Cerita ArtisHiburan

Hampir Setahun Tak Muncul Dengan Single Baharu, Aina Abdul Tampil Dengan Sesaat… Sebuah Perjalanan Jiwa Yang Sarat Emosi

Setelah hampir setahun tidak hadir dengan karya solo baharu, penyanyi dan komposer Aina Abdul akhirnya kembali dengan single terbaharunya berjudul Sesaat.

Lagu ini dilancarkan secara rasmi pada 26 September 2025, melengkapi penantian panjang peminat yang sudah rindu akan buah tangan solo daripadanya selepas kali terakhir Aina muncul dengan Imaji Deluxe Edition pada 25 Oktober 2024.

Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, Sesaat bukan sekadar sebuah lagu baharu, tetapi sebuah perjalanan jiwa yang dibawa Aina selepas melalui tempoh penuh refleksi. Lebih istimewa, projek ini menampilkan kerjasama erat antara Sony Music Entertainment Malaysia dan Sony Music Entertainment Indonesia, menjadikannya bukan sahaja sebuah pelancaran muzik, tetapi juga simbol kolaborasi serantau. 

Menerusi Sesaat, Aina bersama Sony Music membuka ruang untuk membawa karya ini lebih jauh, merentas sempadan serta menyentuh hati pendengar di Malaysia, Indonesia dan seluruh rantau.

Selama hampir setahun, Aina lebih banyak memberi fokus kepada persembahan pentas, projek kolaborasi, duet dengan Fadhilah Intan dan penampilan khas. Namun, single ini menjadi simbol kepulangan seorang penyanyi yang sentiasa dikenali dengan keberanian menyelami ruang hati yang paling dalam, lalu diterjemahkan melalui vokal dan emosi yang tiada tandingannya.

Mengisahkan tentang cinta yang datang hanya seketika, memberi harapan, tetapi akhirnya pergi meninggalkan luka yang lebih dalam, Sesaat menjadi sebuah naratif universal yang dekat dengan hati sesiapa sahaja yang pernah merasa dikhianati oleh harapan.

“Sesaat mengangkat kisah seseorang yang selepas kecewa dengan masa lalu, bertemu cinta baharu yang disangka penyembuh luka. Namun nahasnya, cinta itu hanya singgah sebentar, sebelum menghilang tanpa sepatah kata.

“Kali ini saya benar-benar mahu memberi sesuatu yang berbeza buat peminat. Sesaat bukan ciptaan saya, tetapi kali pertama saya mendengar melodi dan liriknya, hati saya terus terpaut.

“Saya tahu, inilah lagu yang mampu menjadi hadiah buat mereka yang sudah lama menanti buah tangan solo saya. Ada sesuatu tentang kisahnya yang begitu dekat, begitu manusiawi, dan begitu menyakitkan pada masa yang sama,” katanya.

Lagu ini lahir daripada tangan-tangan kreatif penulis dan komposer Indonesia iaitu Trakast, Fabio Asher, Yafi Aria dengan Yafi Aria dan Rico Andre sebagai penerbit.

Pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani ini menyifatkan Sesaat bukan satu perjalanan yang mudah, namun baginya, setiap pengorbanan itu berbaloi demi memastikan naskhah hadir dengan jiwa dan kualiti yang sempurna.

“Untuk menjayakan karya ini, saya sanggup berulang-alik ke Jakarta berkali-kali. Sesaat adalah cerita tentang sebuah kehilangan yang berulang. Tetapi bagi saya, ia juga adalah tentang kekuatan, bagaimana kita bangkit walaupun luka itu terasa semakin dalam. Saya mahu lagu ini menjadi ruang untuk pendengar berkongsi rasa, sama ada mereka sedang berduka atau cuba mencari makna dalam setiap detik hidup mereka,” tambah Aina.

Sebagai seorang penyanyi yang dikenali dengan kekuatan vokal dan keupayaan menghidupkan cerita melalui nyanyian, Sesaat menjadi bukti bahawa Aina tidak pernah takut untuk menelusuri sisi rapuh dan ‘raw’ dalam dirinya.

Inilah yang menjadikan setiap karya solo Aina sentiasa ditunggu-tunggu kerana ia bukan sekadar lagu, tetapi pengalaman emosi yang mampu menyentuh hati pendengar.

Bagi Aina, pelancaran Sesaat membawa makna yang begitu besar kerana ia menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya. Selepas hampir setahun tanpa single solo, Aina teruja untuk kembali menghadiahkan karya yang lahir daripada jiwanya buat para peminat yang sentiasa menanti. Baginya, Sesaat bukan sekadar sebuah lagu, tetapi simbol harapan yang penuh makna.

“Saya sangat gembira akhirnya dapat berkongsi Sesaat dengan semua. Peminat selalu bertanya bila saya akan keluar dengan lagu solo baharu. Kini, masanya sudah tiba. Lagu ini memang istimewa kerana ia bukan ciptaan saya sendiri, tetapi tetap terasa begitu peribadi. Saya mahu semua orang merasai apa yang saya rasa ketika pertama kali mendengarnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aina melihat Sesaat sebagai pembuka jalan kepada era baharu dalam karyanya. Dengan kolaborasi antarabangsa serta pendekatan produksi yang segar, Aina mahu terus berkembang sebagai seorang penyanyi yang bukan sahaja dikenali kerana vokalnya, tetapi juga kerana keberaniannya mencuba hal baharu.

Sesaat menjadi titik mula untuk Aina bereksperimen dengan pelbagai warna muzik, tanpa meninggalkan identitinya yang penuh emosi.

“Saya percaya setiap lagu ada zamannya dan Sesaat adalah permulaan kepada bab baru saya sebagai seorang artis. Saya mahu peminat tahu bahawa saya sentiasa mencari cara untuk bercerita dengan lebih mendalam melalui muzik.

“Harapan saya, bila mereka dengar lagu ini, mereka bukan hanya mendengar suara saya, tetapi juga merasakan jiwa saya yang ingin dekat dengan mereka,” kata Aina.

Sesaat Jadi Nadi Runut Bunyi Drama Jika Cinta Itu Buta

Selain dilancarkan sebagai single, Sesaat bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi turut menjadi nadi runut bunyi kepada drama bersiri penuh emosi berjudul Jika Cinta Itu Buta, arahan Ucheefukada dan Ain Shariff.

Drama ini menampilkan barisan pelakon ternama seperti Keith Foo, Uqasha Senrose, Trisha Ooi, Shahz Jazle, Wan Nor Azlin, Zarina Zainoordin, dan Jasper Supayah, dan bakal menemui penonton bermula 6 Oktober 2025 di Astro Prima, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang.

Sinopsis Drama

Maryam, seorang wanita buta, kini dikhianati suaminya Farid dan sahabat baiknya Bella. Di tengah gelombang pengkhianatan, dendam dan perebutan harta, Maryam bangkit mencari kekuatan bersama Adam. Meskipun diuji dengan ranjau perkahwinan, jenayah serta kehilangan harta benda, dia tetap tabah menghadapi dugaan. Namun, persoalan besar masih menanti – mampukah Maryam mengecapi kebahagiaan setelah dilanda pengkhianatan dan derita silam?.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button