
Hampir Separuh Abad Dalam Dunia Seni, Faizal Hussein Hanya Mahu Bergelar Pelakon… Jaga Penampilan & Kualiti Lakonan Untuk Kekal Relevan
Sudah berkecimpung dalam dunia lakonan selama 49 tahun, pelakon popular Faizal Hussein masih lagi menjadi pilihan untuk membintangi sesebuah drama atau filem.
Menjadi seorang pelakon sejak kecil pada usia lima tahun menerusi filem Darah Panglima pada tahun 1972, pelakon yang kini menjangkau usia 54 tahun itu masih lagi aktif sehingga sekarang.
Denngan pengalaman yang cukup luas serta melayakkannya untuk duduk di kerusi pengarah, namun Faizal menyatakan dia sebenarnya lehih berminat untuk menjadi seorang pelakon sahaja.
“Sebenarnya sudah pernah sekali mengarah drama ketika berusia 23 tahun, tetapi dalam hati saya lebih suka untuk menjadi seorang pelakon.
“Sebagai pelakon kita cuba menyampaikan mesej yang ingin disampaikan oleh penulis skrip dan pengarah sebaik yang mungkin. Saya rasa pilihan saya adalah jadi penyampai (pelakon), bukan pembuat mesej (pengarah),” ujarnya.
Faizal berkata demikian ketika sesi sidang media secara virtual pelancaran drama berjudul I-Tanggang yang berlangsung semalam.
Selain itu, ketika ditanya apakah formula untuk dia terus kekal relevan dalam industri sehingga masih lagi menjadi pilihan penerbit dan pengarah, Faizal memberitahu tiada sebarang formula tertentu.
“Cuma prinsip saya adalah dengan mengutamakan eksklusiviti. Selain itu, pada usia sekarang ini saya juga sangat menitikberatkan penampilan, kualiti lakonan dan disiplin,” jelasnya.
Dalam pada itu, menceritakan lebih lanjut penampilannya dalam drama I-Tanggang, Faizal menyatakan dia membawa watak sebagai Rahmat iaitu seorang ayah yang penyayang dan ingin dekat dengan anaknya.
Ujarnya, dia tertarik membintangi drama berkenaan kerana mesej utamanya yang ingin disampaikan kepada penonton iaitu mengenai penyakit mental Munchausen Syndrome by Proxy.
“Mungkin ramai yang masih tidak sedar mengenai penyakit ini kurang pendedahan mengenainya. Apabila drama ini dihasilkan, bagi saya ia satu projek yang sangat bagus,” ujarnya.
Selain Faizal, drama arahan Wan Hasliza dan Wan Alauddin Wan Zainuddin serta Rashidi Ishak itu turut dibintangi barisan pelakon seperti Sherie Merlis, Danish Hazriq Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane, Andy Teh, Rashid Salleh, Syed Nahar, Rosdeen Suboh dan Yuyun Hikmah.
Drama bersiri I-Tanggang akan bersiaran sebanyak 12 episod setiap hari Isnin bermula pada 13 September ini di saluran Astro Citra (108) pada pukul 9.00 malam. – KopiPlanet.com





