• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Hafiz Hamidun Tiada Masalah Joy Revfa Dah Jumpa Pasangan Baharu

Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, 35, menyatakan dia tumpang gembira apabila mengetahui perkhabaran bekas isterinya, Joy Revfa sudah pun menemui pasangan baharu seperti yang dilaporkan pihak media sebelum ini.

Menurut Hafiz, dia cuma berharap orang ramai tidak lagi mengaitkan diri dengan Joy dan melupakan kisah silam yang pernah terjadi di antara mereka.

“Siapa dulu yang jumpa jodoh tiada masalah bagi saya. Kalau dia dah bertemu jodoh dahulu, Alhamdulillah. Kali ini semoga jalannya lebih mudah sebab kami pun sudah selesaikan hal penceraian dengan baik dan segala dokumentasi pun lengkap.

“Orang nak kaitkan saya dengan dia, saya tak boleh nak kata apa sebab kami memang ada sejarah bersama sebelum ini namun begitu saya harap orang di luar sana boleh lupakan kisah silam kami,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Hafiz ditemui pada majlis pelancaran muzik video dan single lagu Starlela nyanyian Ifa Raziah, Bella Astillah dan Zizi Kirana yang diadakan di Red Box, The Gardens Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hafiz merupakan komposer single Starlela yang merupakan lagu tema bagi festival beli-belah, Star Vendors yang dikelolakan Ifa.

Sementara itu, Hafiz berkata dia kini lebih berhati-hati untuk mencari pasangan hidup dan menjadikan pengalaman kegagalan perkahwinan pertama sebagai pengajaran.

“Tidak bermakna yang dulu saya tidak berhati-hati, saya anggap semua yang berlaku sebagai satu proses pengajaran dan pembelajaran.

“Bukan saya sahaja yang ambil iktibar daripada perkahwinan terdahulu, sebaliknya ramai juga yang belajar daripada perkara itu. Buat masa ini saya berkawan dengan ramai orang namun tiada sesiapa yang istimewa lagi,” ujarnya lagi.

Hafiz dan Joy atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin, 32, sah bercerai talak satu ‘ba-in Sughra’ pada 25 November 2017 kerana mereka tidak pernah melakukan hubungan kelamin. Mereka bernikah pada 1 Mei 2017.

Konflik rumah tangga Hafiz dan Joy tercetus selepas Hafiz berasa ragu-ragu dengan status perkahwinan mereka apabila Joy gagal menyerahkan sijil penceraian perkahwinan pertamanya. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend