EventHiburan

Babah Tepati Jangkaan Menang Kategori Filem Terbaik FFM34, Terima Insentif DKK RM1 Juta

Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) berlangsung penuh gilang-gemilang di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur malam ini.

Kemuncak acara menyaksikan filem ‘Babah’, terbitan Nads Media Entertainment Sdn. Bhd., dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM34.

Kemenangan tersebut melayakkan penerbit menerima trofi dan insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta, sebagai dorongan untuk terus menghasilkan karya berkualiti tinggi dan berimpak besar dalam industri perfileman negara.

Selain menang kategori Filem Terbaik, Babah turut membawa pulang beberapa anugerah lain seperti Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali), Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri) dan Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq).

FFM34 turut memperkenalkan kategori baharu, iaitu Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik, sebagai pengiktirafan kepada penggiat seni aksi tempatan yang berjaya menampilkan koordinasi aksi dan sinematografi mengagumkan.

Anugerah ini dimenangi oleh Defenderz Action Team/ Blood Brothers: Bara Naga.

Sebanyak 28 kategori anugerah lain turut disampaikan malam ini, masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM5,000 berserta trofi sebagai penghargaan atas sumbangan mereka terhadap industri perfileman tempatan.

Malam kemuncak FFM34 juga mengiktiraf Dato’ Is. Ahmad Tamimi Siregar sebagai penerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman, manakala Anugerah Khas Karyawan diberikan kepada Hassan Abd. Muthalib. Kedua-dua penerima membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi.

Majlis berprestij ini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Dato’ Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa;

Selain itu, acara berkenaan dihadiri Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib serta para penggiat seni tanah air. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button