EventHiburan

Aurora Bakal Adakan Konsert Sulung Di Malaysia Sempena Siri Jelajah ‘What Happened To The Earth? Part 4 : Aurora Live In Kuala Lumpur’

Populariti penyanyi dan penulis lagu kelahiran Norway, Aurora yang tular di platform media sosial TikTok menerusi lagu Runaway mendorong Neptunes Presents menganjurkan konsertnya buat julung kali di negara ini.

Konsert Aurora atau nama sebenarnya Aurora Aksnes, 28, bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur tanggal 2 Februari depan.

Konsert ini sempena siri jelajah ‘What Happened To The Earth? Part 4 : Aurora Live In Kuala Lumpur membabitkan beberapa negara Asia pada tahun ini.

Jurucakap penganjur Shamil Yusof berkata, gaya persembahan dan ‘showmanship’ Aurora yang unik dan berbeza daripada persembahan artis luar negara yang lain membuatkan pihaknya memilihnya untuk
mengadakan konsert di Kuala Lumpur.

“Pemilihan Aurora adalah berdasarkan permintaan dari peminatnya di Malaysia yang sudah lama menantikan kemunculannya di negara ini.

“Aurora dikenali sebagai salah seorang pemuzik yang puitis dalam lagu-lagu nyanyiannya. Pada masa sama, dia adalah salah seorang artis luar negara yang memperjuangkan hak asasi dan kemanusiaan untuk rakyat Palestin,” katanya.

Mengenai persembahan pula, kata Shamil, Aurora akan mendendangkan kira-kira 15 rangkaian lagu hitsnya dalam tempoh 75 minit nanti.

“Penyanyi dan penulis lagu terkenal dari Indonesia, Nadin Amizah pula akan membuat persembahan pembukaan pada malam konsert Aurora Live In Kuala Lumpur nanti.

“Nadin sendiri peminat Auora sejak pembabitannya dalam dunia muzik. Konsep persembahannya juga santai dan boleh dikatakan seiring dengan muzik Aurora,” katanya.

Mengulas jualan tiket pula, kata Shamil lagi, ia mendapat sambutan agak memberangsangkan dan jualan tiket sudah mencecah sebanyak 75 peratus sejak ia mula dijual kepada orang ramai, Disember lalu.

“Lokasi Zepp dipilih kerana ia mampu menampung kapasiti seramai 1,200 hingga 1,500 orang nanti. Selain itu, Aurora juga mahu lebih ‘intimate’ (dekat) dengan peminatnya.

“Orang ramai juga masih boleh mendapatkan tiket konsert yang masih lagi tersedia di laman sesawang ticket empire,” katanya.

Mengimbas latarnya, Aurora mula menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi single pertamanya berjudul Runaway pada 2015 yang kemudiannya tular beberapa tahun kemudian.

Aurora memang dikenali dengan genre muzik yang versatil antaranya art pop, Nordic-folk, synth-pop, electropop, electro-folk, dark pop, avant-garde pop, alt-pop, folk-pop dan new-age.

Antara lagu hitsnya yang meniti di bibir peminat ialah Queendom dan Cure For Me.

Terdahulu, Aurora menjayakan konsert di Manila pada 31 Januari lalu. Selepas Kuala Lumpur, dia akan meneruskan konsert jelajahnya di Singapura pada 3 Februari nanti. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button