• FOLLOW US

Bengang Nama Diperlekeh, Waris Tukar Nama Mulai 1 Januari 2020

Penyanyi rap Waris berkata dia bakal tampil dengan nama komersil baharu menjelang tahun hadapan selepas isu penukaran namanya itu mendapat perhatian baru-baru ini.

Menurut Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias, 30, dia mempunyai alasan tersendiri kenapa mahu menukar nama yang sudah memperkenalkan dirinya dalam industri hiburan sejak lapan tahun lalu.

“Saya bakal umumkan nama baharu pada 1 Januari depan. Hampir lapan tahun berada dalam industri seni, saya sudah letih apabila ramai tidak hormat serta memperlekehkan nama komersil yang diberikan.

“Mereka tergamak memanggil dengan panggilan Ko Jelobak Ko Jolobu (lirik lagu Gadis Jolobu). Saya rasa terhina dan disebabkan itu saya mahu berhenti gunakan nama Waris dan bakal tampil dengan nama baharu dalam masa terdekat,” katanya kepada KopiPlanet ketika ditemui pada majlis sidang media program realiti Dansa Dan Sing yang diadakan di The Starling Mall, Damansara semalam.

Ketika ditanya mengenai penyertaannya itu, Waris berkata, dia mahu mencabar dirinya memasuki program tersebut yang bukan sahaja menguji vokal malah termasuk bidang tarian.

“Saya sertai Dansa Dan Sing untuk uji diri saya apa yang saya boleh buat dalam rancangan ini. Selain itu, ia juga menguji stamina di mana saya perlu menyanyi dan menari dalam masa yang sama.

“Nak kata saya pandai menari sangat, tidaklah. Tapi saya dapat tunjuk ajar daripada Alam Wakaka dan InsyaAllah kami akan cuba yang terbaik.

“Saya sebenarnya minat menari sejak dari sekolah rendah dulu disebabkan kumpulan KRU. Dari situ saya belajar menari sebab saya suka tengok persembahan mereka yang sentiasa diiringi dengan tarian yang bertenaga,” ujarnya lagi.

Selain Waris, Dansa Dan Sing turut menyaksikan penglibatan selebriti seperti Arja Lee, Shiha Zikir, Sophia Liana, Chubb-E, Wani Kayrie, Nik Qistina, Raja Syahiran, Harris Baba, Atilia Haron dan Yasmin Hani.

Program yang mengetengahkan aksi tarian dan nyanyian selebriti ini bakal diadili dua juri tetap iaitu Linda Jasmine dan Datuk Rizalman Ibrahim. Dansa Dan Sing akan disiarkan bermula 5 Januari ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123). – KopiPlanet.com

Waris Buang Ego, Lebih Terbuka Berduet Dengan Penyanyi Baharu

Penyanyi Waris atau nama sebenarnya, Muzammil Alias, 30, berkata sejak bergelar bapa dia kini telah membuang egonya dan lebih terbuka untuk bekerja dengan mana-mana penyanyi terutama mereka yang masih baharu dalam industri hiburan.

Menurutnya, sebelum ini dia lebih cerewet untuk menjalankan kolaborasi dengan mana-mana penyanyi namun semuanya berubah seiring dengan kematangannya dalam bidang seni.

“Semenjak sudah menjadi ayah ini, saya rasa lain. Sejujurnya sebelum ini saya seorang yang sangat cerewet dalam memilih penyanyi untuk berkolaborasi dalam sebuah lagu terutama penyanyi yang masih baharu dalam industri.

“Tapi sekarang, saya buang ego dan mahu lebih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana artis asalkan muzik yang dibawa itu kena dengan cita rasa saya,” katanya kepada KopiPlanet.com

Waris ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik lagu berjudul Deru kolaborasinya bersama Xpose Band yang berlangsung di Red Box, The Gardens Mall, Kuala Lumpur semalam.

Menurut Waris dia teruja dengan kolaborasi yang dijalankan bersama band tersebut kerana sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan penyanyi yang membawakan muzik bergenre rock.

Deru merupakan lagu hasil ciptaan Eppy Xpose Band sementara liriknya merupakan nukilan Waris sendiri. Ia diterbitkan oleh Suria Records dan Mixology Music.

Single berkenaan sudah boleh dimuat naik menerusi semua aplikasi penstriman muzik mulai semalam. – KopiPlanet.com6

“Masa Berlakon Di Pilah, Anak Masuk Hospital Kuala Pilah” – Waris

Penyanyi rap Waris yang tampil dengan filem pertama, This Is Pilah berkongsikan satu insiden di mana anak tunggalnya, Muddassir Muzzammil dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah di saat dia sedang sibuk menjalani penggambaran filem itu tahun lalu.

Menurut Waris atau nama sebenar, Muzzammil Alias, anaknya yang pada ketika itu berusia satu tahun dua bulan terpaksa dikejarkan ke hospital gara-gara memasukkan anak ayam ke dalam mulutnya.

“Ketika seminggu saya menjalani penggambaran di Kuala Pilah ada satu insiden yang saya tidak akan lupakan. Seminggu saya duduk di Pilah anak saya pula masuk Hospital Kuala Pilah.

“Dia duduk dengan ibu dan bapa saya ketika penggambaran, dah duduk kawasan kampung, anak saya pun apa lagi masukkan anak ayam dalam mulutnya sehingga menyebabkan dia terkena jangkitan bakteria di bahagian paru-paru.

“Insiden itu sedikit sebanyak merencatkan fokus saya terhadap lakonan tapi saya dapat hadapinya dengan baik,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Waris ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama barisan pelakon This Is Pilah di Restoran Q-Thai Village, Ampang baru-baru ini.

This Is Pilah bakal memasuki pawagam pada 21 Jun ini. Filem yang diarahkan Rosdi Md Dali turut dibintangi Juzzthin, Iesna Raus, Kazar dan Ebby Yus.

Filem ini turut menampilkan penampilan khas bekas ahli parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hassan Malek, Ito Blues Gang dan Ustaz Syamsul Debat.

Ketika ditanya mengenai lakonan dan nyanyian, Waris 30, berkata dia tetap mengutamakan bidang nyanyian memandangkan itu adalah minat utamanya.

“Pada mulanya saya tak nak berlakon tapi apabila penerbit dah pelawa, saya pun mencuba. Saya memang tak minat berlakon sebenarnya sebab lebih suka buat-buat kerja studio. Tapi disebabkan filem ini ada kelainannya yang tersendiri sebab itu saya terima.

“Untuk filem ini juga saya perlu belajar loghat orang Pilah, sebabnya walaupun saya orang Rembau tapi loghat Pilah lebih pekat dari orang Rembau. Saya ambil masa juga belajar dengan orang-orang yang berasal dari sana,” ujarnya lagi.

This Is Pilah yang diterbitkan Madness Films Sdn. Bhd. mengisahkan hasrat seorang pemuda di Kuala Pilah yang mahu memperisterikan gadis idamannya tetapi terpaksa berdepan dengan halangan bapa gadis itu kerana berasal dari suku yang sama. Agak-agaknya dapatkah mereka ‘melanggar’ adat untuk bersatu? – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Waris