
Program Wham Pickleball With The Stars anjuran Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) berjaya mencipta kemeriahan tersendiri apabila menghimpunkan seramai 25 selebriti popular bersama 25 ahli WHAM dalam satu acara sukan santai penuh aksi dan semangat kekitaan.
Acara perlawanan yang berlangsung di Pickle X i-City Shah Alam, Selangor selaku penaja lokasi pada Jumaat itu bermula sekitar jam 8 malam dan menyaksikan persaingan sengit sejak perlawanan pembukaan.
Walaupun berkonsepkan sukan santai, setiap perlawanan berlangsung kompetitif dengan sorakan gemuruh peserta dan penonton, sekali gus mencetuskan suasana meriah sepanjang acara berlangsung.
Kejohanan itu menyaksikan gandingan pelakon Ezaidi Aziz bersama wartawan mStar, Nazrin Zulkafli, dinobatkan sebagai juara selepas mempamerkan aksi konsisten dan strategi mantap di gelanggang.
Kemenangan tersebut membolehkan pasangan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, sekali gus menobatkan mereka sebagai juara sulung bagi edisi pertama Wham Pickleball With The Stars.
Naib juara pula menjadi milik pempengaruh terkenal Faiz Dickie yang bergandingan dengan wartawan mStar, Farol Hadi, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 selepas memberi saingan sengit hingga ke perlawanan akhir.
Bagi tempat ketiga dan keempat, kedudukan tersebut dimenangi oleh penyanyi terkenal Haqiem Rusli yang bergandingan dengan Faiq Fahmi Adenan (Melodi) serta Izzul Faiq bersama Muhammad Izzad Farhan Amier Zaini (Melodi), masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000, melengkapkan senarai pemenang bagi edisi sulung acara berkenaan.

Sementara itu, bagi kategori Pairing Paling Sporting dimenangi oleh pelakon Trisha Ooi bersama Penolong Pengarang Berita Hiburan Harian Metro, Wan Asrudi Wan Hasan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 sumbangan Sevoce Studio.
Sebelum perlawanan bermula, acara dimulakan dengan aktiviti zumba sebagai pemanas badan yang ditaja oleh Antava Projects, sekali gus menceriakan suasana dan mengeratkan hubungan antara peserta.
Antara selebriti ternama yang sanggup turun padang menyertai perlawanan ini ialah Aeril Zafrel, Bella Astillah, Zahiril Adzim, Sheira Ayob, Yasmin Hani dan Ayie Floor 88.
Turut mengambil bahagian ialah Sarah Suhairi, Zizi Kirana, Adam Lee, Afieq Shazwan, Wani Kayrie dan El Azman yang jelas teruja mencuba sukan pickleball buat julung kalinya.
Turut serta menjayakan program itu ialah Fairuz Selamat, Badron Munirah, Luqman Faiz, Hariz Hamdan, Trisha Ooi, Syahir Shafein, Shaffiq Erwin, Nurel Bahrin serta Kim Azzim.
Selain perlawanan pickleball, acara turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang dibuka kepada semua peserta dan ahli WHAM, menjadikan suasana semakin gamat dan menghiburkan.
Pelakon dan penyanyi Ayie Floor 88 mencuri tumpuan apabila membawa pulang hadiah utama berupa sebuah telefon pintar, manakala Haqiem Rusli pula bertuah memenangi sebuah televisyen bersaiz 65 inci.
Cabutan bertuah turut disokong penaja Al Aqsa Carpets dengan hadiah dua karpet premium, yang turut dihadiri pemiliknya iaitu pelakon Dazrin Kamarudin.
Antara penaja yang menjayakan program ini ialah Wawa Global, D’Herbs Terlajak Laris, Elrah Exclusive, Pickle X, Kanda (jersi rasmi), SN Legacy, ASICS serta Kunafa Aiwahhh
Selain itu, acara turut disokong dengan tajaan dan sokongan daripada Glad2Glow, Mak Jenny, Mega Film Distribution, Plan E Solutions, SAC Garment, Roslan Shah, Nun Ha, Alyah Beauty, Mask Team, IIAN, AK Events dan Love Music Fest.
Acara itu turut dihadiri oleh Setiausaha WHAM, Sudirman Mohd Tahir.
Secara keseluruhan, Wham Pickleball With The Stars bukan sahaja berjaya mencipta persaingan sengit dan menghiburkan, malah menjadi platform berkesan dalam mengeratkan silaturahim antara pengamal media dan selebriti tempatan dalam suasana santai serta penuh semangat. – KopiPlanet.com



