
Filem ikonik yang paling ditunggu-tunggu, KELUANG MAN, bersedia menemui penonton di 154 buah pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 29 Mei ini. Keluang Man mempersembahkan karya sinematik segar dan mengujakan, sekaligus menjadikan dia berbeza daripada superhero yang lain.
Antara yang menjadi kekuatan naskhah ini adalah watak utama iaitu Keluang Man, di mana karakternya yang ‘gila-gila’, bersahaja, dan dipenuhi kejutan jenaka yang akan menghiburkan penonton.
Menguatkan lagi intensiti jalan cerita, filem berdurasi 132 minit ini turut menggabungkan babak aksi mendebarkan, emosi, dan elemen tempatan. Ini sekali gus membentuk graf ‘mood’ tontonan penuh tenaga dan mampu menyuntik rasa bangga terhadap superhero original pertama Malaysia ini. Keluang Man juga menandakan permulaan bagi Astro Shaw Cinematic Universe.
Penerbit Eksekutif Keluang Man merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Keluang Man adalah superhero original pertama Malaysia, dan pihaknya sedar mengangkat semula IP ikonik ini ke layar perak hadir dengan tanggungjawab yang besar.
“Ini bukanlah sebuah ‘remake’, tetapi filem ini mengangkat semula ikon kebanggaan negara dengan sentuhan baru oleh pengarah Anwari Ashraf. Filem ini hadir dengan cabarannya yang tersendiri.
“Dengan harapan tinggi daripada peminat, kami melaksanakannya dengan sepenuh komitmen dan penghormatan terhadap watak ikonik yang menjadi sebahagian budaya pop tempatan. Kami mahu memastikan Keluang Man bukan sahaja kekal relevan untuk peminat setianya tetapi turut memberi impak mendalam kepada generasi baharu,” ujarnya.
Filem ‘live-action’ Keluang Man merupakan adaptasi daripada siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia. Filem ini diterbitkan oleh penerbit terkemuka, Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run dan rakan strategik Wonda Kopi, serta produksi Pasal Productions.
Menampilkan pelakon hebat Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, dan Dennis Yin. Lebih mengujakan filem ini turut membariskan deretan kemunculan istimewa oleh Mierul Aiman, Nadhir Nasar, Fazzoq Muqris, Daniella Sya, Wahid Senario, Azlee Senario, Delimawati, A Galak, AG Hafiz, Razzuan Rosli, dan ramai lagi.
Keluang Man diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo, penulis Kahar : Kapla High Council serta merupakan pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf yang turut bertindak sebagai penulis skrip. Naskhah ini menandakan kemunculan pertama Anwari sebagai pengarah filem.
Dalam pada itu, Raja Jastina memberitahu Keluang Man juga adalah merupakan filem ‘postmoden’ pertama Malaysia dengan turut membabitkan 100 peratus bakat tempatan.
“Menerusi Keluang Man, kami mempersembahkan sebuah dunia sinematik yang segar, kombinasi fantasi dan realiti yang belum pernah kita semua lihat. Penghasilan filem Keluang Man dari pre sehingga post produksi adalah melibatkan 100% daripada tenaga kreatif dari Malaysia.
Lebih daripada 1,000 tenaga kreatif tempatan dari visual, audio, CGI, sehinggalah ke VFX, semuanya dibuat di tanah air kita sendiri. Kami yakin filem ini akan memberikan pengalaman hiburan dan keseronokan kepada penonton dan membangkitkan rasa bangga terhadap supehero tempatan. Oleh itu, kami mengajak semua untuk menonton Keluang Man di pawagam dan ‘kita enjoi!” jelasnya.

Sementara itu, pengarah Filem Keluang Man, Anwari Ashraf Hashim menyatakan bahawa Keluang Man adalah ‘surat cinta’ kepada generasi yang membesar pada tahun 90-an, satu generasi yang penuh semangat dan nilai yang masih relevan hingga ke hari ini.
“Saya yakin ramai yang menantikan untuk menyaksikan superhero original pertama Malaysia ini diangkat ke versi ‘live-action’. Saya dan seluruh pasukan produksi telah memberikan sepenuh komitmen dalam merealisasikan filem ini. Saya amat menghargai barisan kru, pelakon dan peminat karya ini yang mempercayai saya untuk mengemudi sepanjang proses filem ini.
“Filem ini bukan sekadar projek hiburan, tetapi merupakan usaha menghargai kepada warisan budaya pop Malaysia yang pernah mencorak zaman dan mencipta kenangan bersama. Saya mengharapkan penonton dapat menerima filem ini serta mampu menghidupkan semula semangat superhero Keluang Man seterusnya legasinya dapat diwariskan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya,” ujarnya.
Filem Keluang Man mengisahkan Borhan, seorang pesakit di Hospital Tumpoi sering melarikan diri dari hospital di malam hari. Apabila sejarah lamanya menghantui, pesakit yang menghidapi ‘Dissociative Schizophrenia’ ini mula berniat membalas dendam, dan tanpa sengaja, Borhan membentuk identiti barunya sebagai seorang superhero, Keluang Man.
Filem terbahar terbitan Astro Shaw itu secara rasminya sudah mula menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 29 Mei 2025. – KopiPlanet.com