FilemTerkini

Dibintangi Ramai Pelakon Popular, Bikin Filem Papar Realiti Belakang Tabir

Kejayaan sesebuah filem bukan hanya bertunjangkan kepada para pelakonnya sahaja, sebaliknya ia turut merupakan hasil kerjasama baik semua pihak terutama sekali daripada krew belakang tabir.

Bagi memberikan kelainan, filem Bikin Filem ini digarap bagi memberikan penonton perspektif yang lebih jelas lagi mengenai penghasilan sesebuah filem.

Filem yang diterbitkan Empire Film Solution Sdn. Bhd ini akan mula ditayangkan di Astro First bermula 5 November ini. Ia dibintangi ramai pelakon handalan antaranya, Erra Fazira, Azhan Rani, Sherry Al Hadad, Sharifah Sakinah, Scha Alyahya, Azrel Ismail, Mark Adam, Azhar Sulaiman, Zain Hamid, Jasmin Hamid, Syazwan Zulkifly, Kodi Rasheed, Kamarool Hj Yusoff dan Ucop.

Penerbitnya, Mohamad Zubir Badarshair berkata, “Idea menghasilkan Bikin Filem adalah mahu orang ramai menonton sendiri bagaimana proses sesebuah filem itu diterbitkan sehinggalah ia ditayangkan di pawagam dan ia bukan satu perjalanan yang mudah.”

“Filem adalah sebagai medium hiburan kepada penonton tetapi sejauh mana masyarakat, mengetahui perjalanan sesebuah filem itu dihasilkan. Banyak cabaran yang terpaksa dilalui, seperti faktor kewangan, keadaan cuaca dan melayan kerenah pelakon. Biarpun ia dilihat sebagai sebuah filem komedi, tetapi filem ini secara keseluruhannya ia memaparkan kisah sebenar yang dilalui oleh seorang penerbit.

“Bagi yang menonton Bikin Filem, kami yakin ia akan membuka mata lebih ramai pihak agar tidak memberikan kritikan yang keterlaluan terhadap sesebuah filem yang dihasilkan. Hakikatnya, untuk menerbitkan sebuah filem memang sukar dan mereka yang melaluinya saja dapat memahaminya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Berbeza dengan filem-filem yang pernah kami bawakan sebelum ini menerusi konsep ‘terus ke pawagam rumah anda’, Bikin Filem bakal memaparkan kepada penonton warna warni realiti serta cabaran di sebalik pembikinan sesebuah filem.”

“Penonton sering melihat konten dan kualiti filem, tetapi apa yang tersirat di belakang kejayaan filem tersebut inilah insan-insan yang berusaha keras memastikan sebuah karya terbaik dihasilkan khas buat penonton dan industri.”

“Dipersembahkan dalam bentuk santai, semoga penonton Astro terhibur dengan filem komedi ini yang turut membariskan pelakon-pelakon hebat tanah air. Kami juga berharap kehadiran Bikin Filem turut dapat mengisi masa penonton untuk terus kekal berada di rumah. Dalam pada itu, syabas buat penerbit baru, Empire Film Solution yang pertama kali menerbitkan filem tetapi kreatif tampilkan konteks yang berbeza untuk tontonan penonton,” ujarnya.

Bikin Filem mengisahkan tentang seorang bekas bintang filem terkenal dengan gosip-gosip liar, Khaty (Sherry Alhadad) yang ingin menerbitkan sebuah filem bertajuk ‘Dendam Berbalas’ kerana baru bercerai. Khaty ingin pengarah Rahim G (Azhan Rani) untuk mengarah filem tersebut. Namun, pelbagai cabaran dan insiden lucu mencuit hati berlaku sepanjang perjalanan pihak produksi menjayakan filem tersebut. Malah setiap kru, barisan pelakon dan pengarah mempunyai macam-macam kerenah dan ragam tersendiri yang menghiburkan.

Saksikan filem Bikin Filem yang kini berada di pawagam rumah anda, Astro First, untuk melanggan sila ke saluran 480. Anda juga boleh strim filem ini di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button