
Farel Prayoga Tampil Dengan HambaMu, Ketengahkan Mesej Keinsafan & Kerendahan Hati
Setelah berjaya mencuri tumpuan dengan single Lemak Manis, penyanyi popular Indonesia, Farel Prayoga kembali dengan single terbaru berjudul HambaMu.
Single rasmi kedua yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia sebenarnya menandakan satu lagi langkah pentingdalam perjalanan seninya sebagai penyanyi yang semakin matang dan versatil.
HambaMu merupakan sebuah karya bernuansa spiritual dan penuh penghayatan, dengan sentuhan komposisi muzik oleh Ippo Hafiz serta lirik ditulis oleh Alif.
Lagu yang diterbitkan oleh Indigital Music, dan mengetengahkan mesej keinsafan, kerendahan hati serta hubungan seorang insan dengan Sang Pencipta, sesuatu yang dekat di hati pendengar dari pelbagai lapisan usia.
Menurut pasukan produksi, HambaMu menampilkan sisi Farel yang lebih mendalam dan reflektif, berbeza daripada karya-karya sebelumnya, namun tetap mengekalkan kekuatan vokal serta kejujuran emosi yang menjadi identitinya.
Sebelum ini, Farel Prayoga pernah mencuri perhatian ramai menerusi lagu Lemak Manis, sebuah karya yang memperkenalkan dirinya kepada khalayak lebih luas dan menjadi antara lagu penting dalam perjalanan awal kerjayanya.
“Lemak Manis bukan sahaja mengangkat nama Farel sebagai penyanyi muda yang berpotensi besar, malah menjadi titik permulaan kepada perkembangan muziknya yang konsisten dan semakin matang dari masa ke masa di Malaysia.
Dengan pelancaran HambaMu, Farel Prayoga membuktikan kesediaannya untuk terus bereksperimen dengan tema dan emosi yang lebih luas, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik serantau.
Menariknya, video muzik lagu ini menjalani penggambaran di Istanbul, Turkiye dan menyerlahkan lagi kekuatan sebenar HambaMu untuk menjadi sebuah lagu yang bukan sahaja sedap didengar tetapi juga dapat dihayati menerusi visual yang dipaparkan.
Single HambaMu akan mula distrim di semua platform digital utama bermula 28 Januari lalu dan muzik video pula boleh dilayari menerusi YouTube Indigital Music. – KopiPlanet.com



