
Baby Shima Tampil Dengan ‘Bey Kelik Laa Bey’, Kali Pertama Rakam Lagu Dialek Kelantan
Penyanyi popular, Baby Shima, sekali lagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul BEY KELIK LAA BEY. Menariknya, lagu ini merupakan kali pertama Baby Shima merakamkan lagu sepenuhnya dalam dialek Kelantan.
Single BEY KELIK LAA BEY merupakan hasil ciptaan komposer ternama, Eddie Hamid manakala liriknya digarap bersama oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha.
Idea untuk menghasilkan lagu berdialek Kelantan ini tercetus daripada permintaan peminat Baby Shima yang sering meninggalkan komen di media sosialnya di samping dipermudahkan oleh Eddie.
“Sebenarnya ceritanya sangat ringkas. Ramai orang Kelantan selalu tinggalkan komen, ‘Shima, cuba la nyanyi lagu Kelate sikit!’. Lama-kelamaan saya pun terpengaruh. Dialek Kelantan pun mempunyai keunikan tersendiri di mana, walaupun orang marah pun bunyinya tetap comel,” jelas Baby Shima.
Untuk mendapatkan sebutan dialek Kelantan yang tepat, Baby Shima mengakui mengambil masa kira-kira seminggu lebih untuk berlatih. Beliau turut berkongsi pengalaman lucu semasa sesi rakaman single tersebut.
“Kadang-kadang bila menyanyi, terkeluar juga loghat Semenanjung, jadi rasa tak sedaplah. Semasa sesi rakaman pun, ada masa saya tersasul, terutama bila lapar. Tapi bila makan budu, terus elok balik dialek Kelantan saya itu,” katanya, berseloroh.
Bercerita mengenai kerjasama dengan komposer Eddie Hamid, Baby Shima menyifatkannya sebagai pengalaman yang berbeza daripada kebiasaan. Beliau memuji Eddie Hamid sebagai seorang yang sangat relaks, cool, tidak garang, dan baik hati.
“Dalam studio, dialah cikgu dan saya pula murid yang suka buat lawak. Dia ajar saya daripada sebutan sehinggalah kepada panduan vokal. Walaupun sering tersalah sebutan dan ketawa sebelum merakam semula, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.
“Abang Eddie memang jenis yang sangat penyabar. Mungkin sebab dia sudah ‘immune’ dengan perangai saya,” gurau Shima.
Lagu BEY KELIK LAA BEY mengisahkan perasaan pilu seorang wanita yang merindui kekasihnya setelah dikecewakan. Lagu ini menceritakan tentang kelukaan hati wanita itu akibat harapan palsu yang diberikan oleh kekasih sebelum menghilangkan diri, justeru merayu agar pasangannya itu kembali semula kepadanya.
Single BEY KELIK LAA BEY terbitan Kijang Music dan edaran Nova Music boleh mula distrim peminat muzik di semua platform penstriman muzik di ambang tahun baru pada 31 Disember 2025.
Siaran perdana video muzik rasmi single tersebut akan berlangsung di saluran YouTube Kijang Music pada hari yang sama jam 8 malam di pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=pBRsFj3HI0c . – KopiPlanet.com



