Gaya HidupTravel

Jom Relaks Di Royal Belum Resort, Memang Memukau!

Dah hujung tahun pastinya kalendar percutian anda juga sudah berdetik mahu merehatkan badan dan minda selepas setahun bertungkus-lumus bekerja.

Kalau tak berkesempatan terbang jauh, pergi yang dekat-dekat dalam negara pun dah cukup okay. Tapi, nak pergi ke mana ya?

Ha, sini kami kongsikan sebuah resort unik yang sangat saujana mata memandang.

Belum Rainforest Resort yang terletak di Grik, Perak boleh diakses menggunakan Lebuhraya Timur Barat iaitu dari Grik dan Kelantan.

Resort unik ini telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 9 Julai 2008.

Eko-resort ini baharu sahaja dianugerahkan Best Resort 2017 oleh Tourism Perak di atas usahanya yang sentiasa memberikan terbaik dari segi mutu perkhidmatan buat pelanggan mereka.

Antara keunikan yang terdapat di Royal Belum Resort ialah di sini terdapatnya Hutan Tropika Belum-Temengor yang dianggarkan sudah berusia hampir 130 juta tahun.

Mempunyai 112 buah bilik termasuk chalet bertemakan tradisional kampung, Belum Rainforest Resort turut menyediakan dua villa eksklusif, Villa Tanjung Wan dan Villa Santubong.

Para pengunjung juga boleh merasai sendiri pengalaman tinggal dalam rumah bot yang boleh memuatkan 14 tetamu dalam satu-satu masa. Rumah bot akan memberikan pengalaman baharu di mana anda tidur, makan dan menikmati keindahan sungai Belum dari dalam bot yang besar.

Selain mengekalkan ciri flora dan fauna, Royal Belum juga menyediakan pelbagai pakej aktiviti menarik yang pastinya menjadi pilihan kebanyakan si kental yang berjiwa lasak.

Antara aktiviti meneroka dan menjelajahi hutan, memancing, lawatan ke rumah Orang Asli, piknik makan tengah hari di air terjun, berkayak, berakit, kem Belum Adventure dan night trekking.

Keunikan lain yang ada di Royal Belum ialah anda boleh melihat sendiri burung Enggang. Terdapat 10 jenis burung Enggang yang boleh didapati di Malaysia dan kesemua 10 jenis itu ada di sini!

Untuk pengalaman menginap yang maksima, pergilah manjakan diri anda di Royal Belum Resort dan anda pasti akan kagum dengan binaannya yang menghadap Tasik Temenggor selain dikelilingi gunung-ganang.

Untuk maklumat lanjut mengenai Royal Belum Resort, anda boleh layari laman web www.belumecoresort.com.my. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button