Cerita ArtisHiburan

Isu Gurauan FFM, Zizan Tersilap Percaturan – Adibah Noor

MINGGU lalu heboh kontroversi melibatkan gurauan kasar hos Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM 29), Zizan Razak terhadap Datuk Hans Isaac dan Datuk Eizlan Yusof menghiasi laman-laman hiburan tempatan.

Namun begitu, hal berkenaan sudah selesai dan tidak dipanjangkan lagi apabila Hans sudah pun menerima permohonan maaf yang diutarakan Zizan baru-baru ini.

Dalam majlis anugerah yang mengiktiraf industri perfileman negara itu, Zizan secara bergurau mengatakan adakah gelaran Datuk yang diperolehi dua figura seni itu dibeli oleh mereka.

Sebagai seorang hos berpengalaman, Adibah Noor mempunyai pendapatnya yang tersendiri berhubung isu tersebut.

Menurut Adibah, Zizan mungkin sudah tersilap percaturan dalam bergurau apabila hal seperti itu dibawa ke khalayak ramai, apatah lagi dalam rancangan yang diadakan secara siaran langsung.

Tidak memihak kepada mana-mana pihak, Adibah mengatakan memang sukar sebagai seorang hos untuk memuaskan hati semua pihak.

“Zizan hanya melakukan tugas dia sebagai hos dan mungkin disebabkan kebiasaan berjumpa kawan-kawan, misalnya kadang-kadang bila saya berjumpa dengan Zizan dan Nabil, kami dah biasa bergurau macam tu, bergurau kasar dan kita tidak akan ambil hati.

“Mungkin Zizan tersilap percaturan dengan membawa gurauan sebegitu apatah lagi disaksikan oleh khalayak ramai dan mungkin juga disebabkan itu, Hans merasakan tidak selesa.  Saya rasa dan  percaya kalau Hans dan Zizan berada di kedai kopi dan bertepuk tampar bersama-sama mereka tak kisah kot. Zizan pun kena, Hans pun kena gurauan yang memang kasar itu, tetapi habis di situ sahaja.

“Apabila Zizan membawanya ke atas pentas siaran langsung, mungkin Hans berasa tidak selesalah, maka dengan itu mencetuskan reaksi sedemikian oleh beliau di Instagramnya. Itu pada pendapat saya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran sitkom Oh My English musim keenam di Pavilion hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan pelawak dan hos Nabil Ahmad mengenai sikap sesetengah selebriti tempatan yang sukar untuk memberikan tepukan ketika menghadiri majlis anugerah, Adibah bersetuju dengan perkara tersebut.

Menurutnya, dia hairan mengapa segelintir selebriti yang datang dalam sesuatu acara sukar untuk memberikan tepukan, sedangkan ia adalah benda yang semudah ABC untuk dilakukan.

“Dari satu sudut saya merasa kecewa, kalau kes hos ramai yang boleh bandingkan dengan hos Oscar la, hos Emmy Awards la, kenapa tak bandingkan dengan kualiti penonton itu sendiri.

“Bila ada filem lain yang menang dan bukan filem sendiri yang menang, orang macam malas nak tepuk. Kenapa jadi begitu?

“Tidak dinafikan memang saya kecewa, kenapa kita tidak boleh sama-sama berikan sokongan yang semudah tepukan sahaja.

“Bagaimanapun dari sudut yang lain mungkin ada banyak faktor membuatkan penonton malas nak tepuk. Apabila nak tepuk tangan kita akan tepuk sesuatu yang menggembirakan kita, mungkin dari sudut yang lain mereka rasa tak seronok nak tepuk.

“Tak tahulah di mana silapnya, sama ada dari segi penganjuran ke, perjalanan majlis ke atau pun calon-calon yang dicalonkan itu tidak memberi stimulation (peransang) kepada audience (untuk tepuk tangan).

“Ataupun ada pemenang yang mereka harap tak menang, itu saya tak tahu. Kalau tak menang pun tepuk je la, apa salahnya tepuk,” ulas Adibah lagi yang cukup berpengalaman sebagai hos dalam mengendalikan majlis formal dan santai. – KopiPlanet.com

Kredit Foto:  Instagram Adibah Noor 

 

 

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button