• FOLLOW US
Filem, Review

Bisik Pada Langit Paparan Kasih Seorang Ayah

“Mak dan bapak yang hilang anaknya, lebih dasyat kedukaannya daripada anak yang hilang mak bapak…” Pasti ramai yang tahu akan kasih sayang ibu bapa tiada tandingannya. Namun berapa ramai yang betul-betul memahami dan menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapa terutamanya dari seorang yang bergelar ayah yang jarang menunjukkan kasih sayangnya berbanding seorang ibu?

Lantas, naskah terkini milik pengarah hebat, Kabir Bhatia ini pasti mampu mengingatkan kita kembali akan kehebatan figura lelaki yang dipanggil ‘ayah’ ini menerusi filem ‘Bisik Pada Langit’ (BPL) terbitkan Astro dan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. Karya yang dipersembahkan oleh produksi Filmscape ini diangkat menjadi filem ini akan menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula 21 September 2017.

BPL mengangkat kisah kekeluargaan sebagai plot utama dan diapit pula dengan aspek ketulusan sebuah persahabatan, cinta dan ketentuan takdir yang telah tersurat. Pada masa yang sama, Kabir Bhatia, turut memberikan penekanan terhadap pengorbanan si ayah / Rosli (Jalil Hamid) sebagai seorang ayah yang dilihat begitu menyayangi anak perempuannya dan sanggup menunaikan segala kehendak permata hatinya ini bagi memastikan kebahagiaan dikecapi beliau pada setiap masa.

Jalil Hamid yang membawakan watak sebagai ayah memberikan lakonan yang mantap.

Siti Hajar (lakonan Ummi Nazeera) merupakan satu-satunya anak perempuan dari tiga beradik. Sama seperti ayahnya, abang beliau, Zaidi (Beto Kusyairi) dan adiknya, Ikram (Na’im Daniel) turut perlu berkorban semata-mata demi memastikan cita-cita Siti Hajar untuk melanjutkan pelajaran di Perth, Australia dapat direalisasikan.

Walaupun dalam keadaan berat hati, si ayah perlu membenarkan anaknya pergi dengan harapan Siti Hajar dapat membawa pulang segulung ijazah seterusnya membantu keluarga yang selama ini hidup dalam serba kekurangan.

Harapan si ayah musnah apabila Siti Hajar dimaklumkan terlibat dalam satu kemalangan motosikal berkuasa tinggi di Perth. Lebih meremukkan hati si ayah adalah apabila beliau hanya mengetahui akan hobi anaknya yang gemar menunggang motosikal selepas dari kecelakaan yang menimpa Siti Hajar sedangkan pada masa yang sama, semua ahli keluarga sudah mengetahuinya sejak dari duhulu lagi. Siti Hajar kini berada dalam keadaan kritikal dan koma di negara asing yang menjadikan keluarganya di Malaysia tidak senang duduk dan ditindih keresahan.

Ummi Nazeera dan Erwin Shah Dawson kali pertama bergandingan dalam sebuah filem.

Tidak cukup sekadar memanjatkan doa agar dipermudahkan segalanya, si ayah terus berusaha mencari jalan agar beliau dapat pergi ke Australia untuk melihat sendiri keadaan anak kesayangannya itu. Namun begitu, adakah usaha si ayah selama ini bakal menemui jalan buntu, dan adakah Siti Hajar akan kembali sedar atau si ayah terlewat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya?

BARISAN PELAKON
Ummi Nazeera – Siti Hajar
Erwin Dawson – Irwan
Jalil Hamid – Ayah/Rosli
Beto Kusyairy – Zaidi
Na’im Daniel – Ikram
Datin Fadilah Mansor – Mak/Nab

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend