Cerita ArtisHiburan

Eizlan Yusof Terharu Dapat Sertai Misi Bantuan Kemanusiaan Di Palu

Pelakon terkenal, Datuk Seri Eizlan Yusof meluahkan rasa terharu apabila berpeluang untuk memberikan khidmat baktinya dengan mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan Bencana Sulawesi Tengah, Palu, Indonesia kali ke-3 yang bermula semalam.

Eizlan yang juga anggota sukarelawan di bawah CDERT Ohhsem Network, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), meluahkan perasaannya kerana ini adalah misi pertama disertainya.

“Tidak dinafikan memang perasaan saya bercampur-baur sekarang ini. Bagaimanapun, saya sudah membuat persiapan yang secukupnya dar segi mental dan fizikal sejak sebulan lalu.

“Sepatutnya saya menyertai misi yang kedua, tetapi atas kekangan masa saya tidak dapat turut serta. Alhamdulillah, kini saya dapat menyertai misi ketiga dan semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Turut bersama beliau ialah Yang Amat Setia Ketua Pesuruhjaya (PA) Datuk Roslan Bin Wahab, Penolong Pesuruhjaya Bersekutu (PA) Datuk Musa Bin Omar yang juga Penasihat CDERT Ohhsem Network, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Fyzal Fauzy, Komander CDERT Ohhsem Network dan enam anggota APM tetap dan bersekutu.

Mereka antara 42 aktivis dari pelbagai latar belakang antaranya dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) dan lain-lain.

Dalam pada itu, beliau menyatakan anak-anaknya juga sempat menitipkan beberapa doa yang boleh diamalkan dirinya sepanjang menjalankan misi bantuan berkenaan.

“Anak-anak saya turut memberikan kata-kata perangsang dan beberapa keping nota mengandungi doa yang boleh saya amalkan selama berada di sana.

“Salah seorang anak saya iaitu Zareef memberitahu setiap kali solat, dia akan mendoakan ayahnya agar selamat menjalani misi ini,” katanya.

Bapa tunggal kepada tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, 10, Zareef Yusof, 8, dan Vie Zaalia, 5, berharap anak-anaknya akan mengikut jejak langkahnya sebagai sukarelawan malah mungkin lebih jauh apabila dewasa kelak.

Misi bantuan bermula hari ini sehingga 21 November depan akan menyantuni mangsa tsunami dan gempa bumi Palu yang melanda kawasan itu pada 28 September lalu.

Misi ini bersifat sesi penyembuhan trauma dan menyampaikan bantuan pasca-bencana antaranya pembangunan perkampungan yang dilengkapi 100 buah rumah, masjid, pompa air, dapur umum, tandas dan kawasan permainan kanak-kanak. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button