• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Kembali Bekerjasama, Bront Palarae Selesa Dengan Joko Anwar

Selepas kejayaan filem Pengabdi Setan dua tahun lalu serta drama siri terbitan HBO, Halfworlds, pelakon Bront Palarae sekali lagi berlakon di bawah arahan pengarah terkenal Indonesia, Joko Anwar menerusi filem terbaharu, Gundala.

Menerusi filem bergenre adiwira itu, Bront membawakan watak seorang dalang mafia bernama Pengkor.

“Saya sangat senang dan selesa bekerja di bawah arahan Joko kerana kami mudah bertukar idea dan pendapat dan kami juga banyak berbincang.

“Sebelum mula penggambaran tahun lalu, kebetulan saya mengalami kecederaan pada otot kaki dan saya tanyakan pada Joko adakah dia mahu terus menggunakan khidmat saya dalam filem tersebut maklumlah dia masih sempat untuk menukar pelakon jika mahu berbuat demikian, namun dia kekal dengan keputusan untuk mengekalkan saya terbabit sama dalam filem itu.

“Watak dilakonkan pula memerlukan saya menjadi seorang yang cacat dari segi fizial disebabkan kebakaran. Kecederaan pada bahagian kaki itu turut membantu gaya saya berjalan, sesuai dengan watak Pengkor yang cacat,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton filem Gundala yang berlangsung di TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Bront, filem terbitan Screenplay Films dan BumiLangit Studios itu dibintangi Abimana Aryasatya, Tara Basro, Ario Bayu, Cecep Arif Rahman, Rio Dewanto dan Muzakki Ramdhan. Gundala akan ditayangkan di pawagam Malaysia bermula Khamis ini.

Sebagai pelakon filem berskala besar ini, Bront melihat Gundala membawa jalan cerita yang sangat berbeza apabila mengetengahkan isu sosio politik di sebalik hanya sekadar hiburan ringa kepada penonton.

“Kita sering memberikan label tertentu kepada sesebuah filem, sama ada komersial, seni atau sebagainya. Kata orang pula, apabila menonton filem komersial, tak perlu nak bawa otak atau hati ke pawagam.

“Namun, ia berbeza dengan Gundala. Walaupun bersifat komersial dan mempunyai unsur hiburan, tema serta jalan ceritanya mencerminkan isu sejagat, terutama dari segi sosio politik yang dipaparkan,” katanya.

Gundala yang bermaksud petir dalam Bahasa Indonesia menceritakan tentang seorang adiwira petir membantu rakyat yang tertindas dengan agenda golongan atasan.

Ia merupakan adaptasi watak komik Gundala ciptaan Harya Suraminati pada tahun 1969. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend