• FOLLOW US
Gaya Hidup

Dari Cikgu Sekolah Kini Bergelar Pengasas Syarikat Cucian Industri Berat

Siapa menyangka daripada seorang cikgu sekolah swasta akhirnya individu ini telah berjaya mengalas tanggungjawab sebagai pengasas dan pengerusi eksekutif, syarikat pembekal bahan cucian untuk industri berat, Kazaza International Berhad (KIB).

Kamarul Zaman Zainan, 33, yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara berkongsikan kisahnya yang mana dia memasuki universiti bukan bertujuan untuk mencari pekerjaan, sebaliknya untuk mencari pekerja.

Bertitik tolak daripada itu, selepas berhenti kerja sebagai cikgu, pelbagai perniagaan yang diceburi Kamarul sebelum dia mula menceburkan diri dalam bidang pembekalan bahan cucian untuk industri berat sejak tujuh tahun lalu.

“Sebelum menceburi bidang perniagaan ini, saya terlebih dahulu berkhidmat sebagai guru ganti di sebuah sekolah swasta di Perak. Namun, sejak dulu lagi saya mempunyai visi tersendiri iaitu tujuan saya memasuki universiti bukan untuk bekerja di bawah orang sebaliknya saya lebih suka nak beri peluang pekerjaan kepada orang di luar sana.

“Bermacam-macam perniagaan saya buat sebelum mula serius dengan bisnes ini antaranya jual ‘top-up’ telefon dan berniaga di pasar malam, akhirnya Alhamdulilah saya sudah boleh membuka kilang KIB,” katanya.

Susulan kejayaan itu, dia kini berjaya menubuhkan kilang pengeluaran yang terletak di Semenyih, Selangor.

“Tahun ini merupakan tahun ketujuh kami beroperasi. Kazaza merupakan pembekal detergen dan bahan pencuci industri berat seperti mencuci pesawat, kapal selam, keretapi, stesen minyak dan kontena lori.

“Setakat ini kami eksport produk ke empat negara jiran iaitu Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia dan untuk sasaran tahun ini kami sasarkan lagi lima negara untuk kami tembusi pasaran seperti di Vietnam, Filipina, Kemboja, Jepun dan Australia,” katanya.

Bercakap mengenai persaingan, Kamarul tidak menafikan perkara itu namun dia percaya dengan produk pencuci yang dihasilkan syarikatnya yang mana ia sangat menjaga alam sekitar.

“Tidak dinafikan memang wujud persaingan dalam industri ini memandangkan bukan kami sahaja yang membekalkan produk cucian ini namun yang menjadikan produk kami mendapat perhatian daripada pelanggan adalah disebabkan bahan berkualiti premium yang terkandung dalam produk tersebut.

“Selain itu, produk kami adalah bebas soda, biodegradable yang mana bahan-bahannya tidak mencemarkan alam sekitar selain kami mendukung persekitaran hijau dan mesra alam,” ujarnya lagi.

Bercita-cita tinggi dan yakin mampu mencapainya, KIB tahun ini menyasarkan nilai jualan sebanyak RM10 juta secara bulanan. Mereka mengeluarkan produk 100 tan yang mana bersamaan dengan lima kontena sehari. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend