Cerita ArtisHiburan

Bersara Jadi Penyanyi, Tasha Manshahar Lebih Selesa Bergelar Guru

Semakin selesa dengan profesion sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Melaka, penyanyi Tasha Manshahar berkata dia sudah tidak merindui untuk menyanyi lagi.

Menurut Tasha atau nama sebenarnya, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 28, walaupun tidak akan meneruskan kerjaya sebagai penyanyi namun ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata dia berminat untuk menceburi bidang pengacaraan yang dilihat lebih sesuai dengan imejnya sebagai seorang ibu, isteri dan guru.

“Saya tidak akan menyanyi semula tapi mungkin saya akan lebih aktif dalam bidang yang bersesuaian dengan personaliti dan imej saya sekarang. Saya pun memang tiada perancangan untuk kembali menyanyi.

“Mungkin kalau jadi pengacara, saya akan buat. Saya rasa dah tiba masa untuk saya pergi ke fasa yang lebih sesuai dengan imej saya sebagai seorang guru, ibu dan isteri,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Tasha ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta produk penjagaan kulit muka, Bougas Beauty yang diadakan di Glam Hall, Mercu Mercu Mustapha Kamal, Damansara Perdana, baru-baru ini.

Selain Tasha, dua lagi selebriti wanita iaitu Wany Hasrita dan Amira Othman turut dipilih menjadi wajah produk tersebut.

Menceritakan lebih lanjut mengenai penjagaan kulit muka, Tasha berkata dia tidak ragu-ragu dengan pelawaan untuk bergelar duta produk tersebut kerana merupakan pengguna setia Bougas Beauty sebelum ini.

“Kalau nak tahu saya memang guna produk ini dan memang beli sendiri, lepas tengok keberkesanannya terhadap kulit saya, terus saya gunakan sampai sekarang.

“Ia satu penghargaan apabila saya dilantik untuk bergelar duta kepada jenama yang memang saya percaya dan amalkan selama ini,” ujarnya.

Tasha mula aktif dalam industri hiburan selepas namanya menjadi sebutan selepas memuat naik video nyanyian ‘cover’ Mr. Saxobeat nyanyian asal Alexandra Stan pada 2012.

Dia kemudian terus dikenali selepas tampil dengan single Selamat Ulang Tahun Cinta, Cuba Teka dan Ragu-Ragu bersama rakan duetnya, Syed Shamim.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini telah berkahwin dengan penyampai radio Zayan FM, Fahrur Raqib Abdul Majid pada 8 September 2018. Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muammar Rafiqi yang kini berusia setahun. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button