Cerita ArtisHiburan

Fimie Don Nak Kikis Imej Pelakon Kanak-Kanak

Siapa yang tak kenal dengan pelakon Fimie Don yang cukup dikenali dengan watak Putera Shazlan menerusi sitkom Hikayat Putera Shazlan yang popular satu masa dahulu.

Selepas sekian lama menyepikan diri daripada bidang lakonan bagi memberi laluan kepada pembelajarannya untuk memperoleh Sijil Pengurusan Acara dari Aswara, pelakon itu kini kembali membuat kemunculan menerusi sitkom edutainment, Oh My English! – Level Up yang sudah menemui penonton bermula pada 1 Oktober di saluran TVIQ (610), pukul 6.30 petang.

Menerusi sitkom itu, Fimie yang memegang watak sebagai Ronaldo merupakan Ketua Tingkatan 3 Merah yang sering mahukan pelajar-pelajar dalam kelas itu menjadi yang terbaik di SMK Ayer Dalam.

Malah, ini merupakan penampilan pertama Fimie dalam syarikat penerbitan Red Communications yang sebelum ini sudah menerbitkan Oh My English! sebanyak lima musim.

Menurut pelakon berusia 19 tahun itu, dia kini dalam percubaan untuk cuba mengikis imej pelakon kanak-kanak yang sudah sebati dengan dirinya.

“Mind set peminat kalau tengok saya, mereka akan sebut Putera Shazlan. Mungkin dengan Oh My English! ini, mereka akan kenal saya dengan imej baharu menerusi watak Ronaldo yang saya bawakan. Ia bagus kerana ini merupakan satu anjakan paradigma yang mana peminat tidak lagi mengenali saya sebagai pelakon kanak-kanak.

“Contohnya macam Shaheizy Sam, dulu orang kenal dia sebagai pelakon kanak-kanak. Lepas itu dia berehat sekejap sebelum kembali dengan filem Adnan Sempit dan lepas itu tiada lagi orang gelarkan dia pelakon kanak-kanak. Saya nak macam itulah,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com semasa majlis pelancaran Oh My English!-Level Up yang diadakan di Pavilion baru-baru ini.

Fimie Don bersama barisan para pelakon Oh My English – Level Up yang sudah memulakan siaran pada 1 Oktober 2017.

Fimie yang memulakan kerjaya lakonan sejak berusia empat tahun berharap pihak penerbit tidak lagi melihatnya sebagai pelakon kanak-kanak memandangkan usianya kini sudah meningkat remaja.

Sehubungan itu, Fimie berharap mana-mana penerbit tidak ragu-ragu untuk mengambilnya berlakon memandangkan dia kini sudah semakin terbuka untuk mencuba pelbagai watak lakonan yang mencabar dan seiring dengan usianya.

“Buat masa sekarang saya nak fokus pada lakonan selepas setahun berehat apabila menyambung belajar di Aswara. Untuk peminat, saya tak kisah kalau mereka kenal saya sebagai Putera Shazlan, namun kepada pihak penerbit pula, mereka tak boleh anggap saya pelakon kanak-kanak lagi,” ujarnya yang cukup menggagumi pelakon Hollywood, Johnny Depp.

Ketika ditanya mengenai pengalamannya bekerja dengan team Oh My English!, Fimie menyifatkan ia satu momen yang cukup indah dalam kerjayanya.

“Saya gembira berlakon dengan team produksi Oh My English! yang sentiasa fun dan harap mereka akan kekalkan semua karakter untuk musim akan datang,” ujarnya lagi.

Selain Fimie, Oh My English! – Level Up turut dibintangi Adibah Noor, Nadia Nisaa, Juzzthin, Harris Aliff, Mark O’Dea dan Yuna Rahim. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button