
Ditipu Seorang Individu Sehingga Kerugian Hampir RM100,000, Naqiu Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang
Penyanyi popular Naqiu bertindak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didakwa mengambil kesempatan dan menipu dirinya serta pihak pengurusannya iaitu MindOrder Sdn Bhd sehingga menyebabkan kerugian hampir RM100,000.
Naqiu berkata, dia dan pihak pengurusannya sudah bernekad dengan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada individu terbabit pagi tadi.
“Sebenarnya saya tidak berniat nak memperbesarkan isu ini, tetapi apabila saya berdiam diri, ia seolah-olah memberi ruang untuk saya terus dipermainkan. Jadi, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya bertindak.
“Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku, tetapi tindakan individu ini sudah melampaui batas. Dia bukan sahaja cuba memburukkan nama saya, malah turut mencabar saya,” tegasnya.
Naqiu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya yang berjudul Khayalan petang tadi.
Naqui berkata, pada peringkat awal individu itu menggunakan namanya tanpa pengetahuan untuk membuat video promosi sebuah jenama serta memintanya menghasilkan lagu tanpa sebarang bayaran.
Menurut Naqiu, dia juga kesal apabila individu terbabit menyebarkan cerita yang dia sudah membuat bayaran kepada pengurusannya dan memaksanya melakukan projek pembikinan sebuah single.
“Sebenarnya saya tidak begitu mengenalinya, tetapi salah seorang ahli pasukan saya yang memperkenalkannya. Dalam satu pertemuan sebelum ini, dia menyatakan hasrat untuk menghasilkan lagu walaupun dia sendiri tidak mempunyai bakat.
“Ketika projek masih di peringkat demo, dia mendakwa kepada orang industri seni saya memaksanya untuk merakamkan single itu. Lebih mengejutkan, dia juga mengatakan sudah membayar kos projek ini, sedangkan saya tidak menerima walau satu sen pun. Malah, masa saya yang terbuang begitu saja.
“Logikkah saya memaksa seseorang yang tidak berbakat untuk menyanyikan lagu saya, sedangkan saya langsung tidak mendapat sebarang bayaran?” katanya.
Sementara itu, Aizat Azam selaku peguam Naqiu dan pengurusannya berkata, pihaknya memberi tempoh 14 hari untuk individu itu menjawab LOD yang dihantar.
“Sekiranya tiada tindakan pihak kami bersedia untuk membawa kes ini ke peringkat mahkamah.
“Walaupun begitu, kami masih memberi peluang kepada individu ini untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah,” katanya. – KopiPlanet.com