FilemTerkini

EOTB Papar Kegigihan Skuad Harimau Buta Bergelar Pemain Profesional

Mengikut perancangan filem Eye On The Ball (EOTB) sepatutnya disiarkan untuk tayangan di panggung wayang pada bulan Mac lalu, namun susulan penularan pandemik Coronavirus (Covid-19), ia terpaksa ditangguhkan.Terbaharu, filem ini telah pun menemui penonton menerusi tayangan di Astro First (saluran 480) bermula 20 Ogos lalu.

EOTB mengisahkan tentang sekumpulan anak muda cacat penglihatan yang tekad untuk mengejar cita-cita bergelar pemain bola sepak profesional.

Menampilkan pemain Asri Arshad, Azwan “Kenchot” Azhar serta Rollen Marakim membuat keputusan meninggalkan keluarga dan merantau ke ibu negara bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan yang dibimbing jurulatih berpengalaman Sunny Shalesh. Namun pasukan kebangsaan itu sendiri dihimpit dengan pelbagai cabaran.

Skuad yang diberi gelaran Harimau Buta tersebut perlu mempertahankan kejuaraan mereka di Sukan Para ASEAN 2017, Kuala Lumpur dan melayakkan diri ke Kejuaraan Bola Sepak Orang Buta Dunia. Ini adalah satu tugas besar, namun mampukah mereka mencapai matlamat dan harus bertanding menentang jaguh dunia di pentas antarabangsa.

Penerbit Eksekutif EOTB merangkap Timbalan Pengarang Eksekutif R.AGE, Ian Yee menyatakan pihaknya rasa teruja filem dokumentari pertama terbitan R.AGE akan menemui penonton di Astro First dan tambahan pula ia menyaksikan Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM).

“Kami merasakan kisah mereka yang penuh inspirasi harus dikongsi bersama masyarakat. Lanjutan daripada itu, diharap ia dapat membuka ruang agar ramai di luar sana turut menyokong pasukan ini untuk terus melangkah lebih jauh. Kami juga ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada Astro dan TGV kerana memberi sokongan padu selama ini, lebih-lebih lagi di atas kejayaan majlis tayangan gala dan pratonton filem di TGV 1 Utama pada bulan Mac lalu.

“Akibat pandemic COVID-19, pihak kami membuat keputusan agar EOTB ditayangkan di Astro First, seterusnya yakin ia mampu memberi impak positif bukan sahaja pada filem malah komuniti bola sepak orang buta,” katanya.

Naib Presiden Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kali ini, Astro Shaw membawakan sebuah filem yang penuh dengan semangat cekal oleh sekumpulan anak muda cacat penglihatan berdepan dengan apa sahaja rintangan untuk menggapai impian. Lebih istimewa, genre dokumentari sukan merupakan kali pertama dibawakan terus ke pawagam rumah anda, Astro First.”

“Kami sentiasa berusaha untuk bawakan variasi filem berkualiti untuk tontonan penonton Astro. Diharap EOTB dapat memberi inspirasi serta lebih pendedahan tentang kewujudan pasukan ke-18 terbaik dunia ini dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang di saluran Astro First (480). – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button