• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

DSV Tuntut Azwan Ali Mohon Maaf Dalam Tempoh 48 Jam

Usahawan Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) memberi tempoh selama 48 jam bermula hari ini untuk Azwan Ali membuat permohonan maaf secara terbuka terhadapnya.

Jika gagal berbuat demikian, Vida menerusi peguamnya, Adnan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Azwan.

“Saya tuntut permohonan maaf dalam masa 48 jam sebelum saya teruskan dengan tindakan undang-undang.

“Apa yang diperkatakan dalam video yang dibuatnya itu sangat biadap dan keterlaluan apabila dia menghina kematian dua anak saya yang meninggal dunia dalam keadaan tragik serta mencerca fizikal Cik B.

“Sebagai manusia biasa, anda rasa saya masih boleh bersabar lagi ke apabila dicerca, dimaki dan dihina sebegitu rupa?” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media kenyataan Datuk Seri Vida Saman Malu terhadap Azwan Ali yang diadakan di Hotel Ancasa, Kuala Lumpur.

Azwan sebelum ini memuat naik video membakar minyak wangi dan selendang pemberian Vida sambil menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap usahawan tersebut.

Sementara itu, peguam Vida, Adnan Seman berkata tindakan prosiding mahkamah akan diambil sekiranya Azwan tidak melakukan seperti apa yang dituntut oleh anak guamnya.

“Tindakan prosiding mahkamah akan diteruskan jika dia tak turunkan video terbabit dalam tempoh yang diberikan.

“Azwan juga perlu melakukan permohonan maaf serta beraku janji tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai anak guam saya serta apa yang dikatakannya dalam video tersebut adalah tidak benar.

“Saya menasihati anak guam agar tindakan sebegini perlu dilakukan sebagai proses mendidik masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan media sosial untuk mengutuk dan mengunakan kata-kata kesat terhadap mana-mana individu,” katanya.

Isu ini tercetus kerana Azwan dipercayai tidak berpuas hati apabila tidak diberikan sejumlah bayaran oleh Vida ketika dia menghadiri acara festival makanan anjuran usahawan tersebut baru-baru ini.

Menceritakan lanjut mengenai perkara itu, Vida menjelaskan, “Azwan sebenarnya tidak diundang sebagai artis jemputan dan pada awal hanya hadir atas kapasiti peribadi saja.

“Azwan datang ke karnival di Shah Alam sebab nak buat kandungan saluran YouTube miliknya dan setuju tanpa kenakan sebarang bayaran.

“Di Johor Bahru, dia datang kerana nak jadi vendor dan saya berikan gerai bernilai RM2,800 serta berkeras nak naik pentas untuk memeriahkan acara.

“Pekerja saya kata, jika tetap naik pentas tiada bayaran diberikan kerana slot sudah penuh dan dia setuju.

“Alih-alih keesokannya saya tengok dia muat naik video memaki dan mencerca saya sambil membakar produk minyak wangi dan selendang pemberian saya,” jelas Vida.

Sidang media itu turut dihadiri anak Vida, Edlynn Zamilleen Muhammad Amin atau Cik B serta Azza Elite dan Roslan Shah selaku pengacara majlis.

Sementara itu, Azwan bersama peguamnya difahamkan akan mengadakan sidang media berkenaan isu yang sama pada keesokan hari di sebuah hotel di Putrajaya. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend