
Inferno3 Teruja Dapat Bimbingan & Kerjasama Shiha Zikir, Kolaborasi Menerusi Single Pertama ‘Money’
Industri muzik tanah air kini menyambut satu lagi kemunculan kumpulan anak gadis atau girl group bernama Inferno3 yang bukan sahaja boleh menari, malah menyanyi dengan vokal yang baik.
Dianggotai oleh Hannis, 15, Hannah, 17, dan Eva, 17, mereka cukup optimis dan sudahpun bersedia untuk menghiburkan orang ramai khususnya golongan remaja.
Menurut Hannis, dia sangat bersyukur serta menghargai peluang yang diberi oleh pihak syarikat rakaman dan pengurusan Shiha Zikir Empire kepada mereka bertiga.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan rasa bertuah dapat melancarkan single pertama iaitu Money. Lagu ini bertambah istimewa kerana kami dapat menyanyikannya bersama Kak Shiha, bukan semua orang dapat peluang ini. Kak Shiha seorang selebriti multi-talanted, siapa saja yang tak kenal beliau,” katanya.
“Betul… memang Inferno3 bertuah kerana Kak Shiha seorang artis yang berpengalaman lama dalam industri, banyak tunjuk ajar yang Kak Shiha kongsi kepada kami,” celah Hannah.
Sementara Eva pula berharap agar Inferno3 dapat melangkah lebih jauh dalam dunia muzik Malaysia.
“Saya rasa sangat teruja, pada masa sama masih gementar sebab Kak Shiha bukan saja menyanyi bersama kami, malah turut menari bersama kami dalam video muzik lagu Money.
“Memang rasa sangat dihargai apabila artis senior seperti beliau sudi berkolaborasi dengan kami. Saya harap dengan peluang yang Kak Shiha beri ini, kami dapat teroka lebih banyak perkara dalam industri seni,” jelasnya.
Lagu Money adalah hasil kolaborasi Shiha Zikir Empire bersama Sony Music Entertainment Malaysia. Hannis, Hannah dan Eva mempunyai interpretasi yang sama terhadap lagu berkenaan.
Kata mereka, ia berkisarkan tentang realiti kehidupan di mana semua manusia memerlukan wang untuk meneruskan hidup tanpa mengira umur. Sebelum lagu Money dirakam, Shiha mengadakan banyak sessi latihan hingga yakin ketiga-tiga anak gadis itu sudah bersedia.
“Sebelum ini kami bertiga biasa menari, nyanyian adalah perkara baru untuk kami. Jadi, setiap momen latihan hinggalah rakaman, semuanya ada keistimewaan masing-masing.
“Sepanjang tempoh mengajar kami, Kak Shiha tak garang pun cuma beliau tegas dan seorang perfectionist, terutama berkenaan konsep dan vibe lagu ini,” ujar Eva.
“Pertama kali rakam video muzik, memang seronok dan mencabar kerana lokasi penggambaran di adakan di sebuah bangunan terbiar. Kami jaga keselamatan dengan baik, memang ada rasa takut tapi seronok,” kata Hannis pula.
Hannah pula menambah: “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada koreografer Ezra Tham kerana mengajar tarian kami dengan penuh dedikasi untuk video muzik lagu Money.
“Kami ambil masa tiga ke empat hari untuk berlatih sebelumpenggambaran video muzik. Cara Abang Ezra ajar pun mudah untuk kami faham. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” ujarnya.
Sementara Shiha sendiri pula melihat Inferno sebagai pendatang baharu yang berpotensi kerana semuanya masih muda dan sedia mempunyai pengalaman dalam bidang tarian.
“Bukan mudah untuk kita ada sebuah kumpulan yang pandai menari dan pada masa sama, boleh menyanyi. Inferno3 ini, asalnya mereka adalah penari, jadi bab tarian memang tak ada masalah.
“Soal nyanyian pula, kami ambil masa beberapa tahun untuk keluarkan single ini sebab saya mahu mereka siap sedia dalam semua aspek.
“Saya terima seadanya tahap maksimal yang mereka boleh buat, selebihnya tentang bakat, itu boleh digilap lagi. Dari segi potensi, mereka sangat beruntung kerana mereka masih muda, masih belasan tahun.
“Saya dulu pun mula serius dalam industri pada usia 20-an. Insya-Allah kalau mereka tak berhenti usaha dan belajar, mereka boleh jadi salah satu kumpulan yang berjaya di Malaysia suatu hari nanti, itu harapan saya.”
“Fokus Shiha Zikir Empire yang menaungi Inferno3 sekarang ini bukanlah untuk berlawan dengan mana-mana kumpulan lain kerena mereka adalah antara yang termuda.
Ujar Shiha, pihaknya juga lebih cenderung untuk menjadikan mereka membentuk pengaruh baik yang tersendiri terutama dalam kalangan remaja.
“Bukan apa, setiap daripada anggota Inferno3 ini, walaupun sangat suka menyanyi dan menari, mereka langsung tidak ketepikan soal akademik.
“Malah, ibu bapa mereka juga meletakkan syarat, kalau mahu terus aktif dalam bidang hiburan, mereka perlu mendapatkan pencapaian akademik yang baik. Mereka pandai bahagi masa untuk fokus pada kedua-duanya.
“Mungkin ada remaja-remaja lain yang ingin mengembangkan bakat seni, boleh contohi Inferno3, jangan disebabkan masih belajar tapi terbantut keinginan kejar cita-cita, dan jangan sesekali mengurangkan fokus pada pelajaran disebabkan ingin kejar cita-cita,” katanya.
Mengulas lanjut, Shiha mendedahkan bahawa lagu Money pada asalnya dicipta untuk dinyanyikan oleh dia seorang, namun berubah fikiran untuk memberi peluang kepada Inferno3.
“Apabila dapat lagu ini daripada Iqie Hugh (tambahan lagi lagu ini digubah oleh Iqie, John Jeeves dan Firdaus Rahmat) saya sangat sukakan sound yang dibuat.
“Pada mulanya lagu ini mereka cipta untuk saya seorang, kemudian saya fikir sesuai juga kalau dinyanyikan oleh Inferno3 bersama saya. Iqie pun seorang yang mudah berbincang, saya minta dia tambah beberapa bahagian seperti d dancebreak untuk lebih memperlihatkan tarian Inferno3.
“Mereka sahut cabaran untuk menyanyikan lagu ini dengan baik, maka saya pun hadiahkan lagu ini untuk mereka. Lagu ini cukup perisa sebagai satu lagu girl group, liriknya pun berkisahkan tentang dunia sekarang yang kita nak buat apa pun, semua perlukan duit.
“Pendengar pun boleh rasa bersemangat untuk terus usaha, apabila kita ada duit, kita boleh buat macam-macam. Harapan saya, semoga peminat muzik di Malaysia meminati tidak hanya menyokong produk K-Pop tetapi turut menyokong muzik M-Pop (Malaysia Pop).
Lagu Money telah dilancarkan secara rasmi di platform digital pada 9 Januari 2026. Video Muzik rasminya juga telah dimuat naik di saluran YouTube Shiha Zikir Empire. – KopiPlanet.com



