• FOLLOW US

Filem M4M4 Papar Kisah Tragis Dendam Ibu Terhadap Kematian Anaknya

Bakal menerjah pawagam bermula 6 Februari ini, filem M4M4 (MAMA) terbitan Da Motion Media bakal membuka mata penonton dengan plot cerita mengenai ketabahan seorang wanita dalam membalas dendam untuk menuntut keadilan terhadap kematian tragis anak perempuannya.

Diarahkan oleh pengarah wanita, Eyra Rahman, filem ini bintangi oleh Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Nizam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Razali dan Izzy Reef.

Eyra berkata, antara sebab utama dia tertarik untuk menghasilkan filem ini kerana menceritakan naskhah tentang kasih sayang seorang ibu terhadap anak tunggalnya yang mati dibunuh.

“Asalnya saya telah dipanggil oleh penerbit sendiri iaitu Abang Aseh (Allahyarham Datuk Mokhairul Shamsul Mokhtar) untuk menghasilkan sebuah filem yang juga idea asal beliau.

“Menurut arwah, saya dipilih kerana beliau merasakan naskhah ini sesuai untuk saya arahkan memandangkan saya seorang pengarah wanita,” ujarnya yang sudah mengarah sebanyak 14 buah filem setakat ini.

Penggambaran filem M4M4 (MAMA) yang bergenre horror thriller ini mengambil masa selama 25 hari di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, pelakon utamanya, Nabila Huda berkata antara sebab utama dia mahu terlibat dalam filem ini kerana temanya yang menggambarkan hubungan kuat yang terjalin di antara seorang ibu dan anaknya.

“Kehilangan itu adalah sangat menyakitkan, apatah lagi apabila anak yang disayangi telah dirogol dan kemudian mati dibunuh.

“Namun, filem ini sebenarnya banyak memberikan pengajaran supaya kita ambil langkah dan cara yang betul untuk berhadapan dengan situasi sebegini serta mengambil langkah berjaga-juga agar ia dapat dielakkan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, apa yang dipaparkan dalam filem ini juga sebenarnya adalah kes-kes yang kerap berlaku di seluruh dunia. Bagaimanpun, Nabila melihat kebanyakan kes berkenaan dilihat tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Misalnya, pesalah hanya akan dihukum penjara dan sebatan sahaja, sedangkan hukuman lebih berat harus dijatuhkan.

“Sedangkan perlu difikirkan juga situasi terhadap mangsa yang melalui keadaan tersebut untuk membesar sebagai gadis yang normal,” ujarnya.

Nabila juga menyatakan dia mahu penonton menerima filem ini dari sudut yang positif terutama sekali mesej-mesej yang ingin disampaikan. – KopiPlanet.com

SINOPSIS M4M4:

Kisah bermula pada hari lahir ke-15 Alya (Bella Dowanna) yang disambut setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya.

Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Daniel (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, Alya, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya dan lagak samseng mereka di kawasan tersebut.

Mereka sering menganggu pelajar-pelajar sekolah yang makan di kawasan tersebut, termasuk Alya. Namun, pada hari tersebut kesabaran Alya memuncak apabila Apai dengan beraninya menyentuh Alya. Berlaku pergaduhan di antara Apai, Alya dan Danny sehingga menyebabkan Alya dengan beraninya menyimbah sup panas kepada Apai.

Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Alya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan diperkosa dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma.

Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan ApaiI, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020. – KopiPlanet.com

Donnie Yen Sahkan Ip Man 4: The Finale Filem Aksi Kung Fu Terakhirnya

Pelakon terkenal Hong Kong, Donnie Yen mengesahkan bahawa filem Ip Man 4: The Finale merupakan filem aksi kung fu terakhir yang akan dilakonkannya.

Donnie berkata, biarpun tidak lagi akan beraksi dalam filem kung fu, namun ia tidak bermakna dia akan berhenti daripada berlakon filem-filem aksi

“Saya ingin menjelaskan bahawa Ip Man 4: The Finale memang filem kung fu terakhir saya, tetapi jangan salah faham yang saya tidak lagi berlakon filem aksi.

“Secara jelasnya filem kung fu adalah filem aksi, tetapi filem aksi tidak semestinya filem kung fu. Misalnya, filem aksi komedi juga boleh dikategorikan sebagai filem aksi,” ujar pelakon yang sudah mencecah usia 56 tahun itu.

Dia berkata demikian ketika sesi sidang akhbar bersama pihak media yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara hari ini.

Turut hadir pada acara sidang akhbar berkenaan adalah pihak pengurusan Lotus Five Star iaitu Datuk R. Doraisingam Pillai, Garuna Murthee dan En Karthiik Doraisingam.

Donnie bersama seorang lagi pelakon iaitu Danny Chan Kwok-Kwan serta penerbit Raymond Wong dan penulis skrip Edmond Wong kini berada di Malaysia pada 11 dan 12 Disember sempena rangka promosi filem berkenaan.

Dalam pada itu, pelakon berkenaan turut meluahkan rasa terujanya kerana berpeluang untuk kembali semula ke Malaysia bagi mempromosikan filem berkenaan.

“Sudah tentu saya begitu teruja dan gembira kerana diberi peluang ke negara ini semula dan bertemu dengan peminat-peminat di sini,” ujarnya.

Ip Man 4: The Finale bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 20 Disember 2019. – KopiPlanet.com

Penerbit Sedih Filem Garang Kurang Dapat Sambutan Penonton

Penerbit filem Garang ‘Aku Luar Biasa’, Dakshina Muriti meluahkan rasa sedih apabila filem berkisar Orang Kelainan Upaya (OKU) itu kurang mendapat sambutan penonton.

Dakshina berkata, dia berasa terkilan apabila sambutan filem yang diinspirasi daripada kisah benar itu menerima jumlah penonton yang rendah.

“Saya sedih apabila majoriti yang menonton filem berkisarkan Orang Kelainan Upaya (OKU) ini dalam kalangan OKU saja “Inisiatif filem ini adalah bagi mencari dana untuk membina sebuah asrama baru untuk pelatih OKU di Bengkel Sampul Surat di Batu Pahat, Johor.

“Bagaimanapun sejak ditayangkan 5 Disember lalu, tidak ramai yang menyokong filem ini sedangkan filem ini mempunyai misi yang besar untuk membantu golongan OKU. Sedangkan, jalan ceritanya juga cukup menarik apabila ia mengisahkan kisah hidup seorang bekas atlit paralimpik kebangsaan, Izam dalam acara sukan lumba kerusi roda,” ujarnya mengenai sambutan filem sulung terbitannya itu yang menemui penonton sejak minggu lalu.

Filem terbitan Sakti Films Sdn. Bhd. yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta termasuk pembikinan dan pemasaran itu dibintangi barisan pelakon hebat seperti Pablo Amirul, Ahmad Maembong (OKU Fizikal), Osman Omar (OKU Fizikal), John Elijah (OKU Fizikal), Chacha Maembong, Wan Hanafi Su, Jalil Hamid, Izam Abdul Hamid (OKU Fizikal) dan Shukur Abd Hamid (OKU Fizikal).

Sementara itu, salah seorang pelakon OKU Osman Omar yang kali pertama berlakon filem menyeru sokongan daripada semua pihak terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu mempromosikan filem Garang ini.

“Jika selama ini warga OKU menyokong filem orang normal, mengapa tidak kali ini masyarakat Malaysia menunjukkan sokongan kepada filem OKU yang memberi banyak mesej dan pengajaran ini.

“Filem ini bila-bila saja boleh dihentikan tayangan sekiranya tiada sambutan daripada penonton. Jika ia dihentikan maka terbantutlah misi untuk membantu golongan OKU.

“Saya juga mohon sokongan daripada pihak kerajaan untuk membantu filem ini kerana perjalanan yang kami tempuh untuk menyiapkan filem ini bukan mudah,” katanya.

Garang mengisahkan tentang Izam, seorang atlit paralimpik yang telah banyak mewakili negara dalam acara sukan lumba kerusi roda.

Satu insiden yang berlaku pada Izam telah menimbulkan sengketa antara Jasmin dan Reza sehingga memaksa Jasmin mendapatkan pertolongan dari tiga sahabat lamanya iaitu Kamal, Rashid dan Macha. Mampukah tiga sahabat ini merungkai segala konflik yang ada dan membantu Jasmin. – KopiPlanet.com

Aksi Tangkas Donnie Yen Kembali Dalam Siri Terakhir Ip Man 4: The Finale

Peminat filem aksi Ip Man pasti sudah tidak sabar menantikan siri terakhir Ip Man 4: The Finale yang bakal ditayangkan bermula 20 Disember ini.

Masih mengekalkan hero aksi lasak yang sama iaitu pelakon berpengalaman Donnie Yen, pastinya pelbagai aksi lasak dan ekstrem bakal memuaskan hati peminat setia filem ini.

Menurut Donnie, pengalamannya dalam membawakan watak sebagai Ip Man sebelum ini banyak membantunya untuk menjayakan filem tersebut.

“Pengalaman yang saya ada banyak membantu saya menghayati watak ini dengan lebih mendalam namun ia bukanlah satu perkara yang mudah.

“Bagaimanapun, saya cukup bertuah kerana diberi peluang untuk memegang watak yang sama sebanyak empat kali,” katanya.

Ip Man 4: The Finale merupakan arahan Wilson Yip diterbitkan oleh Mandarin Film, manakala dibawakan oleh Lotus Five bersama RAM Entertainment selaku rakan pemasaran.

Bagi menjayakan babak pertarungan pula, pelakon itu menjelaskan bimbingan daripada Yuen Woo Ping yang bertindak selaku pengarah aksi akan memastikan setiap babak dapat dilakukan dengan sempurna.

“Beliau adalah seorang senior yang dihormati dan guru yang terkenal. Saya yakin dengan koreografinya kerana setiap idea yang diutarakan adalah asli dan baharu.

“Selain itu, beliau akan memastikan setiap aksi pukulan mendapat momen yang terbaik bagi mencapai kesempurnaan,” ujarnya lagi.

Selain Donnie, filem hebat ini turut dibintangi Wu Yue, Scott Adkins, Chris Collins, Vanness Wu, Vanda Margraf dan Danny Chan Kwok-kwan.

Ip Man 4: The Finale diedarkan oleh Lotus Five Star bersama rakan pemasaran RAM Entertainment akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 20 Disember ini.

Sinopsis:

Donnie Yen kembali menghidupkan wataknya sebagai Ip Man menerusi Ip Man 4: The Finale. Kisahnya bermula apabila hubungan Ip Man dengan anaknya, Ip Chun semakin terasing. Demi masa depan anaknya, Ip Man telah pergi ke San Francisco, Amerika Syarikat bagi mencari kemudahan persekolahan yang sesuai.

Bagaimanapun, ketika berada di sana, dia berhadapan dengan diskriminasi kaum yang berterusan dan sering diperlakukan secara tidak adil oleh penduduk tempatan.

Sambutan Hangat… Pengarah Sahkan Bakal Hasilkan Sambungan Filem Pusaka

Berdasarkan sambutan hangat yang diterima daripada penonton, filem bergenre seram terbitan Astro Shaw iaitu Pusaka akan mempunyai kesinambungan.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengarahnya, Razaisyam Rasyid yang menyatakan memang sudah ada perancangan untuk menghasilkan sekuel filem berkenaan.

“Apa yang boleh saya katakan filem Pusaka akan ada sambungan. Persetujuan secara verbal bersama pihak penebit juga sudah dibuat dan kini ia masih dalam proses pembangunan skrip.

“Untuk jalan ceritanya pula, ia adalah kesinambungan kepada filem yang pertama dan mungkin akan mengekalkan sebahagian besar pelakon asal,” ujarnya.

Razaisyam berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pratonton drama berjudul Sembilan yang berlangsung di MBO The Starling Mall semalam.

Berkenaan sambutan hangat dengan kutipan sebanyak RM13 juta yang diraih, Razaisyam sendiri mengakui agak terkejut dengan penerimaan penonton.

Ujarnya, pendekatan berbeza yang dilakukan untuk filem berkenaan dilihat antara menjadi faktor utama Pusaka dapat menarik minat penonton ke pawagam.

“Untuk filem ini ia agak berbeza dengan filem-filem seram lain apabila saya menggabungkan elemen seram dan penyiasatan bagi menghasilkan sebuah jalan cerita yang menarik.

“Bagaimanapun, saya juga tidak menafikan populariti barisan pelakon utama dalam filem Pusaka juga turut memainkan peranan yang penting,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Busut Bonang Angkat Tema Urban Legend Dalam Masyarakat Moden

Bakal ditayangkan bermula 19 Disember ini, filem bergenre seram komedi, Busut Bonang mengangkat tema ‘urban legend’ mengenai saka yang masih diamalkan masyarakat moden pada masa kini.

Pengarahnya Khalid Nadzri berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan adalah cetusan bersama penulis skrip iaitu Siti Jasmina Ibrahim.

“Menerusi proses perbincangan dan genre komedi seram yang dipilih bersama seorang lagi penulis skrip iaitu Aloy Paradoks, akhirnya ia diolah menjadi sebuah cerita mengenai saka sebagai isu utama.

“Malah, busut juga menjadi suatu tanggapan kisah rakyat yang berkait rapat dengan entiti, misalnya menjadi tempat pemujaan animisme dan pontianak bertenggek,” ujarnya.

Busut Bonang menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Jasper Supayah, Rashidah Jaafar, Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri, Badrolshah @ Bard dan Ropie.

Filem terbitan Alfanazra Productions Sdn. Bhd itu merupakan arahan kedua Khalid Nazri yang sebelum ini pernah tampil dengan filem sulungnya berjudul Coverina.

Jelasnya, menerusi filem Busut Bonang ini ia menerapkan sebuah kisah seram yang dekat dengan rakyat, terutama yang masih mempercayai kisah mistik.

“Dalam filem ini, selain menerapkan elemen hiburan kepada penonton, ia juga memberi sindiran sinis terhadap masyarakat yang masih lagi tebal dengan kepercayaan mistik,” ujarnya.

Menurutnya, penggambaran filem berkenaan dilakukan pada Januari 2019 di dua buah lokasi iaitu di Kuala Kangsar dan Ipoh selama 20 hari.

Ketika ditanya tentang cabaran sepanjang pembikinan Busut Bonang, Khalid memberitahu antara yang paling sukar ialah untuk menerapkan dua elemen iaitu seram dan komedi.

“Bagi saya bukan mudah untuk menterjemahkan sebuah filem seram dengan menerapkan elemen komedi untuk membuatkan penonton ketawa.

“Bagaimanapun, lakonan yang ditampilkan barisan pelakon memang banyak membantu pembikinan filem ini berjalan dengan lancar,” katanya lagi.

Sinopsis Busut Bonang:

Arwah Cikgu Hassan ditemui mati dalam keadaan yang menggerikan di Kampung Bonang. Sejak kejadian itu buah mulut tersebar dalam kalangan orang kampung bahawa arwah berkeliaranmenuntut pewaris baru. Selepas kematiannya, Julia anak kepada Arwah Cikgu Hassan sering tidak sihat dan mengalami gangguan makhluk halus.

Sementara itu, Joey pemilik rancangan televisyen Merungkai Misteri telah dipanggil untuk mencari kebenaran di sebalik semua kejadian itu dan membersihkan nama keluarga arwah Cikgu Hassan, dan untuk tujuan itu Joey telah menculik Lutfy dibawa ke Kampung Bonang untuk dijadikan krunya.

Lutfy hanyalah seorang penjual jeruk berhajat mahu mencuba pekerjaan baru dan datang ke sesi temuduga, namun diperdaya hingga ke Kampung Bonang. Kejadian menjadi semakin misteri apabila Julia, Lutfy dan Joey dalam perjalanan mereka ke Kampung Bonang telah ditutup pandangan oleh Penunggu Busut hingga mereka sesat. – KopiPlanet.com

Sambutan Hangat, Anak Perjanjian Syaitan Terus Tayang Di 42 Pawagam

Di atas sambutan hangat, filem paling seram tahun ini, Anak Perjanjian Syaitan yang diarahkan Helmi Mohd Yusof terus ditayangkan di 42 buah pawagam seluruh negara.

Penerbit Screen Studios Sdn. Bhd, Saifulhaq Anani berkata pihaknya tidak menyangka apabila masih ada pawgam yang terus menayangkan filem sulung terbitan syarikatnya itu biarpun ia sudah memasuki minggu ketiga.

“Sudah tentu saya agak terkejut dengan perkembangan ini memadangkan sudah terdapat beberapa buah filem baharu yang sudah mula ditayangkan.

“Apapun pihak kami tetap berterima kasih kepada 42 buah pawagam yagn masih lagi mahu terus menayangkan filem Anak Perjanjian Syaitan ini,” katanya.

Biarpun terpaksa bersaing dengan filem tempatan dan Hollywood, pihaknya yakin Anak Perjanjian Syaitan masih lagi mendapat permintaan penonton.

“Kepada yang masih belum berkesempatan untuk menonton, saya seru supaya ramai-ramai supaya serbu panggung selagi Anak Perjanjian Syaitan terus tayang di pawagam,” ujarnya.

Anak Perjanjian Syaitan yang dibintangi Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid dan Azlan Komeng mula ditayangkan bermula 24 Oktober lalu.

Sinopsis:

Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Cikgu Zaidy (Nadzmi Adhwa) dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahaya mata. Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid) seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.

Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampong di daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Sahronizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila di bawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor.

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’. Apakah kesudahannya, jangan lupa tonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019.

Lima Hari Tayang, Anak Perjanjian Syaitan Raih Kutipan RM1.01 Juta

Filem paling seram 2019, Anak Perjanjian Syaitan ternyata mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM1.01 juta dalam tempoh lima hari tayangan.

Penerbit Screen Studios Sdn. Bhd., Saifulhaq Anani berkata, pihaknya sendiri tidak menyangka dengan sambutan hangat yang diterima daripada penonton.

“Sudah tentu ia satu perkembangan yang positif, apatah lagi Anak Perjanjian Syaitan terpaksa bersaing dengan filem-filem besar Hollywood lain seperti Maleficent Mistress Of Evil, Terminator: Dark Fate dan Joker.

“Bagaimanapun, kami percaya dengan kekuatan jalan cerita yang ditampilkan dalam filem ini serta maklum balas positif daripada penonton,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Saifulhaq, selain promosi yang berterusan di media cetak dan elektronik, komen-komen positif penonton di media sosial turut memainkan peranan besar.

Ujarnya, biarpun Anak Perjanjian Syaitan tidak meletakkan nama-nama besar dalam barisan pelakon, namun kepercayaan penonton sangat penting.

“Saya anggap Anak Perjanjian Syaitan ini sebuah filem ‘underdog’, meskipun terpaksa bersaing dengan filem besar yang lain, kutipannya tetap memberangsangkan,” jelasnya.

Anak Perjanjian Syaitan terbitan Screen Studios Sdn. Bhd. sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura pada 24 Oktober 2019.

Filem arahan Helmi Yusof itu menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Azlan Komeng dan Sahronizam Noor. – KopiPlanet.com

Maklum Balas Positif… Anak Perjanjian Syaitan Bakal Tayang Di 100 Pawagam

Filem paling seram 2019, Anak Perjanjian Syaitan ternyata mendapat sambutan hangat apabila bakal ditayangkan di 100 buah pawagam seluruh Malaysia termasuk negara jiran Brunei dan Singapura.

Penerbit Screen Studios Sdn. Bhd., Saifulhaq Anani berkata, ia merupakan satu perkembangan yang cukup positif buatnya sebagai penerbit yang baharu berkecimpung dalam industri perfileman.

“Bagi saya dengan jumlah sebanyak 100 pawagam yang akan menayangkan filem ini, kami yakin Anak Perjanjian Syaitan akan memberikan satu kepuasan kepada penonton.

“Malah, kami difahamkan penambahan jumlah pawagam ini adalah permintaan pihak pawagam sendiri berdasarkan maklum balas positif penonton yang telah menontonnya semasa majlis tayangan perdana baru-baru ini,” katanya.

Menurut Saifulhaq lagi, pihaknya kini dalam usaha untuk membawa filem berkenaan bagi tayangan di Indonesia.

“Pada masa ini kami telah menghantar filem ini kepada pihak pawagam di sana dan sedang menunggu maklum balas daripada mereka,” ujarnya lagi.

Anak Perjanjian Syaitan terbitan Screen Studios Sdn. Bhd. akan ditayangkan di pawagam pada Khamis ini.

Filem arahan Helmi Yusof itu menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Azlan Komeng dan Sahronizam Noor.

Sinopsis Anak Perjanjian Syaitan:

Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Cikgu Zaidy (Nadzmi Adhwa) dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahaya mata. Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid) seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.

Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampong di daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Sahronizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila di bawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor.

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’. Apakah kesudahannya, jangan lupa tonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019. – KopiPlanet.com

KL Vampires Papar Kisah Tentang Perebutan Takhta Kekuasaan

Ingin membawa satu kelainan, penerbit Cinemaya Studios Sdn. Bhd memilih tema cerita tentang kewujudan vampires yang merebut takhta kekuasaan bagi memberikan pelbagai pilihan sajian tontonan buat penggemar filem tempatan.

Pengarahnya, Daven R. berkata, minat yang mendalam terhadap filem-filem fiksyen seperti Star Wars dan Close Encounters of the Third Kind telah mencetuskan idea kepadanya untuk menghasilkan filem fiksyen.

Menurut Devan lagi, dia sudah menyimpan impian untuk menghasilkan filem tersebut sejak 2012 lagi selepas dia terbaca artikel mengenai vampires yang ditulis oleh seorang blogger yang dikenali sebagai Nazri Vovinski.

“Dalam tulisnya itu, dia mengatakan tentang kewujudan vampires di Malaysia dan tulisannya itu agak melucukan.

“Kemudian saya bermimpi pula tentang adanya seorang vampire jahat yang ingin menguasai dunia dan mulai saat itu saya bertekad untuk menghasilkan sebuah filem vampires,” katanya.

Selaku pelakon utama, Raja Ilya melahirkan keterujaannya apabila dapat bekerjasama dengan pengarah Davan R. memandangkan dia sudah lama mengintai peluang untuk bekerja di bawah arahan lelaki tersebut.

“Sebelum ini saya memang teringin untuk bekerja di bawah arahan Daven R. dan hampir menjayakan sebuah projek, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan. Kemudian apabila mendapat tawaran berlakon dalam filem KL Vampires, saya rasa tidak boleh menolaknya kerana percaya dengan hasil kerjanya yang sangat membanggakan,” ujarnya.

Sementara itu, Josiah Hogan pula berkata dia menerima tawaran itu kerana tertarik dengan babak aksi yang digarap dalam filem tersebut.

“Untuk filem ini banyak babak aksi yang membabitkan diri saya tetapi hasil tunjuk ajar daripada koreografer iaitu Donny Alamsyah dan Cecep Arif Rahman ternyata memberikan saya banyak ilmu dan pengetahuan. Misalnya, salah satu babak yang paling sukar adalah babak pertarungan antara saya dan Pablo Amirul yang mengunakan kabel elektrik,” katanya.

KL Vampires yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 14 November ini dibintangi Raja Ilya, Josiah Hogan, Aeril Zafrel, Reen Rahim, Mustaqim Bahadon, Pablo Amirul, Wan Hanafi Su, Saiful Apek dan bintang aksi Indonesia, Donny Alamsyah dan Cecep Arif Rahman.

Filem ini telah menjalani penggambaran selama 55 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Jogjakarta, Indonesia pada tahun 2016. – KopiPlanet.com

Sinopsis: KL Vampires

KL Vampires mengisahkan tentang dua kumpulan vampire yang merupakan keturunan kepada Raja Bersiong. Mereka tidak lagi menghisap darah manusia, sebaliknya menggunakan darah sintetik sebagai penggantian kepada darah.

Kerajaan vampires yang paling kuat ketika itu diketuai oleh seorang Ratu Vampire iaitu Ratu Citra Sari dan dibantu ketua komandan iaitu Shah. Manakala sebuah lagi kumpulan diketuai Argus yagn merupakan anak kepada Panglima Adi Wijaya dan telah mengkhianati Raja Bersiong iaitu ayah kepada Ratu Citra Sari.

Kira-kira 200 tahun yang lalu, Raja Bersiong telah membunuh Adi Wijaya serta bala tenteranya dengan menimbus mereka di dalam tanah menerusi mantranya. Argus cuba membangkitkan semula tentera-tentera tersebut dan ia hanya dapat dilakukan dengan pisau bersiong dan mantra istimewa.

Apakah yang akan berlaku seterusnya, semua ini akan dapat disaksikan dalam filem KL Vampires yang akan menemui penonton di pawagam pada 14 November 2019. – KopiPlanet.com