
Dapat Rakam Lagu Yang Diciptakan Untuk Siti Nurhaliza, Kelly Azman Sasar Dustakan Cinta Layak Ke AJL
Penyanyi dan selebriti Kelly Azman meletakkan sasaran agar single baharunya, Dustakan Cinta akan layak untuk bersaingan di Anugerah Juara Lagu (AJL).
Kelly berkata, dia begitu yakin dengan kekuatan lagu tersebut dan akan melakukan apa sahaja agar impiannya untuk beraksi di pentas AJL akan tercapai.
“Sebelun ini single pertama saya tidak begitu menjadi. Jadi, Dustakan Cinta adalah pertaruhan saya untuk ke pentas AJL. Saya meletakkan harapan produser program Muzik-Muzik pertimbangkan karya saya untuk diberi peluang tercalon.
“Memang kenyataan ini akan mengundang kecaman netizen, tetapi saya tidak peduli apa orang kata. Paling utama, saya dapat peluang berkenaan,” jelasnya.
Kelly berkata demikian sewaktu ditemui semasa pelancaran single Dustakan Cinta yang berlangsung pada minggu lalu.
Dustakan Cinta merupakan lagu ciptaan komposer Mohariz Yaakup, manakala lirik juga ditulisnya bersama MJ dan KR.
Bercerita lebih lanjut mengenai single berkenaan, Kelly mendedahkan bahawa pada asalnya lagu tersebut dihasilkan untuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Ujarnya, dia berasa terharu dan bangga apabila Mohariz telah memberikan kepercayaan buat dirinya untuk membawakan lagu tersebut.
“Pastinya saya sangat bangga kerana ada komposer yang melihat saya dari sudut relevan, memandangkan sebelum ini orang hanya pandang rendah.
“Saya akui memang saya bukan jenis penyanyi yang dalam kategori ‘power vocal’, namun alunan vokal saya sedap untuk didengar,” jelasnya.
Menurut Kelly, dia telah mendapatkan khidmat Cikgu Azreen yang pernah mengajar vokal untuk beberapa penyanyi popular lain.
Lagu Dustakan Cinta ini sudah pun boleh didengar di semua platform penstriman muzik digital, manakala ia adalah single keempat Kelly selepas lagu No No No serta dua lagu raya berjudul Kepulangan Di Hari Raya dan Nikmat Di Hari Raya. – KopiPlanet.com



