EventHiburan

Coastal Combat 2026 Program Realiti Sukan Muay Thai, Himpunkan Petarung Tempatan & Antarabangsa

Tampil dengan format lebih inovatif yang menyerlahkan evolusi dalam penganjuran acara sukan tempur, Coastal Combat 2026 menjanjikan kelainan apabila memperkenalkan program realiti eksklusif Muay Thai.

Menghimpunkan petarung Muay Thai elit tempatan dan antarabangsa, acara yang akan berlangsung di Desaru Coast, Johor pada 23 hingga 24 Januari 2026 itu dimantapkan lagi dengan penyertaan ikon seni bela diri negara, Jihin ‘Shadow Cat’ Radzuan.

Tidak hanya bakal beraksi di gelanggang pertandingan yang menyaksikan JIhin kembali ke disiplin asal yang membentuk kerjayanya, beliau juga menjadi antara peserta utama dalam program realiti Muay Thai pertama di negara ini.

Meskipun kini lebih dikenali sebagai atlet Mixed Martial Arts (MMA), asas Jihin bermula daripada Muay Thai dan pernah mewakili negeri Johor di Sukan Malaysia (SUKMA), selain berjaya meraih pingat sebelum melangkah ke pentas profesional MMA.

Penganjur Coastal Combat – Boxxtomoi Asia, Nor Afandi Nor Hosni berkata, mereka beriltizam membawa Muay Thai ke era baharu menerusi format unik yang menggabungkan sukan, naratif penceritaan dan promosi pelancongan destinasi.

“Ia sesuatu yang belum pernah diimplementasikan di negara ini. Penonton bukan sahaja dapat melihat atlet bersaing, mereka juga akan mengikuti perjalanan peribadi, disiplin peserta dan pengalaman budaya di Pantai Desaru.

“Inilah evolusi Muay Thai, sebuah produk hiburan dengan nilai sukan sebenar, sekali gus turut memberi impak ekonomi kepada Johor. Kami meletakkan penanda aras baharu kepada pelancongan sukan dan berhasrat untuk memajukan industri ini,” katanya.

Program Realiti Muay Thai Eksklusif: Format dan Cabaran

Coastal Combat 2026 turut melancarkan sebuah program realiti Muay Thai berformat pasukan, penuh aksi dan strategi menyaksikan 20 atlet, 10 dari Malaysia dan 10 atlet antarabangsa akan bersaing.

Program realiti ini dirakam sepenuhnya di lokasi eksklusif Desaru Coast, menjanjikan visual dan pengalaman bertaraf antarabangsa. 

Kandungan program ini merangkumi tugasan ekstrem yang menguji kekuatan fizikal, kemahiran teknikal, strategi berpasukan, kerja berpasukan dan kreativiti dalam menyelesaikan cabaran.

Ia bakal disiarkan secara dalam talian dengan jangkaan capaian sehingga 300,000 penonton menerusi YouTube.

Pertarungan Malaysia vs Antarabangsa

Coastal Combat 2026 mempertaruhkan barisan atlet wanita Malaysia paling mantap pernah dibentuk, diketuai Jihin dan diperkuatkan lagi dengan kemunculan Nur Amisha (petarung Muay Thai Wanita Nombor Satu Malaysia), Eycah, Krystal Angel dan Nur Afifah.

Dalam aksi yang dijangka menjadi tumpuan utama edisi kali ini, Jihin akan berdepan fighter Indonesia, Ade Mutia dari Kalimantan yang pasti menjanjikan aksi sengit.

Barisan petarung wanita Malaysia akan menentang pasukan wanita antarabangsa menampilkan pesaing dari Amerika, Perancis, selain Indonesia termasuk juara Eropah, Cindy Silvestre. 

Format Malaysia vs International ini direka untuk menyuntik elemen dramatik, kompetitif dan intensif kepada keseluruhan rancangan realiti.

“Penyertaan Jihin dan Nur Amisha bersama barisan atlet wanita Malaysia mencipta identiti baharu dalam sukan kombat negara. Ini adalah pasukan wanita Malaysia paling kuat pernah disusun di negara ini,” kata Nor Afandi.

Coastal Combat 2026 di Desaru Coast bukan sekadar acara sukan, tetapi penanda aras baharu bagi integrasi sukan kompetitif, hiburan dan promosi pelancongan di rantau ini. Inisiatif itu selaras dengan hala tuju Tahun Melawat Johor 2026 yang menjadikan negeri ini sebagai pemacu utama pelancongan sukan dan acara antarabangsa. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button