DramaTV

Drama Hadiah Dari Tuhan Papar Kehidupan Suka Duka Ketika Pandemik Covid-19

Tidak dinafikan pandemik Covid-19 sememangnya memberi impak yang cukup besar kepada semua masyarakat, termasuk melibatkan kegiatan harian, ekonomi terutamanya emosi diri.

Bertepatan dengan keadaan yang berlaku pada waktu ini, TV3 telah menayangkan drama bersiri Hadiah Dari Tuhan, sebuah kisah tentang kehidupan masyarakat yang terkesan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh tiga buah keluarga yang mempunyai latar belakang berbeza.

Ia menampilkan ramai barisan pelakon popular seperti Riena Diana, Syafi Tee DFKL, Sophia Barakbah, Izreen Azminda, Amy Mastura, Dynaz Mokhtar, Zefrul Nordin, Mak Engku, Fezrul Khan dan Puteri Rafasya.

Salah seorang pelakon utamanya, Amy Mastura berkata dengan memegang watak sebagai frontliner, dia banyak menyelami kisah-kisah tugas seorang frontliner menerusi laman sosial seperti di Instagram.

“Apabila diberi peluang berlakon dalam drama ini, saya memang sentiasa bersedia untuk menjayakannya, terutama sekali membabitkan emosi.

“Untuk watak saya ini memang perlu selalu menggunakan topeng. Jadi, satu cabaran buat diri saya untuk mengekspresikan emosi kepada penonton dalam menjayakan watak yang diberikan,” jelasnya.

Hadiah Dari Tuhan mengisahkan pergolakan hidup tiga remaja dari latar belakang dan taraf kehidupan yang berbeza menempuh kehidupan suka duka ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Qul Fattah (Syafi Tee) lahir dalam keluarga kategori B40, Ika Nabila (Riena Diana) lahir dalam keluarga kategori M40 dan Bella Roselina (Sophia Barakbah) lahir dalam keluarga kategori T20. 

Apabila negara dilanda penularan Covid-19, kehidupan Qul, Ika dan Bella telah berubah dan terpaksa mengharungi pelbagai ujian dan dugaan.

Dalam pada itu, Izreen Azminda pula menyatakan antara yang menyebabkan dia tertarik untuk berlakon dalam drama berkenaan kerana ia mengisahkan tentang situasi yang berlaku ketika ini.

“Kalau diikutkan memang dah lama saya tak berlakon dan kemunculan saya dalam drama ini kerana jalan ceritanya yang bertepatan dengan keadaan sekarang.

“InsyaAllah, selepas menjayakan drama ini kalau ada lagi tawaran berlakon yang diterima, saya akan mempertimbangkannya. Menerusi drama ini, ia akan menjadi langkah permulaan untuk saya aktif semula dalam bidang lakonan,” ujarnya.

Hadiah Dari Tuhan terbitan Country & Universal Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Fairuz Loy serta nukilan skrip oleh Rohizan Ramli disiarkan di slot Lestary pada setiap hari Rabu hingga Sabtu bermula pada 30 Disember lalu pukul 9.00 malam. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button