EventHiburan

Enam Pelawak Berentap Rebut Hadiah Wang Tunai RM100,000

Enam pelawak terkenal iaitu Abam, Ajak, Issey, Mark Adam Achey dan Shuk akan berentap dalam program realiti lawak terbaharu terbitan TV3, Bintang Bersama Bintang 2018 (BBB 2018).

Pengurus Besar Kumpulan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Zurina Othman berkata, pemilihan peserta adalah berdasarkan pengalaman luas mereka dalam persembahan sketsa lawak.

“Barisan Bintang Bersama Bintang merupakan nama-nama besar yang tidak asing lagi dalam arena lawak tanah air yang akan memberikan jenaka yang mencuit hati.

“Pastinya dengan BBB 2018, penonton dapat meluangkan masa bersama keluarga sebelum mengakhiri cuti hujung minggu dengan program hiburan realiti lawak terbaharu ini,” katanya pada majlis sidang media BMB 2018 yang diadakan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Damansara Perdana baru-baru ini.

Bakal memulakan tayangan pada 14 Januari ini, BBB 2018 akan bersiaran selama lapan minggu pada setiap hari Ahad, pukul 10 malam di TV3 serta disiarkan secara langsung dari Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Setiap minggu, enam pelawak berkenaan akan bertarung mempersembahkan sketsa dan ‘punchline’ yang berdurasi selama empat minit dan mereka juga dibenarkan untuk membawa seorang artis jemputan bagi mewarnai persembahan mereka.

Yang menariknya mengenai program ini, ia tidak melibatkan sebarang penyingkiran pada setiap minggu, sebaliknya akan diumumkan pemenang mingguan yang akan memenangi hadiah wang tunai RM10,000.

Manakala pada peringkat akhir iaitu Super Bintang Bersama Bintang, juara keseluruhan bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.

Format pemarkahan bagi program ini terbahagi kepada dua iaitu 70 peratus penilaian daripada juri, manakala selebihnya menerusi undian SMS penonton.

Sementara itu, setelah lama menyepikan diri dalam industri hiburan tempatan, kali ini pelawak terkenal Saiful Apek diperkenalkan selaku juri tetap program berkenaan.

Pemilihan Apek dilihat bertepatan memandangkan pengetahuan dan pengalaman luasnya dalam industri lawak tempatan. Selain Apek, seorang juri jemputan akan diundang pada setiap minggu bagi mengadili persembahan peserta.

Penonton boleh mengikuti perkembangan para peserta menerusi Komik Bintang Bersama Bintang yang akan disiarkan pada setiap Ahad, pukul 6 petang di TV3. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button