• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Ditipu Ketika Melancong, Aziz M. Osman Buat Laporan Polis

Pengarah Aziz M.Osman akan membuat laporan polis berhubung kes ditipu seorang wanita ketika bercuti di Korea Selatan baru-baru ini.

Aziz dan rakannya, pelakon Den Wahab dan Lokman Ghani akan membuat laporan polis serta sesi sidang media di Balai Polis Mutiara Damansara, Selangor pada jam 2.30 petang esok.

Menurut Aziz, penipuan wanita itu perlu dihentikan segera memandangkan sudah ramai yang terkena dengan perbuatan licik individu tersebut yang mendakwa dia menjadi orang tengah bagi sebuah agensi pelancongan.

“Kami akan buat laporan polis bersama-sama dengan mangsa lain. Bukan kami sahaja sebenarnya, sebelum ini dah berpuluh-puluh orang yang turut ditipu oleh wanita ini.

“Oleh sebab itu, kami bersama mangsa-mangsa yang lain akan membuat penjelasan tentang penipuan wanita itu dalam sidang media yang diadakan esok,” katanya ketika dihubungi KopiPlanet sebentar tadi.

Aziz melancong ke negara Kimchi itu bersama ahli keluarganya dan keluarga Den Wahab serta Lokman Ghani yang berjumlah seramai 25 orang pada pertengahan bulan lalu.

Mereka terkandas di Korea Selatan apabila wang tunai yang sudah diserahkan kepada wanita itu dipercayai lesap dan tidak sampai kepada pihak agensi pelancongan Arba Travel & Tours.

“Saya terharu dengan pihak Arba Travel & Tou, atas dasar kemanusiaan mereka menanggung percutian kami. Kalau diikutkan itu bukan tanggungjawab mereka kerana bukan mereka yang lesapkan wang itu,” jelasnya.

Menurut Aziz lagi, dia juga ada terdengar cerita wanita itu masih lagi aktif melakukan penipuan walaupun sudah menipu ramai orang sebelum ini.

“Laporan polis ini kami buat agar orang ramai tidak menjadi mangsa wanita berkenaan yang dipercayai sudah memperdayakan ramai orang sebelum ini,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend