HiburanSelebriti

Chef Wan Dilantik Duta Kempen ’20 Years Of Hope: Masih Di Sini’, Sumbang RM50,000 Kepada Persatuan Keluarga Max Malaysia

Cef Selebriti Malaysia Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, 68, kini dilantik menjadi duta bagi kempen “20 Years of Hope: Masih Di Sini” yang dianjurkan oleh Persatuan Keluarga Max Malaysia atau lebih dikenali sebagai Max Family Society Malaysia dengan sokongan daripada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.

Perlantikan ini berlaku sejurus perbincangan dan persetujuan antara pihak Max Family Society Malaysia dan juga Chef Wan di dalam memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kanser darah.

Ia juga bertujuan untuk lebih memahami pengalaman pesakit-pesakit kanser darah, keluarga terdekat serta pegawai perubatan dan kesihatan yang terlibat.

Satu upacara ‘Meminang’ telah diadakan oleh Max Family Society Malaysia pada 16 April 2026 di De’ Wan 1958, Bangsar, Kuala Lumpur bagi merasmikan penyatuan di antara Chef Wan dan Max Family Society Malaysia.

Max Family Society Malaysia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan platform kepada pesakit dan keluarga mereka mendapatkan sokongan informasi, emosi dan aspek psikososial, inisiatif kesedaran perubatan dan aktiviti pengumpulan dana yang digerakkan oleh komuniti terutamanya di daerah-daerah Lembah Klang.

Presiden Max Family Society Malaysia, Dr Abd Razak Muhamad berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan kesudian pihak Chef Wan untuk menerima ‘lamaran’ menjadikan beliau Duta Kempen dan sama-sama terlibat dengan kempen kesedaran yang dianjurkan.

“Antara perancangan kami di Max Family Society Malaysia adalah untuk menjalankan kempen kutipan dana melalui sebuah Konsert Amal untuk kami bantu lebih ramai pesakit dan juga keluarga pesakit kanser darah terutamanya yang terkesan secara emosi dan juga ekonomi.

“Saya sebagai seorang bekas pesakit kanser, pernah merasa peritnya kesan dan akibat kanser darah ini dan kami berharap agar kempen ini mendapat sokongan orang ramai, kita cuba jayakan sebaik mungkin bersama dengan bantuan Chef Wan sebagai seorang bekas pesakit kanser yang kini sedang semakin beransur pulih,” ujarnya.

Ujar beliau, Max Family Society Malaysia berharap inisiatif ini dapat meletakkan nama persatuan sebagai satu pertubuhan bukan kerajaan yang sentiasa menjadi tunggak harapan kepada pesakit, keluarga dan semua pihak kesihatan yang terlibat dalam menangani penyakit kanser khasnya kanser darah.

Sementara itu, Chef Wan yang dilantik sebagai duta berkata, kini sudah tiba masanya untuk dirinya menyalurkan sebarang bantuan kepada masyarakat.

“Saya sendiri bekas pesakit kanser dan ini merupakan masa untuk saya pula cuba apa yang termampu untuk salurkan semula bantuan kepada masyarakat. Jujurnya, nak melalui fasa pemulihan itu agak sukar.

“Bagaimanapun, masa ini lah kita perlukan sokongan bukan sahaja dari ahli keluarga malah kawan-kawan terdekat juga. Sokongan emosi itu penting bila kita sakit dan mudah rapuh dan ini antara sebab saya sendiri menyokong usaha yang dibawa oleh persatuan ini,” jelasnya yang kini semakin sihat dan pulih dari kanser limfoma.

Pada majlis yang sama, selebriti masakan popular itu turut mengumumkan sumbangan peribadinya sebanyak RM50,000 untuk persatuan berkenaan.

Ternyata kehadiran Chef Wan sebagai seorang yang telah bebas kanser dan juga sebagai seorang yang pernah melalui suka duka penat lelah menjaga arwah ibu tersayang yang juga seorang pesakit kanser dengan penuh dedikasi sedikit sebanyak dapat membantu Max Family Society Malaysia dalam memberi sokongan yang lebih padu kepada komuniti di luar sana.

Dalam pada itu, Kempen “20 Years of Hope : Masih Di Sini” bakal menggabungkan muzik, perkongsian pengalaman, perkhidmatan konsultasi, dan pelbagai aktiviti kesedaran kesihatan yang akan diadakan bermula April sehingga hujung tahun ini.

Sebagai kemuncak kempen, Max Family Society Malaysia akan menganjurkan sebuah konsert amal pada September ini dan dana yang terkumpul akan terus ke Max Family Society Malaysia bagi disalurkan kepada komuniti-komuniti yang memerlukan.

Konsert ini disokong dan akan dimeriahkan oleh barisan artis tempatan yang juga mempunyai kisah yang tersendiri mengenai kanser.

Dengan wujudnya kempen ini secara berperingkat, Max Family Society Malaysia berharap usaha murni ini akan menyumbang ke arah kesedaran masyarakat Malaysia tentang kanser darah. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button