
Drama bersiri Cik Ayu Mee Sanggul merupakan naskhah terbaharu yang mengangkat genre komedi romantik terbitan syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.
Apa yang menariknya, drama berkenaan berbeza dengan penceritaan kisah perkahwinan paksa yang sering disajikan sebelum ini dengan memaparkan pengorbanan seorang janda muda yang mengahwini seorang duda tanpa ikatan cinta untuk menjadi ibu tiri kepada anaknya yang masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, secara umumnya sebahagian besar audiens tempatan menggemari drama yang ringan dan santai.
“Oleh itu, kami selesa memilih genre ‘rom-com’ sebagai naratif penceritaan yang menggerakkan drama terbaharu taruhan slot Megadrama iaitu ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ kerana ia dekat dengan kelompok sasaran kami. Tema cinta dan kasih sayang yang diangkat menerusi drama ini juga tidak klise, justeru ia memiliki keistimewaan tersendiri dengan jalan cerita yang ringkas tetapi mengesankan.
“Sungguhpun berunsur santai, drama ini juga sarat dengan mesej positif yang dapat memberi teladan sekaligus bakal mengheret emosi penonton untuk menyelami keindahan, kemanisan dan tangisan demi mencari kebahagiaan dalam sesebuah hubungan,” ujarnya.

Drama berkenaan mengisahkan pengorbanan seorang janda berhias muda yang menikahi seorang duda tanpa ikatan cinta demi menjadi ‘ibu segera’ kepada Uwais, anak duda tersebut. Ayu adalah pengusaha Mee Sanggul yang berjaya di Kota KL. Perkenalan dan hubungan rapatnya dengan Uwais serta Nek Wan ditentang oleh Akhtar apabila mendapat tahu Ayu adalah isteri kepada Arwah Tuan Baharom yang mewarisi segala hartanya.
“Akhtar skeptikal terhadap status janda Ayu kerana pengalaman pahitnya bersama bekas isterinya. Uwais pula masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu. Ayu berkorban dan membuat keputusan untuk meminang Akhtar sendiri. Ayu juga didekati lelaki-lelaki lain dalam hidupnya yang sentiasa menjadi penghalang kisah cintanya.
Idea asal dan skrip drama bersiri 16 episod ini diilhamkan oleh Nieza Nahar serta turut diarahkan oleh sutradara Idora Abdul Rahman.
Ia dibintangi oleh Amelia Henderson dan Aqasha selaku teraju utama di samping barisan pelakon seperti Aryan Adzrin, Iman Zulkarnain, Shiqin Kamal, Fimie Don, Asha Merican, Nabil Aqil, Aznah Hamid, Mahmud Ali Bashah, Izzendra, Natasha Hamzah dan ramai lagi. Lebih istimewa lagi, drama ini turut diserikan dengan penampilan khas oleh Datuk Rosyam Nor, Dynas Mokhtar dan Cat Farish.
Apa yang menariknya lagi, Amelia yang memegang watak utama sebagai Ayu juga telah tampil dengan 40 persalinan pakaian kebaya untuk drama ini.

Sementara itu, Rosyam selaku penerbit berharap agar drama berkenaan akan digemari dan berdasarkan komen-komen yang diterima setelah episod pertama ditayangkan, ramai penonton yang mengatakan ia bukanlah semua nashkah yang klise.
“Untuk drama romantik komedi ini kita selitkan unsur-unsur cinta dan kekeluargaan yang kuat dan pastinya drama Cik Ayu Mee Sanggul ini akan menghiburkan penonton dengan jalan cerita yang menarik.
“Manakala penampilan watak Ayu yang berkebaya kami cuma mengangkat salah satu budaya menerusi pemakaian kebaya yang kini kurang ditampilkan dan berharap ia akan kembali popular dan lebih ramai wanita yang memakainya nanti,” ujarnya.
Cik Ayu Mee Sanggul bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 27 Julai lalu menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. – KopiPlanet.com



