
Kembali Selepas Enam Tahun, Yana Samsudin Ubati Kerinduan Peminat Menerusi Filem Sahak Gangster
Selepas enam tahun tidak aktif dalam dunia lakonan, Yana Samsudin ubati kerinduan peminat dengan membuat kemunculan semula menerusi filem Sahak Gangster.
Yana berkata, antara dia hilang seketika adalah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 serta mahu memberi fokus membesarkan anak-anak.
“Kalau ikutkan empat tahun lalu saya ada sebuah filem, tapi masih belum keluar. Selepas empat tahun, filem Sahak Gangster ini yang ditayang dahulu. Kali terakhir saya bikin filem Kak Yong.
“Selepas itu, PKP dua tahun dan dalam tempoh empat tahun lalu, saya lahirkan anak dua kali. Malah, sepanjang PKP, saya tiada tawaran berlakon. Selain itu, saya kurang terbabit dengan filem kira-kira empat tahun selepas 2020 disebabkan saya bersalin dan banyak main ‘E-game’,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai filem Sahak Gangster, Yana memberitahu dia menggalas watak Kak Yong yang merupakan anak kepada seorang gangster yang mempunyai misi membalas dendam terhadap kematian bapanya.
Filem terbitan syarikat produksi, Millennium Megamas Sdn Bhd itu juga dibintangi Hariz Hamdan, Nelissa Nizam, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Mohammad Faizzal, Razak Ahmad, Chiwan, Azlan Komeng, Acong Sweetchild dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.
Mengulas watak wanita gangster yang sering dijayakan sejak dahulu, Yana berkata, dia hanya mengikut kehendak pengarah yang mempercayainya menggalas peranan sebegitu.
“Mungkin itu adalah persepsi atau perkara yang melekat pada penonton dan pengarah terhadap saya. Kalau ditawarkan karakter lain saya akan terima juga.
“Namun untuk watak Kak Yong ini, ia memang kehendak pengarah yang sudah membayangkan dalam skrip ini bahawa watak itu sesuai untuk saya bawakan.
“Apabila saya baca skrip, karakter itu mungkin berbeza dengan yang biasa dibawa, tapi diolah semula untuk disesuaikan dan meyakinkan saya untuk membawanya. Selain itu, ditambah dengan sokongan skrip yang betul, jadi saya setuju bawa watak itu,” katanya. – KopiPlanet.com