Cerita ArtisHiburan

Julia Duclos Kali Pertama Tampil Lagu Bahasa Melayu, ‘Terjatuh Cinta’ Eksplorasi Mendalam Tentang Cinta

Penyanyi-penulis lagu yang sedang meningkat naik, Julia Duclos, melancarkan single terbaharunya yang sangat peribadi dan menyentuh perasaan, “Terjatuh Cinta”, menandakan penampilan sulungnya dalam bahasa Melayu. Balada jiwa ini merupakan sebuah eksplorasi mendalam tentang cinta, kehilangan, dan kekuatan tenang yang ditemui dalam proses melepaskan sesuatu dengan rela.

Dihasilkan oleh JOEK, dan ditulis bersama Danial dan Iskandar, “Terjatuh Cinta” adalah sebuah lagu yang lahir daripada pengalaman peribadi dan hubungan yang tulus. Julia pertama kali mendengar lagu ini melalui Danial, dan selepas mendengarnya, beliau segera tertarik dengan mesej dan kedalaman emosinya. Julia mengubah sedikit melodi lagu tersebut agar lebih mencerminkan kisah dirinya sendiri dan menghasilkan sebuah karya yang terasa begitu peribadi namun tetap dekat di hati setiap pendengar.

“Bagi saya, Terjatuh Cinta bermaksud belajar untuk mencintai sesuatu dari jauh, dan mengetahui bila tiba masanya untuk melepaskan seseorang atau sesuatu yang bukan ditakdirkan untuk kita,” kata Julia.  “Kadang-kadang kita terus bertahan kerana betapa besarnya cinta kita terhadap seseorang, tetapi terdapat kekuatan dalam memilih untuk melepaskan dan memberi ruang untuk perkara yang lebih baik.”

Dirakam dalam suasana studio yang intim, persembahan vokal Julia dalam lagu ini kedengaran mentah, tidak ditapis, dan kebanyakannya dilakukan dalam satu rakaman tanpa banyak pengulangan, pilihan yang menambah keaslian dan impak emosi lagu tersebut. ”Saya memang mahu ia kedengaran jujur dan spontan. Kami tidak ubah terlalu banyak, hanya sedikit untuk memastikan sebutan jelas. Yang penting adalah mengekalkan perasaan sebenar ketika rakaman itu dibuat.” kata Julia.

Dengan lirik yang menyentuh dan susunan muzik yang membangun, “Terjatuh Cinta” menawarkan kelegaan dan keselesaan kepada sesiapa sahaja yang berhadapan dengan keputusan sukar atau persimpangan emosi.  Julia berharap pendengar akan merasa difahami dan ditemani melalui lagu ini.

“Perasaan ketidakpastian, kesedihan, malah kemarahan, semuanya adalah sah. Saya mahu orang tahu mereka tidak keseorangan. Penyembuhan mengambil masa, tetapi ada kelegaan menanti di hujungnya.

Pelacanran ini juga menandakan babak baharu dalam perjalanan seni Julia, ketika beliau mula mengukuhkan dalam kedua-dua arena muzik Melayu dan Inggeris, dengan matlamat membina diskografi dwibahasa yang menonjolkan kepelbagaian bakatnya.

“Ini baru permulaan. Saya sedang mengusahakan single Melayu kedua saya dan beberapa lagu Inggeris. Matlamat saya adalah untuk mengembangkan pangkalan pendengar setia yang berhubung dengan semua aspek kesenian saya, secara muzik, visual, dan emosi.”

Selain muzik, Julia juga berminat untuk meneroka bidang lakonan dan filem, sama ada sebagai pelakon atau penyumbang kepada lagu-lagu runut bunyi yang asli, menunjukkan kepelbagaian beliau sebagai daya kreatif.

‘Terjatuh Cinta’ boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music pada 31 Oktober 2025, dan video muzik juga akan ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Julia Duclos.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button