
Asyraf Nasir Kembali Curi Perhatian Peminat, Single Baharu Cinderella Sebuah Kisah Dongeng Moden
Asyraf Nasir, penyanyi rap dan hip hop yang semakin menyerlah di persada muzik Malaysia, kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya berjudul “CINDERELLA”, sebuah kisah dongeng moden penuh keyakinan, tanpa kasut kaca seperti kisah dongeng asalnya.
Dilancarkan sebagai lagu ‘feel-good’ untuk golongan yang dipinggirkan atau ‘underdog’ moden, “CINDERELLA” meraikan saat di mana seseorang akhirnya melangkah ke cahaya dan mendapat perhatian, bukan dalam nada berat atau dramatik, tetapi dengan rasa seronok, nakal, dan penuh gaya.
“CINDERELLA adalah untuk sesiapa yang pernah rasa terpinggir, tetapi tahu dalam hati bahawa mereka punya sesuatu yang istimewa.
“Lagu ini tentang keyakinan, tentang tiba-tiba semua mata memandang, dan anda menikmatinya sepenuhnya,” kongsi Asyraf.
Lagu ini dihasilkan dalam masa hanya dua hari, sebahagian besarnya menggunakan rakaman ‘first take’ atau rakaman pertama.
Sama seperti lagu sebelumnya “VIRUS”, Asyraf bersama penerbit dan rakan kolaborasinya SonaOne berjaya menangkap tenaga spontan yang segar di studio.
“Kita tak overthink. Apa yang anda dengar adalah hasil tangkapan babak sebenar. Jujur dalam cara terbaik,” jelasnya.
Bekerja dengan SonaOne, menurut Asyraf, adalah pengalaman yang membuka mata.
“Dia tahu bila nak bina ruang dan bila nak naikkan tenaga. Rasanya macam main ping-pong idea — saya lempar, dia balas, dan tiba-tiba lagu ni jadi hidup,” katanya.
Menariknya, bunyi ‘eccentric synth piano’ yang membuka lagu ini sebenarnya diambil daripada sebuah lagu lama Malaysia yang diolah semula dengan sentuhan moden.
Dalam pada itu, “CINDERELLA” sebenarnya bermula sebagai demo pada tahun 2020.
Selepas lima tahun, lagu ini masih terngiang-ngiang di telinga Asyraf dan rakan-rakan pemuzik yang mendengarnya. Hampir tiada perubahan drastik dibuat dari versi demo ke versi akhir, kerana keajaibannya sudah ada sejak awal.
“Kita perbaiki adunan muzik, tapi kita kekalkan rasa asal. Saya percayakan KidKenobi untuk hasil akhir,” katanya.
“CINDERELLA” juga menjadi pembuka tirai kepada era baharu Asyraf Nasir.
“Anda sedang menyaksikan babak pertama fasa baru saya. Setiap lagu akan ada watak dan personalitinya sendiri, macam karakter dalam filem.
“Saya mahu pendengar tenggelam dalam fantasi itu,” jelasnya.
Dengan “CINDERELLA”, Asyraf bukan sahaja mengetengahkan sisi baharunya, malah membuktikan bahawa kisah dongeng juga boleh hadir dengan rentak hip hop, penuh keyakinan dan gaya tersendiri.
CINDERELLA sudah berada di semua platform digital bermula 8 Ogos lalu. – KopiPlanet.com