• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Kay Khydir Senang Berkongsi Masalah Dengan Shiha Zikir

Penyanyi Kay Khydir yang kini tampil dengan single terbaharu berjudul Bukan Bahagiaku menjadikan Shiha Zikir sebagai artis yang boleh dicontohi dalam menggembangkan karier seninya.

Menurut Kay, dia sudah lama mengenali Shiha memandangkan mereka sama-sama pernah menyertai sebuah pertandingan realiti sebelum ini.

“Saya sebenarnya sudah mengenali Shiha sejak sedekad lalu. Selain menjadi penyanyi di restoran, kami pernah menyertai pertandingan realiti dan menjadi sahabat baik serta perhubungan itu kekal sehingga sekarang. Saya selesa berkongsi hal peribadi dan masalah dalam kerjaya dengannya.

“Seperti saya, Shiha sendiri berdepan laluan bukan mudah dalam dunia seni sebelum berada pada tahap sekarang. Jadi, secara tidak langsung dia tahu apa yang saya lalui. Malah melihat kejayaan Shiha hari ini, membuatkan saya percaya kita hanya perlu berusaha keras, InsyaAllah, suatu hari pastu ada sinarnya,” katanya.

Dia berkata demikian ketika majlis pelancaran single Bukan Bahagiaku yang berlangsung di Red Box The Gardens, Kuala Lumpur semalam. Kay kini bernaung di bawah syarikat pengurusan milik Shiha Zikir, SZ Entertainment.

Ketika ditanya bagaimana kerjasama itu terjalin, Kay berkata, “Penghujung tahun lalu, Shiha meminta untuk mendengar lagu Bukan Bahagiaku dan dia memberikan maklum balas yang cukup positif.

“Tidak lama kemudian, Shiha bertanya sama ada saya berminat untuk menjadi artis di bawah pengurusan syarikat miliknya. Rasa hormat dan saling percaya yang wujud sejak sekian lama membuatkan saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju dengan tawaran itu,” jelasnya.

Bukan Bahagiaku merupakan hasil ciptaan komposer Azlan Abu Hassan manakala liriknya nukilan wartawan hiburan, Abie Abdullah.

Menurut Kay, lagu tersebut sangat berkait rapat dengan kisah peribadinya yang pernah kehilangan seseorang yang amat dikasihinya sebelum ini.

“Bukan Bahagiaku dirakamkan pada 2014, namun ketika itu saya berasakan belum masanya untuk ia dipromosikan. Kebetulan banyak tawaran lakonan yang saya terima pada masa itu menyebabkan proses pengenalan lagu ini tergendala.

“Maklumlah bila terikat dengan penggambaran, memang tiada masa langsung untuk melakukan perkara lain. Sehari suntuk hanya di lokasi. Namun rasa cinta terhadap nyanyian, sediktipun tidak pernah padam,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend