• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Bengang Nama Diperlekeh, Waris Tukar Nama Mulai 1 Januari 2020

Penyanyi rap Waris berkata dia bakal tampil dengan nama komersil baharu menjelang tahun hadapan selepas isu penukaran namanya itu mendapat perhatian baru-baru ini.

Menurut Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias, 30, dia mempunyai alasan tersendiri kenapa mahu menukar nama yang sudah memperkenalkan dirinya dalam industri hiburan sejak lapan tahun lalu.

“Saya bakal umumkan nama baharu pada 1 Januari depan. Hampir lapan tahun berada dalam industri seni, saya sudah letih apabila ramai tidak hormat serta memperlekehkan nama komersil yang diberikan.

“Mereka tergamak memanggil dengan panggilan Ko Jelobak Ko Jolobu (lirik lagu Gadis Jolobu). Saya rasa terhina dan disebabkan itu saya mahu berhenti gunakan nama Waris dan bakal tampil dengan nama baharu dalam masa terdekat,” katanya kepada KopiPlanet ketika ditemui pada majlis sidang media program realiti Dansa Dan Sing yang diadakan di The Starling Mall, Damansara semalam.

Ketika ditanya mengenai penyertaannya itu, Waris berkata, dia mahu mencabar dirinya memasuki program tersebut yang bukan sahaja menguji vokal malah termasuk bidang tarian.

“Saya sertai Dansa Dan Sing untuk uji diri saya apa yang saya boleh buat dalam rancangan ini. Selain itu, ia juga menguji stamina di mana saya perlu menyanyi dan menari dalam masa yang sama.

“Nak kata saya pandai menari sangat, tidaklah. Tapi saya dapat tunjuk ajar daripada Alam Wakaka dan InsyaAllah kami akan cuba yang terbaik.

“Saya sebenarnya minat menari sejak dari sekolah rendah dulu disebabkan kumpulan KRU. Dari situ saya belajar menari sebab saya suka tengok persembahan mereka yang sentiasa diiringi dengan tarian yang bertenaga,” ujarnya lagi.

Selain Waris, Dansa Dan Sing turut menyaksikan penglibatan selebriti seperti Arja Lee, Shiha Zikir, Sophia Liana, Chubb-E, Wani Kayrie, Nik Qistina, Raja Syahiran, Harris Baba, Atilia Haron dan Yasmin Hani.

Program yang mengetengahkan aksi tarian dan nyanyian selebriti ini bakal diadili dua juri tetap iaitu Linda Jasmine dan Datuk Rizalman Ibrahim. Dansa Dan Sing akan disiarkan bermula 5 Januari ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123). – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend