
Jiwa Firdaus Muncul Juara Sulung Rancangan Mic ON!, Bawa Pulang Hadiah Wang Tunai RM10,000
Setelah bersiaran selama 12 minggu, rancangan Mic ON! telah menobatkan Muhammad Firdaus atau lebih dikenali sebagai Jiwa Firdaus, 26 sebagai juara untuk musim pertama ini dengan mengatasi lima finalis lain.
Dalam acara yang ditayangkan pada 29 Januari lalu, Jiwa membawakan dua buah lagu iaitu Potret nyanyian asal Akim & The Majistret dan Farhana dendangan Jinbara.
Menerusi kemenangan yang diraih, Jiwa berhasil membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, hadiah tajaan ALTEL beserta trofi juara.
Datuk M. Nasir selaku juri tetap Mic ON! berkata, Jiwa mempunyai vokal yang hampir sempurna serta persembahan yang konsisten setiap minggu.
Sementara seorang lagi juri iaitu Mas Idayu pula berpendapat Jiwa mampu untuk mewarnai lagu yang dibawa dengan cara yang tersendiri tanpa terikut-ikut dengan identiti penyanyi asal lagu-lagu yang disampaikan.

Pemenang tempat kedua menjadi milik Siti Wan Ainnur, 23 iaitu peserta berasal dari Kepong, Kuala Lumpur.
Menariknya, ia kali pertama buat Ainnur menyertai pertandingan nyanyian seumpama ini berjaya memikat hati para juri dengan lagu nyanyian Siti Sarah, Jangan Kau Mimpi dan diva kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Cindai.
Kelincahan dan versatiliti Ainnur telah menjadikan wang tunai RM5,000 sebagai miliknya di samping trofi naib juara dan hadiah tajaan ALTEL.
Untuk tempat ketiga pula menjadi milik Harun Abdul atau Aaron yang mendendangkan Takdir dan Waktu oleh Mega dan Pelangi Petang, nyanyian asal Sudirman Hj Arshad.
Kemenangan tersebut membolehkan Aaron untuk membawa pulang wang tunai bernilai RM2,500 beserta trofi dan hadiah tajaan ALTEL.
Mic ON! program realiti yang pertama yang disiarkan di Awesome TV terbitan Awesome TV yang berhasrat untuk mencungkil bakat anak muda tempatan untuk bangkit mewarnai industri seni tempatan.
Kelainan yang ditonjolkan dalam program ini adalah kesemua peserta diuruskan oleh pelawak-pelawak terkenal tanah air, iaitu Ropie, Fad dan Shuk Sahar.
Siaran ulangan program tersebut boleh ditonton melalui saluran YouTube rasmi dan laman sesawang rasmi Awesome TV, www.awesometv.my dan penonton boleh mengikuti perkembangan terkini Mic ON! melalui kesemua akaun media sosial Awesome TV.