
Ratu rock negara, Ella mendedikasikan sebuah lagu dari album terbaharunya Peace. Love. Rindu buat suami tercinta, Azhar Hussaini Ghazali.
Menurut Ella atau nama lengkapnya Norzila Aminuddin, dari lapan buah lagu yang terkandung dalam album terbaharunya itu, Peace. Love. Rindu yang juga dipilih sebagai judul album berkenaan sememangnya cukup dekat dengan dirinya memandangkan ia menggambarkan kehidupannya bersama suami secara keseluruhannya.
Diminta untuk menceritakan secara lebih mendalam perihal tentang kehidupannya bersama suami, Ella enggan memberikan komen lanjut mengenai hal tersebut.
“Semua lagu yang ada dalam album terbaharu ini saya suka, tetapi lagu Peace. Love. Rindu saya dedikasikan untuk suami selain kepada peminat-peminat yang menyokong saya.
“Sepanjang penghasilan album ini, suami banyak beri dorongan dan semangat, malah ada kalanya dia turut menemani saya buat recording lagu dalam studio. Dia (suami) pun suka muzik, jadi dia banyak bagi moral support,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Peace. Love. Rindu di ibu kota hari ini.

Setelah hampir 10 tahun tidak mengeluarkan album baharu, Peace. Love. Rindu menghimpunkan lagu-lagu berentak rancak dan mellow daripada ratu rock ini khas buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan hidupnya sebagai anak seni sejak hampir empat dekad lalu.
Sebanyak lapan buah lagu terkandung dalam album baharu itu dan lagu Ku Sedia ciptaan Faizal Tahir, Omar K dan Ezra Kong telah dipilih sebagai single pertama.
Di kala ramai penyanyi masa kini yang lebih selesa mengeluarkan single daripada menghasilkan album penuh, Ella berani mempertaruhkan album terbaharu itu kerana baginya dia lebih puas dapat memberikan beberapa lagu sekali gus kepada peminat, berbanding hanya mengeluarkan satu single sahaja.
“Mungkin masing-masing ada pendapat dan cara sendiri, tetapi bagi saya kalau keluarkan satu je lagu, macam tak berbaloi sebab tu saya keluarkan terus album penuh.
“Simbolik tajuk album Peace. Love. Rindu juga sebagai menzahirkan perasaan rindu saya terhadap peminat-peminat saya,” katanya lagi.
Peace. Love. Rindu menerima hasil sentuhan banyak nama-nama besar industri muzik tempatan antaranya Datuk M.Nasir, Budhhi Hikayat, Edrie Hashim, Ad Samad, Faizal Tahir, Keon, Ezra Kong, Omar K, AG Coco dan Sam Bunkface.
Album yang diterbitkan Universal Music Malaysia ini akan berada di pasaran bermula esok dan dijual pada harga RM49 dan turut boleh didapati menerusi laman sesawang Lazada dan XOXMobile. – KopiPlanet.com
Senarai lagu album Peace. Love. Rindu
1. Raguku
2. Abstraksi Hujan
3. Sujud
4. Comel
5. Ku Sedia
6. Istimewa
7. Peace Love
8. Peace Love Rindu (bonus track)