
Polis Selangor mengesahkan telah mengambil keterangan tujuh individu, termasuk ibu Neelofa iaitu Datin Noor Kartini untuk membantu siasatan berhubung satu hantaran di Insta Story yang didakwa menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan ketika ini sudah di peringkat akhir dan hanya menunggu laporan teknikal.
“Semua keterangan saksi kita sudah ambil. Kita sekarang menunggu laporan teknikal dan bila selesai semua kita akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Kejadian di Selangor, (termasuk keterangan) ibu Neelofa. Tujuh orang (diambil keterangan),” katanya.
Sebelum ini, Noor Kartini telah hadir memberi keterangan lebih dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.
Polis memulakan siasatan berhubung dakwaan itu selepas laporan dibuat terhadap pemilik akaun tersebut.
Namun begitu siasatan awal yang dilakukan mendapati posting yang memaparkan gambar laporan berita bertajuk ‘Sultan Johor cadang sekatan penuh bersasar’ itu dikatakan dimuat naik seorang wanita berusia 32 tahun.
Individu yang dikatakan Pengurus Media Sosial syarikat Noor Kartini telah tersilap menggunakan akaun Instagram milik Noor Kartini dengan membuat hantaran melalui ‘IG Story’.
Susulan itu siasatan dijalankan mengikut seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. – KopiPlanet.com