menjayakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 17 Mac ini.
Armada yang dianggotai Rizal selaku vokalis, Radha (gitaris), Mai (gitaris), Andit (pemain drum) dan Endra (bass) yakin dengan sambutan yang bakal diterima daripada peminat mereka di sini.
Menurut Rizal, Armada sebenarnya sudah lama mempunyai keinginan untuk mengadakan konsert di Malaysia dan akhirnya ia tercapai juga dalam tahun ini.
“Kami sebenarnya sudah lama ingin menjayakan konsert dan bertemu peminat di sini. Kini ia bakal menjadi kenyataan pada 17 Mac ini.
“Sebelum ini bukan kami tidak mahu berkunjung ke Malaysia. Sebaliknya, bila ada tawaran buat konsert di sini, ia selalu bertembung dengan jadual kami.
“Kemudian setelah disusun atur, pihak pengurusan berjaya membawa kami untuk konsert kali pertama di sini,” kata Rizal ketika ditemui pada majlis pelancaran album baharu Armada iaitu Maju Terus Pantang Mundur, di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur hari ini.
Armada bakal mendendangkan 20 buah lagu dalam konsert yang berdurasi selama dua jam itu termasuk lagu hits mereka, Kekasih Yang Tak Dianggap serta single terbaharu mereka iaitu Asal Kau Bahagia.
Lagu Asal Kau Bahagia mencipta rekod yang tersendiri apabila meraih jumlah tontonan video lirik paling tinggi di Indonesia iaitu sebanyak 16 juta dalam masa sebulan sejak ia mula ditayangkan pada Februari tahun lalu.
Menariknya lagi, video lirik lagu berkenaan turut mencipta sejarah tersendiri apabila sehingga kini ia sudah ditonton di YouTube lebih 200 juta kali.
Sementara itu, Armada akan menggunakan khidmat pemain bass jemputan memandangkan keadaan kesihatan Endra yang tidak mengizinkan untuk menjayakan konsert tersebut.
“Untuk konsert di Malaysia kami akan undang pemuzik jemputan kerana kesihatan Endra yang tidak berapa baik untuk dia beraksi. Namun, dia akan datang juga melihat kami beraksi di sini dan datang beri sokongan,” ujar Radha mewakili rakan-rakannya.
Untuk makluman, Endra menghidap penyakit radang selaput otak sejak enam tahun lalu. Penyakitnya itu menyebabkannya boleh jatuh pengsan secara tiba-tiba sekiranya terlalu letih.
Tiket konsert berharga RM109, RM126 dan RM194 sudah mula dijual di laman www.airasiaredtix.com. – KopiPlanet.com



