FilemReview

Hero: Jangan Bikin Panas, Pupuk Nilai Dakwah Biarpun Sarat Komedi

Tajuk: Hero: Jangan Bikin Panas
Tarikh Tayangan: 3 Oktober 2019
Durasi: 1 jam 38 minit
Genre: Aksi / Komedi
Pengarah: Azizi Chunk Adnan
Pelakon: Hisyam Hamid, Bell Ngasri, Mark Adam, Elisya Sandha, Tash Yong, Datuk Jalaludin Hassan, Shaharudin Thambi, Riz Amin, Tauke, Jesse Lim.
Klasifikasi: P13

Melihat barisan pelakonnya sahaja anda sudah dapat menjangkakan kandungan utama filem ini yang bergenre aksi komedi. Memaparkan jalan cerita yang cukup ringkas namun padat dengan mesej-mesej tersirat, pengarah Azizi Chunk Adnan berjaya mengangkat filem ini ke satu tahap yang boleh dibanggakan.

Hero: Jangan Bikin Panas mengisahkan tentang Zafrul (Hisyam Hamid), seorang pemuda yang pernah mengalami peristiwa hitam pada masa lalu yang telah mempengaruhi kehidupannya. Sebelum menjadi anggota bomba, dia telah berhadapan dengan tragedi kebakaran di Maahad Tahfiz yang pernah menjadi tempat dia menuntut ilmu.

Susulan tragedi itu, Zafrul telah bertekad untuk mencapai cita-cita menjadi anggota bomba berikutan terkesan dengan insiden tersebut. Dalam perjalanan kerjayanya itu, Zaf bertemu dengan dua jejaka Amad Mustar dan Adam Fanifinali yang turut menyimpan impian untuk berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu.

Konflik bermula apabila berlaku satu lagi kebakaran tahfiz berlaku dan Zafrul mengesyaki ia adalah perbuatan khianat daripada individu sama yang telah membakar pusat tahfiz sama yang pernah diduduki Zafrul. ‘Penyiasatan’ Zafrul akhirnya memakan diri apabila dia diugut oleh individu tersebut sehingga membawa keresahan sehingga ke penamat cerita.

Menerusi penilaian, Hisyam Hamid yang memegang watak utama sebagai Zafrul memberikan lakonan yang cukup meyakinkan sebagai anggota bomba memandangkan pernah memegang portfolio dalam jabatan beruniform itu sebelum bergelar pelakon.

Selain Hisyam, kekuatan filem ini turut terletak pada watak Amad Mustar dan Adam Fanifinali yang dilakonkan dua pelawak serasi, Bell Ngasri dan Mark Adam.

Gandingan Bell dan Mark mempunyai kimia (chemistry) yang cukup kuat dan ternyata pertaruhan penerbit, NS Star Sdn. Bhd. dan pengarah tidak salah membawakan kedua-duanya dalam filem ini. Memang menjadi!

Satu pawagam terhibur dengan dialog bersahaja mereka lebih-lebih lagi menerusi babak di hadapan Masjid Jamek yang mana Amad dan Adam secara bersahaja ‘membasuh’ pihak produksi drama tempatan yang sering kali menjadi bualan sebelum ini.

Sindiran secara halus itu kelihatan cukup bersahaja dituturkan Bell dan Mark menerusi watak mereka, malah kedua-duanya ketika ditemubual pada majlis sidang media mengakui ada beberapa dialog itu merupakan ‘ad-lib’ (dialog spontan) tanpa berpandukan skrip.

Naratif filem ini turut menunjukkan beberapa babak yang menggambarkan modul latihan yang perlu dijalani bakal bomba yang mana secara tidak langsung boleh memupuk semangat anak-anak muda untuk lebih menghargai pengorbanan tugas anggota bomba.

Mark pula menunjukkan sisi lain dirinya selain daripada berlawak dengan beraksi sebagai petinju Muay Thai dan nampaknya latihan selama sebulan sebelum memasuki set penggambaran berjaya membuatkan selebriti kelahiran Filipina ini benar-benar menghayati wataknya.

Kehadiran dua otai, Datuk Jalaludin Hassan dan Shaharudin Thambi turut menambah rencah Hero: Jangan Bikin Panas apabila watak mereka juga menjadi pemangkin kepada kelangsungan filem ini. Aura kedua-dua pelakon senior ini memang tidak boleh disangkal lagi lebih-lebih lagi daripada segi lontaran dialog selain aksi bersahaja mereka melakonkan babak komedi serius.

Dua watak penyeri yang dilakonkan Elisya Sandha dan Tash Yong juga mencipta momentum penceritaan yang selari dengan filem Hero yang mana menggambarkan kelembutan dalam ketegasan yang ada pada diri anggota bomba wanita.

Secara keseluruhan, penulis berpuas hati dengan garapan Azizi Chunk Adnan yang cuba menerapkan beberapa nilai moral dan dakwah dalam filem ini menerusi beberapa babak yang tidak dizahir secara tersurat. Jangan lupa temujanji anda untuk menonton filem Hero: Jangan Bikin Panas yang bakal menjengah di pawagam berhampiran anda bermula 3 Oktober ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button