• FOLLOW US
Filem, Review

Filem Geran Angkat Aksi Seni Silat Melayu Ke Layar Perak

Tajuk: Geran
Tarikh Tayangan: 10 Oktober 2019
Durasi: 1 jam 41 minit
Genre: Aksi / Drama
Pengarah: Areel Abu Bakar
Pelakon: Namron, Fad Anuar, Khoharullah, Feiyna Tajudin, Aeril Zafrel, Taiyuddin Bakar, Adam Shahz, Niezam Zaidi.
Klasifikasi: P13

Peminat filem tempatan pastinya dahagakan sesuatu naskhah yang mempunyai elemen yang segar dan baharu selain daripada kisah cinta dan romantik. Bertepatan dengan itu, filem yang mengetengahkan seni bela diri sememangnya amat dinanti-nanti oleh pencinta filem aksi di Malaysia.

Filem Geran sesungguhnya adalah filem yang bakal memuaskan deria para penonton yang ingin melihat ketulenan aksi setanding para pelakon aksi luar negara. Pelakon yang dipilih di dalam filem Geran ini sememangnya bukan calang-calang.

Barisan pelakon utama merupakan pesilat yang pernah mewakili Malaysia ke peringkat kebangsaan dan juga World Championship. Kesungguhan pengarah Areel Abu Bakar ingin mengangkat martabat seni silat dan filem bergenre aksi sememangnya tak disangkal lagi apabila beliau mengambil sepenuhnya pelakon tambahan dari kanak-kanak sehingga warga emas yang merupakan ahli-ahli mahupun guru-guru seni silat.

Aksi yang ditonjolkan dalam Geran sememangnya realistik membuatkan anda rasa ngilu di babak-babak tertentu dek kerana dibantu oleh sudut-sudut kamera yang lincah yang dikelola oleh pengarah sendiri.

Gaya lakonan ‘award winning actor’ Namron tidak perlu dipertikaikan lagi apabila dia memberikan lakonan yang cukup cemerlang sebagai seorang bapa terlalu memanjakan anak bongsunya. Selain itu, lakonan pelakon-pelakon lain seperti Fad Anuar, Fieyna Tajudin dan juga amat mengagumkan kerana kebanyakan pelakon di dalam filem Geran ini tidak mempunyai asas lakonan namun mampu membawa watak masing-masing dengan baik dan berkesan.

Meskipun filem ini bergenre aksi namun jalan cerita yang ringkas membuatkan kita mudah menerima logiknya cerita ini. Drama antara si bapa dan anak yang dimanja amat dekat dengan kita pasti mampu memberi sedikit sebanyak pengajaran buat penonton dan tersentuh dengan nilai-nilai murni mahupun keagamaan yang cuba disampaikan.

Sinematografi filem ini sememangnya secukup rasa untuk memaparkan elemen-elemen aksi dan drama di dalam filem ini. Di samping lokasi pengambaran sekitar kedamaian kampung dan sawah padi yang nian indah di utara tanah air, sudut artistik seperti dedaunan ditiup, hembusan asap rokok, bebayangan cameo berjaya dirakam oleh pengarah juga merangkap pengarah fotografi.

Dari sudut pengarah aksi lagak ngeri, Azlan Komeng yang sememangnya tidak asing lagi dalam industri berkata filem Geran ini ialah bukti bahawa pelakon aksi Malaysia juga bisa melakukan apa yang pelakon aksi luar negara lakukan.

Disebabkan filem ini sepenuhnya ditanggung oleh modal pengarah sendiri tanpa dana syarikat penerbit yang lebih besar, sudah pasti produksi filem sedikit terganggu. Terdapat sedikit cacat pada bahagian suntingan dan efek bunyi namun tidak menjejaskan mutu seni filem ini.

Secara keseluruhannya, filem Geran ialah di antara filem wajib tonton buat semua rakyat Malaysia yang sudah mungkin sudah lama ternanti-nantikan filem aksi setandingan filem antarabangsa. Ayuh kita penuhkan panggung sekitar dengan harapan filem ini mampu membangkitkan semangat bangga dengan budaya dan seni tanahair kita sendiri. Penutup kalam, Pusaka Kita Maruah Kita! – KopiPlanet.com

Sinopsis:

Filem Geran mengisahkan tentang dua orang sahabat baik, Pak Nayan dan Haji Daud yang juga rakan seguru dalam ilmu persilatan. Namun disebabkan ada sejarah di antara mereka berdua, mereka saling berdendam dan persengketaan terus berlarutan. Hal ini melibatkan anak-anak Pak Nayan ke dalam situasi yang rumit. Apakah yang dilakukan oleh Haji Daud kepada keluarga Pak Nayan? Saksikan filem penuh aksi, Geran yang akan ditayangkan di seluruh pawagam tanahair pada 10.10.19. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend