
Empat Selebriti Tempatan Terima Pentauliahan Pegawai Bersekutu APM
Seramai empat selebriti termasuk dua orang pelakon iaitu Raja Ilya dan Adam Shahz antara empat selebriti tempatan menerima pentauliahan pegawai bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan.
Pada majlis disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM YAS TPj (PA) Roslan Wahab itu, Raja Ilya dianugerahkan Kapten Bersekutu (PA) manakala Adam pula menerima pangkat Leftenan Bersekutu (PA).
“Saya gembira diberi peluang ini dan sangat berterima kasih kepada Ahmad Idham dan Datuk Seri Eizlan Yusof kerana mengajak saya masuk ke CDERT Ohhsem.
“Sepatutnya pertaulihan diterima pada April lalu tetapi kebetulan saya terikat dengan lawatan kerja ke India lantas majlis ini terpaksa ditunda ke hari ini,” katanya.
Pelakon tersebut berkata demikian ketika Majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Watikah Lantikan Pegawai Bersekutu (CDERT-Ohhsem Network) APM petang tadi.
Ilya berkata tanggungjawab diberikan kepadanya ini akan digunakan untuk berbakti kepada masyarakat terutama sekiranya berlaku kecemasan.
Selebriti lain ialah bekas pengacara TV Mejar Bersekutu (PA) Maznah Zolkifli dan anggota kumpulan Simfoni, Leftenan Bersekutu (PA) Mohamad Anas.
Pada majlis ini CDERT Ohhsem melalui Leftenen Kolonel Bersekutu (PA) Ahmad Idham Nadzri dan barisan selebriti turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 yang disalurkan ke Unit Kesenian dan Kebudayaan APM WP Kuala Lumpur. – KopiPlanet.com