• FOLLOW US
Filem, Trailer

Filem Peransang Rentap Angkat Budaya Orang Iban

Bermula pada 2 November ini, sebuah filem terbitan Unique Twins Sdn. Bhd. berjudul Peransang Rentap yang mengangkat tema budaya masyarakat Iban di Sarawak bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Penerbit yang juga merangkap pengarah filem ini, Lina Johor memberitahu semangat pahlawan Rentap telah dipilih bagi menonjolkan kelainan daripada filem-filem pahlawan yang pernah ada sebelum ini.

“Sebelum ini memang dah ada beberapa cerita tentang pahlawan Melayu, namun kali ni kami cuba mengangkat pula tentang Rentap, seorang pahlawan Sarawak. Namun, filem ini cuma lebih kepada mengambil semangat perjuangan wira ini yang sangat popular di negeri tersebut.

“Peransang Rentap diterbitkan memandangkan ia cukup unik dan berlainan daripada filem-filem pahlawan lain yang pernah ada sebelum ini. Untuk menerbitkan filem ini sahaja, kami telah melakukan hasil kajian selama empat tahun bagi mendapatkan segala maklumat berkaitan Rentap,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com baru-baru ini.

Ujarnya, pembikinan filem Peransang Rentap mengambil masa selama 13 hari untuk tempoh penggambarannya dengan tenaga kerja krew produksi seramai 33 orang.

Bagi menjayakan filem tersebut, krew dan para pelakon telah berkampung di sebuah kawasan pedalaman di Kuching pada bulan Februari lalu.

Filem Peransang Rentap bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 2 November 2017.

Sementara itu, pelakon utama Peransang Rentap, Diana Johor yang juga kembar kepada Lina mengatakan filem berkenaan agak unik disebabkan ia mengisahkan bagaimana cara orang Iban bercinta.

“Filem ini ada kelainan dari segi bahasa, pakaian dan cara bercinta. Ia boleh diibaratkan macam kisah Romeo And Juliet versi Iban dan ia wajib ditonton untuk orang-orang yang sedang bercinta.

“Sebenarnya filem ini lebih kepada cerita kisah cinta dengan menunjukkan adat orang Iban bercinta, adab sopan santun dan memaparkan betapa romantik orang zaman dahulu bercinta. Boleh dikatakan filem ini juga boleh educate orang mengenai pahlawan Rentap.

“Untuk filem ini, kami dah buat kajian sejak 2013 dengan pergi melawat kubur, muzium dan pengumpulan maklumat daripada masyarakat tempatan mengenai pahlawan Rentap,” katanya yang juga merupakan penerbit bersama filem ini.

Selain Diana, filem ini turut dibintangi dua pelakon baharu dari Sarawak iaitu Vincent Mallay Alfred yang melakonkan watak Jenang dan Charlmay (Jambai).

Peransang Rentap berkisarkan tentang cinta, perjuangan, pengorbanan dan dendam anak muda Iban. Jenang dengan semangat berkobar-kobar ingin berjuang bersama-sama pahlawan hebat yang sangat dikagumi oleh masyarakat Sarawak bernama Rentap untuk memerangi penjajah British.

Dalam perjalanannya untuk menyampaikan perutusan, Jenang telah jatuh cinta dengan seorang gadis dari kampung seberang bernama Entiang lakonan Diana. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend