
“Itu Awak Boleh Tanya Diana…” – Farid Kamil Dakwa Rumah Tangga Diganggu Orang Ketiga
Pelakon popular, Farid Kamil mendakwa rumah tangganya telah diganggu orang ketiga sehingga isterinya, Diana Danielle membuat keputusan untuk bercerai.
Farid berkata, kehadirannya ke mahkamah pada pagi ini adalah mahu memujuk Diana, namun mendapati pihak ketiga berkenaan menyokong tindakan isterinya itu.
“Saya dah cuba sedaya upaya saya memujuk Diana atas kesalahan yang tak munasabah, tetapi saya dapati kekuatan beliau kerana yang saya maklum bahawa ada pihak ketiga yang menyokong beliau dari belakang.
“Itu awak boleh tanya Diana… saya seboleh-bolehnya nak tegakkan undang-undang Islam, tegakkan hak sebagai seorang suami yang rumah tangganya diganggu orang ketiga,” ujarnya.
Pagi ini, pasangan tersebut telah hadir ke mahkamah bagi proses lantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Dalam pada itu, pelakon berkenaan juga menyatakan tidak adil sebagai seorang suami diperlakukan sebegini apabila perpisahan yang diminta, meskipun diminta memberikan penjelasan.
“Saya sayangkan keluarga saya… saya tak pernah lagi diuji sebegini rupa. Saya baru confirm mengenainya (orang ketiga) baru-baru ini dan dah aware sejak tahun lepas lagi.
“Saya harus menyelamatkan isteri saya daripada terus diperlakukan sebegitu. Saya sayangkan anak-anak saya, tanpa isteri saya, saya takkan dapat jumpa anak-anak saya,” ujarnya.
Menurutnya, sehingga kini sudah 23 hari dia tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan kedua-dua anaknya iaitu Muhammad dan Aurora. – KopiPlanet.com



