• FOLLOW US

Kabir Bhatia, Erma Fatima & Osman Ali Antara Calon Pengarah Filem Hasmah

Seramai empat pengarah menjadi perhatian penerbit filem biopik tentang Wanita Pertama Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bagi mengarahkan filem yang bakal memulakan penggambarannya pada Mac tahun hadapan.

Menurut Pengarah Urusan Tune Production Sdn Bhd, Hafiz Datuk Rozlan, setakat ini empat pengarah termasuk seorang dari Indonesia menjadi pertimbangan pihak produksi untuk tujuan tersebut.

Antara nama pengarah yang menjadi sebutan mereka ialah Kabir Bhatia, Erma Fatima, Osman Ali dan pengarah dari negara jiran, Faozan Rizal yang pernah mengarahkan filem autobiografi percintaan presiden ketiga Indonesia, Habibie & Ainun.

Ketika mengulas mengenai kebarangkalian untuk memilih pengarah luar sebagai pengarah filem ‘Hasmah: Bila Deh Bertemu Det’, Hafiz menjelaskan perkara itu tidak sepatutnya dilihat sebagai satu isu yang perlu diperbesar-besarkan.

“Bagi saya apa-apa sahaja naskah yang kita berikan kepada pengarah, kita tidak boleh tengok daripada latar belakang atau asal-usul mereka. Kita seharusnya mengukur kepada hasil kerja mereka selama ini. Sebagai contoh, seorang pelakon kalau dia melakonkan teatar Hamlet karya William Shakespeare, itu tidak bermaksud mereka hendak jadi orang putih. Itu adalah tugas mereka untuk memahami konteks lakonan agar mereka dapat menjiwai sesuatu watak yang ditawarkan.

“Tidak dinafikan Faozan memang bagus tapi kami juga tidak boleh kecualikan yang kami masih perlukan khidmat pengarah tempatan untuk bersama-sama menjayakan filem ini. Seperti contoh, Erma Fatima kalau filem ini diarahkan olehnya, dia boleh melihat dari sudut seorang wanita memandangkan filem ini berkisarkan tentang kehidupan Tun Hasmah. Setiap pengarah ada kelebihan masing-masing,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media pra-pelancaran filem Hasmah yang berlangsung di The Love, Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Eddin Syazlee Shith. Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Filem yang akan mengisahkan tentang perjuangan dan kisah percintaan Tun Hasmah bersama suami, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu bakal dibintangi Nad Zainal, Hasnul Rahmat dan Zamarul Hisham.

Bakal mengadakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Singapura, London, Kobe dan New York, filem ini dianggarkan menelan belanja sehingga RM7 juta.

Ketika ditanya bila pihak produksi akan membuat pemilihan calon pengarah yang bersesuaian dengan filem ini, Hafiz menjelaskan, “Kami akan mengadakan pertemuan dengan Tun Hasmah dalam minggu ini dan akan meminta pandangan beliau mengenai perkara ini. Dalam perancangan, mungkin kami akan memilih dua pengarah untuk bekerjasama mengarahkan filem biopik ini.”

Filem Hasmah yang bergenre biopik romantik ini sudah mendapat perkenan dan izin daripada Tun Hasmah malah beliau mahukan karya agung ini dihasilkan sebaik mungkin agar ia menjadi rujukan untuk generasi akan datang. – KopiPlanet.com

Pengarah Indonesia Bakal Arahkan Filem Biopik Hasmah?

Belum pun memulakan penggambaran, filem biopik Hasmah yang bakal menelan belanja RM10 juta, sudah pun kedengaran suara tidak puas hati daripada beberapa anak seni tempatan.

Apatah lagi ada sumber yang sampai ke telinga, filem Hasmah yang mengisahkan figura kesayangan rakyat Malaysia iaitu Tun Dr Siti Hasmah, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir akan diarahkan pengarah dari Indonesia.

Antara persoalan yang timbul, mengapa pengarah luar yang perlu diambil untuk mengarah filem itu? Apa pengarah kita tak cukup bagus ke?

Tambahan lagi, rakyat Malaysia lebih mengenali peribadi Tun Dr Siti Hasmah berbanding orang luar.

Selain itu, ada ramai lagi pengarah berkaliber tempatan seperti Erma Fatima, Datuk Shuhaimi Baba, Syamsul Yusof malah Aziz M Osman lebih bersesuaian untuk mengarah filem itu.

Pengarah-pengarah tempatan ini sudah membuktikannya dalam karya-karya biopik dan sejarah tempatan.

Ambil contoh, Shuhaimi Baba pernah mengarah filem biopik Tanda Putera, manakala Erma Fatima pula filem Embun dan Aziz M Osman pula filem Leftenan Adnan. Manakala Syamsul pula dalam proses menyiapkan filem sejarah Mat Kilau.

Apa sekali pun, kalau benar filem Hasmah yang bakal dibintangi pelakon seperti Nad Zainal dan Hasnul Rahmat itu boleh ‘hidup’ di tangan pengarah asing, kita tunggu dan lihat apa perkembangannya. – KopiPlanet.com

The Spirit Of Ramayana Kisah Penari Dikuasai Hantu Wanita

Filem-filem bercorak seram dari Thailand sememangnya antara genre filem yang cukup digemari oleh penonton di Malaysia dan tidak dinafikan terdapat beberapa buah filem seram Thailand yang mendapat sambutan hangat serta mendapat kutipan pecah panggung.

Maka, Film Frame Productions iaitu sebuah syarikat produksi dari negara ‘Gajah Putih’ itu muncul dengan sebuah filem seram terbaharu berjudul The Spirit Of Ramayana.

Pengarahnya, Chaiwat Sitalasai berkata, filem arahannya itu nyata agak berbeza dengan filem-filem seram Thailand yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“The Spirit Of Ramayana merupakan sebuah filem seram yang tampil dengan jalan cerita yang menarik dengan menyelitkan beberapa elemen yang jarang dipaparkan dalam genre sebegini.

“Untuk filem ini pula, antara elemen utama yang kami paparkan adalah unsur-unsur tarian tradisional dan kontemporari Thai, di sebalik sebuah kisah yang menyeramkan,” ujarnya.

Bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 12 September 2019, ia menampilkan barisan pelakon seperti Ausadaporn Siriwattanakul, Anusorn Maneeted, Jeffrey Benjakul dan Thitikan Sitthisamphan.

Filem berkenaan mengisahkan Mintra, 24, seorang penari menghadiri sesi uji bakat watak idamannya iaitu Seeda dalam sebuah pementasan teater Ramayana.

Mintra sangat mendambakan watak tersebut agar dia dapat membuktikan kepada keluarganya bahawa minatnya terhadap dunia tarian sangat mendalam selain inign menampung kehidupan sehariannya.

Namun, Mintra tidak berjaya dalam uji bakat watak utama disebabkan karakternya yang terlalu baik. Peranan itu kemudiannya telah diberikan pengarah kepada musuh Mintra iaitu Gina.

Mintra hanya diberi watak pembantu dan perkara itu telah membuatkannya tidak berpuas hati, tetapi dia masih menerima watak yang diberikan.

Bagaimanapun, ketika menjalani latihan seorang hantu wanita telah berjumpa dan bercakap dengan Mintra. Hantu berkenaan mengatakan mahu membantu Mintra dan sebagai balasan Mintra juga perlu membantunya.

Menurut Chaiwat, The Spirit Of Ramayana merupakan sebuah filem yang harus ditonton kerana ia memberikan sebuah kelainan dan jalan cerita yang tersendiri.

“Saya percaya elemen seram dalam filem ini pastinya membuatkan penonton tidak senang duduk, namun saya yakin ia sebuah filem yang menghiburkan,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pelakon utamanya iaitu Green Ausadaporn Siriwattanakul pula menyatakan dia tertarik untuk membintangi filem berkenaan kerana watak yang diberikan sangat mencabar.

Ujarnya, untuk menjayakan watak sebagai Mintra dia perlu melakonkan babak tarian, terutama sekali membabitkan tarian tradisional.

“Apabila mendapat tawaran berlakon dalam filem ini, saya rasa ia satu peluang yang tidak harus dilepaskan sama sekali.

“Selain jalan ceritanya yang begitu menarik, saya bersetuju untuk terbabit dalam filem ini kerana karakter Mintra itu sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, untuk menjayakan watak yang diberikan, dia terpaksa memasuki kelas tarian selama sebulan sebelum penggambaran bermula.

Seorang lagi pelakon utamanya iaitu Anusorn Maneeted mengakui The Spirit Of Ramayana merupakan sebuah naskhah yang unik dan tersendiri.

Ujarnya, filem berkenaan ternyata memberi nafas baharu dalam genre seram apabila menyelitkan elemen tarian tradisional Thailand.

“Apa yang boleh saya katakan ini merupakan filem paling seram yang pernah saya lakonkan setakat ini. Kalau hendak merasai sendiri sejauh mana seramnya filem ini, penonton akan merasanya ketika menonton di pawagam nanti,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Boboiboy 2 Kini Muncul Filem Animasi Terlaris Di Malaysia

Filem animasi tempatan Boboiboy Movie 2 (BBBM2) telah berjaya mengutip sebanyak RM27.7juta di Malaysia sahaja dalam masa 26 hari.

Secara rasmi filem animasi ini menjadi filem animasi terlaris No 1 di Malaysia mengatasi filem-filem animasi tempatan yang pernah diterbitkan di Malaysia. Ia sekali gus berjaya mengatasi kutipan filem animasi antarabangsa yang pernah ditayangkan di Malaysia.

Pengumuman ini telah disampaikan melalui media sosial Astro Shaw dan Animonsta Studios hari ini. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abdul Razak, yang juga merupakan penerbit serta pengarah filem BBBM2 ,
“Kami di MONSTA amat teruja dengan pencapaian BoBoiBoy Movie 2 yang berjaya memecahkan rekod kutipan tertinggi semua filem animasi di Malaysia. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada jutaan penonton dari pelbagai bangsa dan lapisan umur yang menyokong BBBM2.

Bagi Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, “Kami amat gembira segala usaha promosi dan pemasaran yang dirangka dan dijalankan benar-benar memberikan impak yang positif.

“Ini merupakan perkembangan yang sangat baik dalam industri filem tempatan dan menunjukkan filem animasi tempatan kita mampu bersaing dengan filem antarabangsa. Kami sangat berterima kasih kepada penonton yang telah menonton dan menjadikan filem Boboiboy Movie 2 filem Animasi No 1 Malaysia.”

Filem BBBM2 masih lagi rancak ditayangkan, sudah memasuki empat minggu ditayangkan. Namun, filem ini masih memberikan persaingan sengit dengan filem lain dan masih dalam carta top 5 kutipan mingguan pawagam. – KopiPlanet.com

Sumpahan Jerunei Papar Kisah Budaya Silam Masyarakat Melanau

Setelah agak lama tidak menghasilkan filem, penerbit Datuk Nancy Foo dan Datin Wendy Wong menerusi syarikat Produksi Seni 2020 bakal tampil dengan sebuah filem seram baharu berjudul Sumpahan Jerunei.

Menariknya, filem berkenaan yang diarahkan oleh pengarah Jason Chong untuk menampilkan sebuah karya yang memaparkan kisah budaya silam masyarakat Melanau di Sarawak.

Menurut Nancy, pada asalnya pihaknya sekadar mahu menghasilkan sebuah dokumentri, tetapi mengubah fikiran untuk diolah ke dalam filem.

“Sebelum memulakan penggambaran kami mengambil masa selama empat tahun untuk membuat kajian. Akhirnya, kami sepakat untuk menjadikannya sebuah filem.

“Biarpun tema filem ini mengangkat tentang budaya masyarakat Melanau, tetapi kami tetap menitikberatkan elemen komersial untuk menarik minat orang ramai menonton filem ini nanti,” ujar Nancy ketika ditemui di lokasi penggambaran filem berkenaan di Kuching, Sarawak semalam.

Sumpahan Jerunei dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Tony Eusoff, Uqasha Senrose, Yuyun Hikmah, Daiyan Trisha serta Ruminah Sidek.

Ia memaparkan tentang sejarah silam kaum Melanau yang penuh misteri, terutama berkaitan dengan adat pengebumian golongan bangsawan Melanau dengan jerunei dan ketika ini tinggalan sejarah jerunei masih lagi boleh ditemui di Kampung Tellian Tengah Mukah.

Seorang lagi penerbit iaitu Wendy pula memberitahu, memandangkan Sumpahan Jerunei turut membabitkan imej janaan komputer (CGI), pihaknya turut menggunakan khidmat seorang pakar CGI yang pernah bekerja dalam beberapa filem blockbuster Hollywood seperti Harry Potter.

“Selain jalan cerita, sudah tentu kualiti filem ini amat dititikberatkan memandangkan kami sasar mahu memasarkan filem di luar negara.

“Malah, kami kini sedang menyiapkan teaser Sumpahan Jerunei dan akan dibawa ke Pesta Filem Cannes pada bulan hadapan bagi mencari pihak-pihak yang berminat dengan filem ini nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang ditemui menyatakan pihak kerajaan negeri sangat mengalu-alukan penerbitan filem ini yang dilihat sebagai sebahagian daripada mempromosikan budaya di Sarawak.

Ujar Abdul Karim, pihaknya turut memberikan sepenuh sokongan kepada penerbit Sumpahan Jerunei agar penggambaran filem tersebut berjalan dengan lancar.

“Ketika penerbit membentangkan kertas kerja tentang penerbitan filem ini, saya merasakan ia suatu cerita yang sangat menarik, terutama sekali untuk memperkenalkan budaya Sarawak kepada masyarakat luar.

“Pihak kami menyedari bahawa filem juga merupakan satu medium yang terbaik untuk mempromosikan negeri ini bagi menarik lebih ramai pelancong,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Mood Seram Latari Muzik Video OST Anak Perjanjian Syaitan

Bagi menimbulkan mood seram, pengarah muzik video lagu runut bunyi filem Anak Perjanjian Syaitan, Ahmad Mustadha memilih kawasan hutan di Batu 20, Kuang, Selangor bagi melatari muzik video lagu Suara nyanyian Siti Nursairah Tarudin.

Menurut Mustadha, penggambaran yang mengambil masa selama enam jam itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan malah mood seram yang ingin dipaparkan berjaya diperolehi.

“Sebelum menghasilkan konsep muzik video ini saya terlebih dahulu baca sinopsis filem ini bagi menimbulkan mood seram sama agar ia membawa kesinambungan apabila penonton melihat muzik video lagu Suara ini.

“Muzik video itu kelak akan diselang-seli dengan adegan filem Anak Perjanjian Syaitan agar penonton boleh hubungkan lagu ini dengan filem tersebut. Konsep seram ini diharap dapat memberikan perasaan teruja kepada penonton sekali gus menjadi teaser kepada penonton untuk menonton filem di pawagam kelak,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada sesi penggambaran muzik video OST Anak Perjanjian Syaitan, Suara yang berlangsung di Kuang, Selangor baru-baru ini.

Dibantu dengan kekuatan seramai 12 krew produksi, penggambaran yang berlangsung dari jam 8 malam dan berakhir pada 12 tengah malam itu menjadikan sebatang pokok besar sebagai subjek utama di samping penampilan Siti Nursairah yang berpakaian persis Cik Siti Wan Kembang dalam rona maroon.

Filem Anak Perjanjian Syaitan yang diarahkan Helmi Yusof bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober ini. Ia dibintangi Nadzmi Adhwa, Cha Cha Maembong, Jasmin Hamid dan Badrul Muhayat.

Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Zaidy dan isterinya, Azlinda yang sudah tujuh tahun berkahwin tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Zaidy iaitu Rahmah yang terlalu mendesak mereka untuk segera menimang cahaya mata.

Pasangan itu tinggal di rumah pusaka nenek Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila dibawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor.

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu Azlinda berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang misteri. Apakah kesudahan filem bergenre seram ini, jangan lupa saksikan di pawagam bermula 24 Oktober ini. – KopiPlanet.com

Pengembaraan Dora & The Lost City of Gold Tawan Hati Penonton

Tajuk: Dora And The Lost City of Gold
Tarikh Tayangan: 8 Ogos 2019
Durasi: 1 jam 43 minit
Genre: Komedi / Famili
Pengarah: James Bobin
Pelakon: Isabela Moner, Eugenio Derbez, Eva Longoria, Jeff Walhberg, Nicholas Coombe, Madeleine Madden, Danny Trejo
Klasifikasi: P13

Sempena cuti musim sekolah Ogos ini, pastinya ada filem khas untuk penonton cilik di luar sana untuk mengisi masa terluang. Dora And The Lost City of Gold adalah pilihan yang sesuai untuk hiburan anda sekeluarga.

Memaparkan tema penggembaraan, filem arahan James Bobin itu diangkat menerusi siri animasi terbitan Nickelodeon Animation Studio, Dora The Explorer yang cukup popular di kalangan kanak-kanak.

Kali ini watak Dora lakonan Isabela Moner diangkat ke layar perak beserta jalan cerita yang cukup ringkas dan mudah difahami oleh kanak-kanak.

James membawa penonton menyelami kehidupan Dora yang kini sudah semakin meningkat remaja. Setelah lama membesar di kawasan hutan, Dora akhirnya berhijrah ke ‘hutan konkrit’ dan mula bersekolah di bandar untuk memudahkan dia bergaul dengan rakan sebaya.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran namun Dora berjaya mengatasi masalah itu dengan pertolongan sepupunya, Diego yang turut menuntut di sekolah sama.

Yang menariknya, Isabela saling tak tumpah seperti Dora versi animasi di mana dari raut wajah, potongan rambut, cara berpakaian dan bercakap hampir mirip sepenuhnya. Memang pelakon yang tepat untuk watak Dora!

Watak dua rakan baharu Dora iaitu Randy dan Sammy turut memainkan peranan penting kerana menjadi ‘side kick’ sepanjang penggembaraan Dora untuk menyelesaikan misteri di sebalik kehilangan ketamadunan Kota Inca.

Filem ini secara keseluruhannya menerapkan pelbagai mesej dan nilai pengajaran yang boleh dijadikan pegangan untuk kanak-kanak yang menonton.

Antaranya, sikap setiakawan di antara Dora, Diego, Randy dan Sammy yang saling bantu-membantu ketika mereka terlibat dalam konflik dan tidak mementingkan diri di antara satu sama lain.

Filem edaran United International Pictures ini juga mengajar seseorang itu agar lebih berwaspada dalam kehidupan kerana orang yang disangka baik itu kadang kala jauh menyimpang daripada sangkaan kita, malah boleh menjadi gunting dalam lipatan yang mampu merosakkan kita.

Untuk mengetahui karakter mana yang berpewatakan seperti itu, jangan lupa bawa anak dan keluarga untuk berhibur dengan Dora And The Lost City of Gold di pawagam berhampiran anda hari ini! – KopiPlanet.com

BoboiBoy Movie 2 Sasar Tayang Di China, India & Korea Selatan

Selepas mencatat kutipan pecah panggung RM18 juta menerusi BoboiBoy: The Movie yang ditayangkan tiga tahun lalu, penerbit Animonsta Studios (Monsta) kini tampil dengan BoboiBoy Movie 2 yang bakal menjengah pawagam seluruh negara mulai 8 Ogos ini.

Filem animasi penggembaraan ini akan ditayangkan di 144 pawagam tempatan, 150 di Indonesia, Vietnam (120), Singapura (8) dan Brunei (4). Yang menariknya, pihak Monsta turut menyasarkan tayangan di Korea Selatan, India dan China dalam masa terdekat selain telah menerima permintaan untuk ditayangkan di Thailand dan Filipina.

“Kami berharap BoboiBoy Movie 2 dapat menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat. Filem ini dibuat khas untuk segenap umur, dari peminat yang kecil mahupun yang dewasa, hinggalah kepada seisi keluarga. Kami gembira dapat mencipta filem yang dapat ditonton beramai-ramai.

“Dengan sasaran kualiti yang lebih tinggi, sememangnya cabaran yang perlu dihadapi untuk menghasilkan filem animasi yang rumit adalah sangat besar. Namun berbekalkan pengalaman dari filem pertama dan penggunaan teknologi yang lebih efisien dan dinamik, BoboiBoy Movie 2 berjaya disiapkan dalam tempoh 12 bulan sahaja dengan kos sebanyak RM7 juta.

“Mesej utama yang diterapkan dalam filem ini ialah tidak mudah putus asa dan kerjasama. Matlamat Animonsta Studios adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni sambil menghiburkan penonton dengan jalan cerita dan watak-watak yang menarik,” kata Ketua Pegawai Eskekutif Animonsta Studios, Nizam Abdul Razak.

Sementara itu, Penolong Kanan Naib Presiden, Ketua Pemasaran & Pengedaran Astro Shaw, Norsalvina Alwee berkata, “Kami di Astro Shaw sentiasa ingin menghasilkan dan memasarkan filem-filem yang berkualiti. Kami melihat jenama dan kualiti filem BoboiBoy Movie 2 ini mampu memberikan kepuasan buat penonton dan ia setanding dengan filem animasi antarabangsa. Oleh yang demikian, kami berasa bangga dipilih untuk bekerjasama dengan pihak Animonsta Studios untuk memasarkan dan mengedarkan filem ini.”

BoboiBoy Movie 2 mengisahkan tentang BoboiBoy dan rakan-rakannya yang diserang oleh Retak’ka, pengguna asal Kuasa Elemental. Retak’ka ingin merampas semula Kuasa Elemental dari BoboiBoy dan menggunakannya untuk menguasai galaksi. BoboiBoy dan rakan-rakan perlu mencari cara untuk menghentikan Retak’ka dan menyelamatkan galaksi daripada ancamannya.

Untuk runut bunyi (OST) filem ini, penyanyi Faizal Tahir diberi kepercayaan untuk menggubah dan menyanyikan lagu Fire & Water. Lagu ini menerapkan mesej positif yang menekankan semangat percaya pada diri dan tidak mudah berputus asa. – KopiPlanet.com

Amukan Kuntilanak Papar Kejadian Sebenar Isteri Pengarah Dirasuk Hantu

Penerbit baharu, Millionaire Films Production mahu mengembalikan kegemilangan filem bergenre seram era 80-an dengan menerbitkan filem Amukan Kuntilanak yang dijangka menjengah pawagam pada tahun hadapan.

Menurut Penerbit Eksekutifnya, Elanie Aidid pembikinan filem itu akan dimulakan pada November ini yang turut menampilkannya sebagai watak utama bersama suaminya, Amai Kamarudin.

“Filem ini bukan syok sendiri sebab saya risau orang cakap kita yang terbit, kita juga yang berlakon. Sebenarnya kalau hendak tahu, pengarah Shuhaimi Zulkefli yang mahu saya melakonkan watak utama sebab wajah saya ada iras klasik kata dia.

“Selain itu, dia kata senang nak bekerja sebab dah tahu jadual masing-masing disebabkan itu saya dan suami terima untuk berlakon dalam produksi sendiri,” katanya.

Elanie berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Amukan Kuntilanak yang berlangsung di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut Elanie, jalan cerita filem ini pula adalah berkisarkan kejadian sebenar yang pernah menimpa kepada isteri pengarah yang pernah dirasuk hantu.

Jelasnya, pihaknya bukan sekadar mahu menghasilkan filem hantu yang ‘typical’ sepertu banyak menunjukkan darah, sebaliknya iai lebih kepada emosi dan gerak laku watak hantu itu.

Sementara itu, Elanie menjelaskan dia tidak mempunyai masalah untuk berlakon bersama suaminya kerana mereka bersikap profesional bila melibatkan kerja.

“Kami memang tidak akan pernah berbincang mengenai kerja ketika berada di rumah. Kami suka asingkan kerja dan hal peribadi.

“Jadi, tiada masalah untuk kami bekerjasama dalam satu filem yang sama, lebih-lebih lagi kami merupakan penerbit eksekutif untuk naskhah ini,” katanya lagi.

Selain Elanie dan Amai, Amukan Kuntilanak turut dibintangi Shah Iskandar, Kamarul Hj Yusuf, Zulhuzaimy, Azzahra Ahmad, Syed Ali dan AJ Azril. – KopiPlanet.com

Kron Angkat Tema Fiksyen Pengembaraan, Bakal Ditayangkan 22 Ogos Ini

Jarang-jarang sekali filem berunsur fiksyen pengembaraan diterbitkan oleh produksi tempatan menarik minat pengarah Opie Zami untuk menghasilkan filem Kron yang mengambil tema tersebut.

Bakal ditayangkan bermula 22 Ogos ini, Kron yang diterbitkan Opyglobal Pictures dibintangi Zahiril Adzim, Dayana Roza, Aman Graseka dan Mamak Puteh.

Menurut Opie, Kron sebuah filem berlatar belakang kisah kerajaan Kedah Tua yang menghantar bunga emas kepada Siam dan ia kemudian plot ceritanya dikembangkan dengan menjadi sebuah filem fiksyen.

“Kron mengisahkan tentang seorang pengkaji sejarah iaitu Daud, penghidap kanser tahap empat yang menghabiskan sisa hidupnya menjejaki laluan Raja Siam yang digunakan untuk mengangkut bunga emas pemberian Sultan Kedah sekitar tahun 1803 hingga 1910.

“Motif utamanya adalah mahu mencari jawapan kepada kehilangan isterinya dalam sebuah pengembaraan. Bagaimanapun, usahanya itu telah diganggu oleh makhluk yang tidak dikenali,” kata Opie.

Menurut Opie lagi, untuk menghasilkan filem ini dia telah mendapat kerjasama dengan sebuah muzium di Kedah.

Jelasnya, filem terbaharu arahannya itu telah mengambil masa selama 28 hari penggambaran dan lokasinya adalah di Baling, Kedah dan Kuala Langat pada tahun 2017.

Menurut Opie, tidak dinafikan untuk menghasilkan filem sebegini ia memberi cabaran tersendiri buat dirinya. Misalnya, set penggambaran yang ditenggelami air disebabkan musim banjir di Kedah.

“Ternyata cara penyampaian filem ini adalah berbeza berbanding filem-filem sedia ada dan sudah tentu ia juga satu cabaran buat saya supaya jalan cerita yang ditampilkan nampak menarik dan mudah difahami penonton.

“Saya turut berharap agar filem ini diterima penonton kerana saya tahu tidak ramai pengarah yang ingin membuat filem seperti ini,” ujarnya.

Sinopsis:

KRON mengisahkan Profesor Daud (Aman Graseka) seorang pengkaji sejarah di sebuah muzium di Kedah dan pembantunya Sham (Zahiril Adzim) mahu melakukan pengembaraan menjejaki laluan Raja Siam untuk membawa bunga emas dan perak ke negaranya. Namun begitu, dia tidak mendapat kebenaran daripada pihak atasannya kerana khuatir dengan bahaya yang menimpa.

Bagaimanapun, kehadiran seorang ahli perniagaan bernama Melur Seri (Dayana Roza) telah menguatkan lagi hasrat dan cita-cita Profesor Daud memandangkan segala kos pengembaraan akan ditanggung oleh Melur Seri. Manakala, Pian (Mamak Puteh) seorang pengarah televisyen paranomal yang telah mendapat tahu tentang pengembaraan tersebut menawarkan diri untuk merakam semua aktiviti secara percuma.

Pada mulanya, semua perjalanan berjalan lancar dan mereka telah menemui pemulaan laluan yang bersejarah itu. Namun, sebaik sahaja sampai di pertengahan jalan, pandangan mereka dikaburkan dan mereka telah masuk ke laluan yang salah, sehingga kesemuanya diganggu dan diburu oleh makhluk misteri iaitu KRON. – KopiPlanet.com