• FOLLOW US
Hiburan

Bermula Sebagai Runner, Hafizuddin Kini Bergelar Seorang Penerbit

Sekitar empat tahun yang lalu, Mohd Hafizuddin telah terbabit sebagai kru produksi dengan menjadi seorang runner untuk beberapa buah telefilem.

Hafizuddin yang juga pemilik syarikat Khalisya Consultant Sdn. Bhd berkata, semuanya bermula dengan minat dan segala pengalaman yang dilalui akhirnya membuatkan dia kini bersedia untuk bergelar seorang penerbit.

“Sebenarnya saya merupakan seorang konsultan sejak tahun 2014 dalam pengurusan acara. Kemudian saya mula berjinak-jinak dalam bidang penerbitan sebagai runner.

“Kemudian dengan pengalaman yang diraih serta bimbingan dan dorongan seorang rakan iaitu Jaja Ishak, akhirnya saya kini mula melangkah setapak untuk menjadi penerbit dan akan menerbitkan sebuah telefilem sulung,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Hafizuddin, dia bersyukur dan gembira kerana telah diberi peluang oleh RTM untuk menghasilkan sebuah naskhah telefilem berjudul Rock Sampai Jannah sempena sambutan Aidil Adha pada tahun hadapan.

Ujarnya, mengikut perancangan penggambaran akan bermula pada bulan Ogos atau September, biarpun Covid-19 masih lagi melanda negara.

“Sebagai seorang penerbit baharu, saya anggap ini merupakan satu cabaran untuk menjalani penggambaran. Bagaimanapun, semua persediaan telah dibuat, terutama sekali untuk mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Rock Sampai Jannah mengisahkan tentang empat orang remaja yang meninati bidang muzik dan menanam impian untuk membentuk sebuah kumpulan rock.

Namun begitu, keluarga keempat-empatnya tidak bersetuju kerana masing-masing masih lagi bersekolah. Selain itu, mereka juga sering kalah dalam setiap pertandingan nyanyian yang disertai.

Telefilem berkenaan menampilkan barisan pelakon seperti Afiq Syazwan, Sharul Kamal, Ayie Floor88 dan Hareez Mohamad Suhaile. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend