
Bermula Dari Dapur Rumah, Jenama Gula Cakery Kini Berkembang Menjadi Pilihan Ramai
Kejayaan Gula Cakery yang semakin berkembang pesat bukan hanya disandarkan pada kek viral atau pembukaan cawangan baharu, tetapi cara syarikat itu menjaga kebajikan pekerjanya.
Pengasasnya, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, mengakui fokus utamanya sejak hari pertama adalah dengan memastikan setiap ahli pasukan rasa dihargai dan ada ruang untuk maju.
“Kalau mereka grow, bisnes akan grow. Itu pegangan saya dari dulu. Apabila pekerja rasa dijaga, mereka jaga pelanggan dengan hati yang gembira.
“Pendekatan mengutamakan pekerja ini menjadi antara faktor terbesar mengapa Gula Cakery terus kukuh dalam industrimakanan dan minuman (F&B),” katanya.
Pendekatan itu jelas terlihat ketika Gula Cakery mengadakan makan malam tahunan bertemakan hitam dan putih baru-baru ini.
Majlis yang menyatukan ratusan staf dari pelbagai cawangan itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi pentas menghargai segala usaha dan tenaga yang dicurahkan sepanjang tahun.
“Saya tengok keyakinan mereka, cara mereka menikmati dan saling menyokong. Itu ‘spirit’ Gula Cakery. Sentiasa gembira, menyokong antara satu sama lain dan bersungguh-sunguh dalam perkara yang dilakukan.
“Selain itu, kami turut meraikan pekerja yang telah berkhidmat antara tiga hingga lapan tahun menerusi Long Service Award.
“Hadiah cabutan bertuah seperti iPad, TV 65 inci dan pakej percutian pula menaikkan lagi semangat pasukan pada malam tersebut,” katanya.
Di sebalik kemeriahan majlis, perjalanan Gula Cakery bukanlah mudah. Daripada bermula di dapur rumah dengan satu ketuhar dan resepi arwah neneknya, kini jenama itu berkembang menjadi pilihan ramai.

Salah satu produk yang melonjakkan nama Gula Cakery tahun ini ialah Tiramisu, yang menjadi antara menu paling viral dan mendapat permintaan tinggi.
“Resepi Tiramisu itu sangat dekat di hati. Ia gabungan resepi keluarga dan teknik yang saya belajar di Italy. Bila pelanggan suka, saya rasa usaha kami dihargai,” ujarArieni.
Walaupun industri F&B bergerak pantas dan penuh cabaran, Gula Cakery terus mengekalkan kualiti menerusi fokus terhadap latihan. Bagi Arieni, latihan bukan sekadar mengajar teknik atau SOP, tetapi menggilap bakat dan membantu staf membina keyakinan diri.
Beliau menekankan bahawa nilai seperti rasa hormat, tanggungjawab, layanan mesra dan keinginan untuk belajar adalah budaya kerja utama dalam syarikat.

Sementara itu, selepas melalui tahun penuh cabaran, Gula Cakery kini memasuki fasa pertumbuhan yang lebih agresif. Antara perancangan utama ialah pembukaan cawangan baharu di Johor dan Bangi, selain perpindahan ke central kitchenbaharu yang lebih besar dan lebih efisien.
Syarikat itu juga sedang merancang membangunkan Training Academy Gula Cakery, selain memperkenalkan program kesetiaan pelanggan bagi memperkukuh hubungan dengan komuniti pelanggan.
Bagi Arieni, tahun ini menyaksikan pelbagai cabaran iaitu daripada isu pekerja, pengubahsuaian, peningkatan permintaan sehinggalah urusan operasi harian yang tidak pernah selesai. Namun apa yang menguatkannya adalah melihat perkembangan stafnya.
Ada pekerja yang dahulu malu nak pegang tanggungjawab, sekarang dah jadi ketua. Itu antara momen paling emosional buat saya,” katanya.
Dengan semangat pasukan yang kuat, budaya kerja dan perancangan masa depan yang jelas, Gula Cakery bukan sahaja berkembang sebagai jenama, tetapi sebagai keluarga profesional yang bergerak bersama.
Bagi Arieni, menjaga kebajikan pekerja bukan sekadar tanggungjawab, ia adalah resipi sebenar yang membawa Gula Cakery ke tahap sekarang.



