
Penyampai radio popular, Tyzo Xander memaklumkan dia telah mendapat tawaran daripada empat buah stesen radio.
Tyzo berkata, setakat ini ia sudah dalam peringkat terakhir perbincangan menerusi pihak pengurusannya bersama sebuah stesen radio.
“Kontrak saya bersama Suria FM berakhir pada 9 Mac dan masih lagi menerima gaji. Alhamdulillah, saya ada mendapat tawaran daripada beberapa stesen radio.
“Saya pun tak sabar nak habis dan ingin kembali ke stesen radio semula. Mungkin hari Isnin saya akan umumkan stesen radio mana yang akan jadi pilihan saya,” ujarnya,
Tyzo berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Kempen PERKESO Membawa Senyuman yang berlangsung semalam.
Jelas Tyzo, dia tidak mahu menunggu terlalu lama untuk mengumumkannya setelah ramai yang bertanya kepadanya.
Ujarnya, untuk tawaran yang diterima, dia akan memastikan ia akan memberikan jaminan kepada kehidupan dirinya untuk jangka masa panjang.
Dalam pada itu, Tyzo memaklumkan sejak tidak lagi berada di konti Suria FM, dia banyak menerima tawaran menjadi pengacara, terutama sekali di saluran stesen RTM.
Selain itu, penyampai radio itu juga memberitahu pada 29 Februari lalu dia bersama rakan-rakannya telah menubuhkan sebuah NGO yang diberi nama Kasih Tyzo.
“Menerusi pertubuhan ini, ia memberi manfaat kepada anak yatim, orang tua, orang kelainan upaya (OKU), asnaf dan artis-artis yang terpilih.
“Saya juga akan berkolaborasi dengan pelakon Putra Amaris untuk menjayakan NGO yang baru sahaja saya tubuhkan ini,” jelasnya. – KopiPlanet.com



